Tuesday, 12 January 2016

Siti Saleha impi ke Hollywood



KELIBAT gadis kacukan Melayu-Inggeris ini di dalam bidang seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sahaja cantik, bahkan pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharom ini memiliki bakat besar yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Masakan tidak, dia mampu untuk meraih gelaran Pelakon Televisyen Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular. Bukan itu sahaja, gadis berusia 26 tahun ini juga pernah tercalon dalam beberapa anugerah berprestij saban tahun.

Akui Saleha, menjadi pelakon yang baik bukan sahaja menjadi impiannya, malah dia percaya semua pelakon juga mempunyai impian sebegitu.

Justeru, walau hanya tercalon di dalam mana-mana anugerah berprestij ia sudah cukup memberi satu kepuasan tersendiri.

“Bila kita tercalon, ia seperti satu pencapaian di dalam karier kita. Ia seperti membawa maksud kita sudah hampir untuk menggenggam apa yang kita inginkan,” ujarnya kepada Zass.

Tidak hanya mengimpikan untuk menjadi pelakon yang baik di dalam Malaysia semata-mata, Saleha mendedahkan, dia menyimpan hasrat untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Oleh itu, dia melihat tawaran kerjanya di Indonesia sejak akhir-akhir sebagai satu peluang sebelum dia melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya memang meletakkan sasaran tinggi untuk pergi ke peringkat antarabangsa. Saya bukan nak kata saya pelakon yang bagus tapi pelakon yang bagus perlu meletakkan sasaran untuk pergi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya tahu bila nak ke peringkat yang lebih tinggi ini, kita perlukan tuah. Tapi saya percaya dengan rezeki seseorang itu.

“Alhamdulillah tahun ini saya mempunyai dua projek di Indonesia melibatkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia. Insya-ALLAH saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memperbaiki lakonan saya dan mencari pengalaman,” ujar adik kepada penyanyi Sam Bunkface ini.

Jelasnya, dia juga lebih memilih untuk menerima tawaran lakonan sejak kebelakangan ini.

“Bukan bererti saya ‘demand’, cuma tidak mahu penonton bosan kerana terlalu kerap kemunculan saya di layar skrin. Saya juga tidak mahu mengambil apa sahaja tawaran yang ada kerana bimbang tidak dapat menumpukan perhatian dan komited terhadap tugasan,” jelasnya.

Mengakui rezekinya tidak pernah putus, Saleha berkata, dia sangat bersyukur kerana industri masih memberikan kepercayaan kepadanya.

“Saya percaya disiplin dan minat terhadap kerja itu memainkan peranan dalam perkembangan karier kita. Kerana itu, saya sentiasa memberikan yang terbaik sepanjang terlibat dalam industri ini.

“Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada rezeki kita, adakala kita beri yang terbaik, tetapi jika tidak ada rezeki, segalanya tidak menjadi,” katanya.

Tambah Saleha, hampir 10 tahun bergelar anak seni mengajarnya untuk menjaga nama dan nilai eksklusif agar tidak menjejaskan karier pada masa hadapan.

“Dengan menjaga nama baik kita, orang akan menghormati dan selesa bersama kita. Saya tidak mahu memandang buruk kepada orang lain kerana bimbang menjejaskan periuk nasi sendiri,” katanya.


Akui kecewa

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, Saleha berkata, dia baru sahaja selesai dengan penggambaran filem berjudul Spy In Love membabitkan kerjasama Malaysia-Indonesia, yang turut membabitkan Keith Foo dan Nasha Aziz yang memainkan watak sebagai ibunya.

Bukan itu sahaja, Saleha juga kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Langit Cinta arahan Osman Ali sebagai Doktor Suzanna.

Berkongsi pengalamannya berlakon di dalam filem yang turut menampilkan Keith Foo, Fazura dan Farid Kamil itu, Saleha berkata, ia adalah satu pengalaman hebat di dalam karier lakonannya.

“Saya memegang watak sebagai Dr Suzanna yang menyimpan perasaan terhadap Alif Zulkarnain sejak dia remaja lagi. Jadi apabila satu tragedi menimpa Alif, dengan pengalaman sebagai seorang doktor, dia cuba menjaga Alif sebaik mungkin dalam masa sama membuat pengakuan tentang perasaannya.

“Bagaimanapun, beberapa babak penting itu tidak dimasukkan ke dalam filem disebabkan oleh durasi yang tidak mencukupi.

“Secara jujurnya sebagai pelakon bila ada beberapa babak yang memang dah lama kita impikan tapi ia tidak dipaparkan, sudah tentu saya kecewa tapi saya percaya dengan keputusan yang dibuat oleh abang Osman,” jelasnya.

Dalam pada itu, diusik mengenai perihal peribadinya, Saleha berkata, dia tidak meletakkan sebarang target untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Bahkan dia juga tidak mempunyai teman istimewa kini.

- Siti Saleha impi ke Hollywood

SHARING GOOD

0 Comment to "Siti Saleha impi ke Hollywood"

Post a Comment