KARIER lakonannya mungkin tidak terlalu menyerlah jika dibandingkan adiknya, bagaimanapun ia bukanlah halangan buat aktres jelita, Uqasha Senrose, untuk terus mencipta nama di persada seni tanah air.
Menurut Uqasha, dia mahu mengembangkan lagi bakatnya dengan mencuba pelbagai karakter. Malah akui pelakon drama Strawberi dan Karipap ini, dia turut mengimpikan watak lebih berat berbanding sebelum ini.
“Tahun 2016 ini, saya impikan untuk mendapat tawaran watak lebih mencabar daripada saya terima sebelum ini.
“Bukan apabila kita bertudung ini perlu bawa watak baik dan ringan sahaja. Banyak juga watak boleh kita buat walaupun berhijab.
“Daripada situ, saya boleh tahu sejauh mana kemampuan lakonan saya,” katanya kepada Zass.
Tambah Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 24, berkata, sebolehnya untuk tahun ini, dia mahu lebih fokuskan pada bakat lakonan daripada perkara lain.
“Harapan saya biar orang nampak bakat lakonan lebih menonjol daripada benda lain.
“Bagaimanapun, kita hanya mampu merancang, selebihnya ALLAH yang aturkan, jadi jika masih timbul perkara tidak enak, itu saya tidak dapat elakkan.
“Tidak kira tahun baharu atau apa, jika nak buat silap tu tetap buat silap juga. Apa yang penting kita sentiasa usaha untuk memperbaikinya,” katanya.
Kakak kepada pelakon Nelydia Senrose ini juga memberitahu yang hasrat untuk menonjolkan lagi bakat lakonan mungkin boleh dilihat pada drama yang tidak lama lagi menemui penonton slot Akasia.
“Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 30 episod berjudul Tundukkan Playboy Itu yang akan disiarkan di slot Akasia TV3 mungkin pada April nanti.
“Memang sekarang saya sibuk dengan penggambaran sejak pertengahan bulan 12 tahun lalu hingga awal Mac nanti,” katanya.
Bisnes tudung dapat sambutan
Berkongsi perkembangan perniagaan tudungnya, Uqasha Senrose Colection, aktres yang berasal dari Kelantan ini meluahkan rasa kesyukuran kerana ia mendapat sambutan menggalakkan.
“Buktinya ketika kami melakukan jualan akhir tahun hujung Disember lalu, sambutannya di luar jangkaan kami.
“Justeru, sebagai peniaga, memang menjadi harapan saya agar perniagaan ini terus berkembang dan sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat.
“Secara tidak langsung, hasilnya nanti memberi kepuasan pada saya yang ingin berjaya di atas kaki sendiri,” katanya.
Mengulas sama ada perancangan untuk melebarkan perniagaan untuk produk lain, Uqasha berkata, dia tidak memikirkan lagi perkara itu.
“Buat masa ini saya mahu fokus pada tudung dan lakonan sahaja. Tidak mahu buat banyak perkara dalam satu masa, nanti semuanya tidak menjadi,” katanya.
0 Comment to "Uqasha Senrose kongsi impian"
Post a Comment