Tuesday, 12 January 2016

Tuah jambang, misai lentik Wak Doyok



TRAVELOG - Selepas Ke Korea Ke Kita? dan Ke Indonesia Ke Kita?, Wak akan ke Eropah menjalani penggambaran program travelog Ke Europe Ke Kita? bersama seorang lagi hos, Myo selama 55 hari bermula April nanti.

DIA bukanlah selebriti yang berdiri dalam litar arus perdana seperti majoriti artis lain. Dia hanya seorang fashionista yang memberi inspirasi besar kepada orang ramai dek keberhasilan imej fesyennya yang menjadi fenomena bukan sahaja di tanah air malah di luar negara. Namun, imej dan penampilan yang dibawa lelaki berjambang, bermisai lentik dan bergaya segak itu ibarat lubuk rezeki buat dirinya.

Biarpun pada mulanya mendapat kritikan ramai kerana dikatakan cuba membawa ‘anasir’ kurang sesuai dengan budaya rakyat Malaysia, langkah Wak Doyok atau nama lengkapnya Mohd. Azwan Md. Nor, 36, tidak pernah terbantut.

Selesa disapa sebagai Wak dalam kalangan media, dia berjaya memberi takrifan baharu kepada perkataan hipster yang menjadi bualan dan trend ramai muda mudi hari ini. Menariknya, anak jati Selangor itu menjadikan fesyen sebagai periuk nasi dan batu loncatan untuk berjaya setelah bermacam kepayahan terpaksa ditempuhi.

Masakan tidak, tatkala nama Wak masih lagi asing di mata peminat, dia diherdik ramai kerana menggayakan pakaian yang dikatakan tidak sesuai dengan budaya apatah lagi cuaca panas di Malaysia. Tahun berganti, ternyata dia telah berjaya membuka mata ramai dengan rentetan kejayaan demi kejayaan yang dicapai pada usia yang masih muda.

“Saya malas untuk fikir apa yang orang fikir mengenai saya. Apa yang penting saya tidak mengganggu kehidupan orang lain, saya okey dan akan terus bikin perkara yang saya suka.

“Dalam hidup ini, kalau terlalu mahu puaskan hati orang lain memang sampai bila pun tidak akan bahagia. Jadi, saya ambil pendekatan fokus terhadap hidup sendiri. Itu lebih baik dan mendatangkan banyak faedah,” katanya.


Jambang, misai lentik

Tiada kata mampu menidakkan kejayaan yang dikecapi Wak. Barangkali kisah perit jerih hidupnya tidak begitu singgah ke pengetahuan ramai.

Bersusah-susah dahulu, bersenang- senang kemudian. Itulah yang menjadi prinsip hidupnya sejak dahulu sehingga kini. Sekitar 2008, lantaran kesempitan hidup dia pernah bekerja sebagai buruh kasar di Port Klang. Selain berpanas untuk sesuap nasi, hiburan hariannya ialah menyaksikan kereta mewah diturunkan daripada kren atau kapal tempatnya mencari sesuap nasi.

“Dahulu kehidupan agak sukar sehingga saya ditinggalkan oleh rakan-rakan hanya kerana saya jatuh miskin dan dibuang kerja.

“Waktu itu tidur tidak cukup kerana ingin mencari wang yang cukup bagi menyara hidup. Upah gaji pada waktu itu hanya RM5 sejam,” ceritanya.

Tambahnya lagi, sebelum berada pada tahap hari ini, banyak pekerjaan telah dilakukannya dan dia percaya apa yang berlaku telah mematangkannya dan menjadikannya insan yang lebih tabah.

Segalanya bermula apabila dia mendapat tahu bahawa sebuah butik jenama terkenal Ben Sherman akan beroperasi di Kuala Lumpur. Di situlah bermulanya titik tolak perubahan hidup pemilik jenama The Garment itu.

“Semasa hendak menghadiri sesi temu duga di butik Ben Sherman, kereta saya ditarik sebab sudah lebih empat bulan tidak berbayar. Dari tempat kejadian, saya terpaksa berjalan sejauh lima kilometer ke Bangsar.

“Sampai sahaja di sana, saya diberitahu bahawa penampilan saya ketika itu tidak sesuai untuk bekerja di butik berkenaan. Saya pulang dengan perasaan hampa dan kembali melakukan kerja-kerja lama seperti menjadi kelindan lori dan mengambil upah membaiki motosikal.

“Saya tidak berputus asa dan saya tetap mencuba temu duga kedua di butik tersebut. Waktu itu, saya telah melakukan sedikit perubahan terhadap penampilan. Alhamdulillah saya diterima kerja dengan gaji permulaan sebanyak RM1,200,” ceritanya.

Sejak daripada situ, dia mendapat banyak peluang dalam bidang fesyen dan terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Antara pereka fesyen terkenal yang pernah bekerjasama dengannya ialah Fairuz Ramdan.

Pakaian lelaki yang diketengahkannya seperti sut yang lengkap bertali leher ketika itu sering menerima kutukan kerana ramai berpendapat fesyen sedemikian tidak sesuai digayakan di Malaysia.

Wak Doyok sendiri mengakui, tidak selesa apabila wajah terpampang pada poster yang ditampal di sekitar Bukit Bintang dan seluruh Malaysia dengan hashtag mengaibkan seperti #wakdogol dan #seranggaperosak. Ia menjadi viral di laman sosial.

“Sedikit sebanyak, insiden itu memperkenalkan saya kepada rakyat Malaysia walaupun ia berbaur negatif,” ujarnya.



Bisnes, kejayaan

Menginjak tangga demi tangga, siapa sangka Wak kini sudah bergelar usahawan berjaya. Terbaharu, restoran miliknya, Dulang Mas Cafe telah mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu. Perniagaan itu diusahakan bersama dengan rakan bisnes, Fizul Nawi yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

“Menu di restoran tersebut berasaskan rasa original Hatyai (Thailand). Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan ramai yang datang menjamu selera termasuk rakan-rakan artis.

“Rancangan awalnya ialah membuka cawangan di Melbourne Australia, tetapi rezeki di Malaysia yang datang terlebih dahulu. Insya-Allah, suatu hari nanti impian mahu buka restoran di luar negara akan tercapai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wak juga merupakan pengasas syarikat Legasi WD Holding (M) Sdn. Bhd. yang menghasilkan banyak produk seperti Kopi Lu-Wak Doyok, Pomade Wak Doyok, Krim Jambang Wak Doyok dan banyak lagi.

“Alhamdulillah, tidak lama lagi saya akan ke Indonesia untuk melancarkan krim jambang di sana,” katanya.

Seiring minatnya dalam bidang fesyen, Wak juga menjalankan bisnes kedai gunting rambut yang diberi nama VVIP Barbershop di Subang Jaya. Dalam perancangan, beberapa cawangan baharu akan dibuka tidak lama lagi.

“Banyak lagi perancangan untuk mengembangkan perniagaan. Saya akan berusaha ke arah yang lebih berjaya mengikut pelan yang telah dirancang. Saya mahu menjadi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana.

“Dunia ini luas, menjadi satu kerugian jika kita tewas hanya dengan kritikan. Kita juga rugi jika termakan janji palsu bertulang pujian. Oleh itu, jangan mudah termakan kata-kata orang,” ujarnya.

Getus Wak Doyok juga, ramai yang ingin menjatuhkan individu lain melalui kata-kata nista, tetapi kata-kata tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya.

“Apa orang nak cakap, cakaplah. Mulut manusia memang tidak boleh ditutup. Suatu hari apabila sudah penat bercakap, mereka akan berhenti juga.

“Saya tidak mahu mendabik dada atas kejayaan yang dikecapi hari ini. Apa yang saya ada hari ini adalah hasil dorongan dan juga kritikan orang ramai. Perjalanan hidup masih lagi jauh, saya akan terus melangkah sejauh mungkin. Insya-Allah,” ulas lelaki berbadan sederhana itu.

Filem pertama

Ditanya mengenai perkembangan seni, Wak akan muncul dalam filem Abang Long Fadil 2 arahan sutradara berbakat, Syafiq Yusof yang dijadualkan menemui peminat tahun ini.

Bagaimanapun, Wak menolak untuk menjadikan lakonan sebagai karier utama, sebaliknya sekadar untuk mengisi masa lapang.

“Khalayak mengenali saya sebagai orang fesyen, bukannya pelakon. Saya bukanlah pelakon handalan, tetapi kalau ada kelapangan dan tawaran yang sesuai, saya tidak akan menolak.

“Kalau ditawarkan watak utama, saya tidak menolak dan akan terima. Kalau boleh, saya ingin cuba pelbagai jenis watak lagi,” katanya yang mengidam watak seorang lelaki terencat akal.

Menerusi Abang Long Fadil 2, Wak Doyok ditampilkan sebagai watak antagonis, tetapi turut dikembangkan dengan karakter komedi.

“Dalam filem berkenaan, watak saya menggunakan nama asal, Wak Doyok iaitu anak kepada Taji Semprit lakonan A. Galak. Saya merupakan anak kepada penjahat yang cuba merebut kerusi sebagai ketua gengster dan mengkhianati bapa sendiri.

“Walaupun watak jahat, tetapi tetap ada elemen komedi dan paling menarik, kostum yang diketengahkan berkonsepkan pakaian ala Inggeris yang memang menjadi sesuai dengan saya,” ujarnya.

Ditanya mengenai cabaran berlakon dalam filem tersebut, Wak Doyok memberitahu, banyak dialog yang memerlukannya bertutur dalam dialek Jawa dan Indonesia. Selain itu, dia juga terpaksa mempelajari seni mempertahankan diri iaitu silat.

“Yang sukar ialah skripnya dalam bahasa Malaysia tetapi saya perlu tukarkannya ke dalam bahasa Jawa dan Indonesia. Saya dan A. Galak serta pelakon lain saling membantu dalam melontarkan dialog dan aksi pertarungan.

“Babak pergaduhan memang susah. Kebanyakan aksi dilakukan sendiri kerana saya ada asas dalam seni mempertahankan diri iaitu silat. Sepanjang penggambaran, ada juga aksi yang menyebabkan saya tercedera,” katanya menutup bicara.

- Tuah jambang, misai lentik Wak Doyok

SHARING GOOD

0 Comment to "Tuah jambang, misai lentik Wak Doyok"

Post a Comment