Tuesday, 12 January 2016

Nora Danish: Saya hanya mangsa keadaan



UNTUK tahun 2016, Nora mahu memperlahankan aktiviti lakonan demi fokus terhadap perniagaan pakaian Muslimah dan restoran miliknya.

Sejak dahulu lagi, kehidupan peribadi pelakon kecil molek, Nora Danish, 33, sering menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat dunia hiburan tempatan. Selain kisah cintanya bersama Nedim Nazri, aktres berstatus ibu tunggal itu tidak pernah terlepas tempias kontroversi apabila hubungan baiknya dengan bekas keluarga mertua sering dipertikaikan.

Terbaharu, dia sekali lagi menjadi mangsa keadaan apabila dituduh sebagai orang ketiga yang merosakkan hubungan rumah tangga artis, Fasha Sandha dan suami, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.


Artis Meletop!: Umum sedia maklum mengenai masalah rumah tangga bekas suami anda, Jejai dan Fasha yang turut melibatkan nama Nora ketika ini. Boleh jelaskan bagaimana situasi sebenar yang berlaku?

NORA DANISH: Sejujurnya, saya sendiri terkejut kerana tiba-tiba sahaja nama saya dikaitkan dengan pasangan tersebut. Saya dan Jejai sudah lama berpisah, sepatutnya hal rumah tangga dia tiada kena mengena dengan saya. Tetapi, saya sudah biasa terpalit cerita-cerita tidak betul seperti ini, jadi saya buat tidak tahu sahaja.

Jadi anda menafikan terlibat secara langsung dalam gejolak perkahwinan mereka?

Ya, saya mangsa keadaan hanya kerana mempunyai hubungan baik dengan keluarga mertua. Namun hubungan itu atas dasar anak saya, Putra Rayqal. Ia langsung tiada sebab lain, lagipun keluarga mertua melayan saya dengan baik. Mengapa perlu putuskan hubungan kerana Rayqal tetap sebahagian daripada mereka.

Kalau begitu, mengapa anda seolah-olah melarikan diri pergi bercuti ke luar negara saat isu berkenaan hangat diperkatakan?

Mana ada saya larikan diri (tertawa kecil). Percutian itu sudah lama dirancang dan tiket sudah dibeli, saya tiada alasan untuk membatalkannya. Hal sebegitu langsung tidak memberi kesan terhadap kehidupan peribadi saya. Apa yang penting keluarga saya semua gembira dan selamat. Lagipun, peguam saya ada menasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang ia akan mengeruhkan lagi keadaan. Maka berdiam diri adalah jalan terbaik.

Anda menggunakan khidmat guaman, adakah itu bermakna anda akan menyaman pihak bertanggungjawab yang mencetuskan isu berkenaan?

Saya melantik peguam untuk membela privasi dan nama baik agar tidak terus dicemarkan. Tunggu sahaja apa yang akan terjadi kelak, buat masa sekarang saya tidak dibenarkan bercerita lanjut soal itu.

Secara peribadinya, apakah punca yang menyebabkan nama anda tidak henti-henti dikaitkan dengan bekas suami?

Saya sendiri tidak tahu, mungkin selagi saya tidak berkahwin lain, orang akan beranggapan saya masih tidak boleh melupakan cinta lama. Tetapi itu keputusan saya untuk belum bernikah, tambahan saya pernah berdepan kekecewaan rumah tangga pada usia muda, pastinya saya akan lebih berhati-hati untuk kembali bernikah.

Jadi, anda mempunyai rancangan untuk bernikah dalam masa terdekat?

Insya-Allah, doakan sahaja jodoh saya cepat sampai. Saya tidak mahu berkahwin hanya untuk menutup mulut orang, biarlah ia berlaku dengan sendiri dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Bagaimana dengan perancangan karier seni anda untuk tahun ini?

Untuk 2016, saya mahu memperlahankan karier lakonan demi fokus terhadap perniagaan tudung Owl By ND dan kafe Kopi XOXO. Lagipun saya masih menunggu filem lakonan saya bersama Aaron Aziz iaitu Sayu Yang Syukur ditayangkan. Selain itu, saya akan berangkat ke New York hujung minggu ini bagi menjalani penggambaran siri drama Mak Cun musim kedua selama seminggu.

- Nora Danish: Saya hanya mangsa keadaan

SHARING GOOD

0 Comment to "Nora Danish: Saya hanya mangsa keadaan"

Post a Comment