Tuesday, 12 January 2016

Gegar Vaganza masuk Istana Budaya



Pengasas Qu Puteh, Datuk Seri Vida (tengah) dan Raqim Ahmad (lima dari kanan) bergambar bersama artis yang bakal menjayakan Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya.

MENCETUSKAN fenomena dalam industri hiburan tanah air, program televisyen yang mengumpul semula artis popular sekitar era 1980-an sehingga tahun 2000 di atas pentas Gegar Vaganza (GV) kini bakal dibawa ke Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Impak daripada sambutan hebat daripada peminat, selaku penerbit, Astro dengan besar hati menganjurkan konsert Mega Gegar Vaganza (MGV) yang akan berlangsung selama tiga hari.

Bakal dipentaskan pada 15 hingga 17 Januari pukul 9 malam, konsert tersebut menyaksikan gabungan peserta program GV musim pertama dan kedua.

Selain mencetus fenomena dan menjadi program dengan rating tonton paling tinggi, Astro mengambil pendekatan untuk memberi peluang kepada peminat mendengar sendiri vokal dan kehebatan persembahan peserta GV pada konsert yang dianjurkan selama tiga malam hari berturut-turut itu.

Teruja dengan kemunculan konsert tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad menyifatkan penganjuran GV di pentas berprestij adalah satu pencapaian yang mampu dibanggakan.

“Penganjuran konsert MGV di Istana Budaya ini sangat istimewa kerana buat pertama kali, bintang GV musim pertama dan kedua akan bergabung di atas satu pentas.

“Konsert ini juga dapat memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menonton persembahan artis kesayangan mereka pada konsert mingguan lalu,” ujar Raqim.

Tidak hanya memberi pengalaman baharu kepada artis terlibat, penganjuran konsert sebegitu juga mampu meninggalkan momen yang sukar dilupakan kepada penonton.

Dalam pada itu, konsert tersebut turut diterapkan dengan elemen yang menjadi tarikan dalam setiap konsert mingguan GV musim kedua seperti pemilihan lagu dan gimik artis jemputan.

Masih mengekalkan jodoh pasangan pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse, konsert tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida bertindak sebagai penaja konsert MGV.

Mendapat sokongan daripada pengasas produk kecantikan popular itu, beliau percaya GV dapat mengulangi kejayaan yang pernah diraih sepanjang konsert mingguan dan malam kemuncak pertandingan sebelum ini.

“Melihat kepada kejayaan yang diperoleh sebelum ini, saya yakin penganjuran konsert di Istana Budaya nanti akan berjaya menarik lebih banyak peminat untuk menonton,” katanya yang terkenal dengan tagline ‘Qu Puteh, Qu Puteh, barulah putih’.

Menjanjikan persembahan yang bertenaga, juara GV musim pertama Ayai Ilusi teruja apabila sekali lagi diberi peluang berkumpul semula dengan peserta program tersebut di atas satu pentas yang sama.


“Saya berasa sungguh gembira apabila mengetahui penganjuran konsert tersebut dan lebih menarik ia menggabungkan kedua-dua musim.

“Saya akan menyanyikan sebanyak enam buah lagu sepanjang tiga hari konsert tersebut.

Diharapkan segalanya latihan dan usaha kami dipermudahkan, terutama tahap kesihatan yang baik,” jelas pelantun lagu Manusia Sempurna itu ceria.

Selain Ayai, konsert MGV turut menyaksikan persembahan daripada Farahdhiya, Ezad Lazim, Nassier Wahab, Rahmat Mega, Haleeda, Achong, Haiza, Amir Ukay’s, Zul HandyBlack, Nizam Laksamana, Sharifah Zarina, Azian Mazwan Safuan, Sheeda, Sam Innuendo dan Fazli Zainal.

Bagaimanapun, atas sebab tertentu, juara GV musim kedua, Siti Nordiana memohon maaf kerana tidak dapat membuat persembahan pada malam kedua konsert iaitu 16 Januari.

Sebaliknya, wanita kelahiran Negeri Sembilan itu berusaha untuk tidak menghampakan penonton dalam persembahannya pada 15 dan 17 Januari.

“Saya memohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat membuat persembahan pada malam 16 Januari kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

“Tetapi, Insya-Allah persembahan pada dua malam berkenaan pastinya akan dilakukan sebaik mungkin agar tidak menghampakan peminat,” katanya.

- Gegar Vaganza masuk Istana Budaya

SHARING GOOD

0 Comment to "Gegar Vaganza masuk Istana Budaya"

Post a Comment