Monday, 11 January 2016

Erti cinta Kavita, Roberto


Kavita dan Roberto akan melakukan sebuah resepsi di negara kelahiran suaminya itu di Itali pada bulan Mei depan.

BUKAN cinta pandang pertama. Begitu tafsiran pelakon, model dan pereka fesyen Kavita Kaur Sidhu apabila bercakap mengenai detik pertemuan dengan suaminya, Roberto Guiati sekitar tujuh tahun lalu.

Ketika itu, Kavita, 44, dan Roberto sedang sama-sama menjalani penggambaran sebuah iklan terbitan Kementerian Pelancongan Malaysia untuk saluran berita CNN.

Akuinya, walaupun menyukai Roberto saat kali pertama melihat jejaka kelahiran Itali itu, namun, Kavita mengambil pendekatan untuk mengenali suaminya sebagai rakan terlebih dahulu.

“Saya akui suka melihat Roberto. Tetapi, ia bukanlah seperti cinta pandang pertama. Saya berkawan dengannya terlebih dahulu dan sepanjang tempoh itu, kami mengenali hati budi masing-masing.

“Sehingga empat tahun lalu, kami betul-betul serius dalam perhubungan,” jelas Kavita sewaktu ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya bersama Roberto di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbaloi

Tambah pelakon filem Waris Jari Hantu itu, penantiaan selama empat tahun merupakan sesuatu yang sangat berbaloi memandangkan Roberto, 36, memiliki ciri-ciri lelaki yang boleh melengkapi hidupnya sebagai seorang wanita.

“Dia merupakan seorang lelaki yang penuh kualiti. Kebetulan, kami berdua juga mengamalkan sikap tidak terburu-buru dalam setiap perkara, termasuk cinta.

“Jadi, selepas mengenalinya dalam senggang masa empat tahun, saya yakin Roberto merupakan lelaki terbaik dan akan menjaga hubungan kami sebagai sepasang suami isteri hingga ke akhir hayat,” katanya lagi.



Kavita Kaur dan Roberto Guiati pertama kali bertemu tujuh tahun lalu, sebelum menjadi sahabat dan kemudian mengambil keputusan untuk berkahwin.

Melanjutkan bicara mengenai status baharu sebagai seorang isteri, Kavita berkata, dia perlu membahagikan masa sebaiknya agar kehidupan berumah tangga dapat diseimbangkan dengan kerjaya.

“Saya merupakan seorang wanita bekerjaya dan dia juga suka melihat isterinya berdikari. Tetapi, dia juga mahu saya menghabiskan masa bersama di rumah.

“Jadi, sebagai seorang isteri, saya perlu cari keseimbangan antara kerja dan keluarga. Ibu saya juga melakukan perkara yang sama terhadap ayah. Jadi, saya akan cuba bertolak-ansur agar hubungan suami isteri akan bertambah baik,” ujar Kavita sambil tersenyum.

Menyambung perbualan, Roberto, yang merupakan ahli geologi di sebuah syarikat cari gali minyak di ibu kota berkata, Kavita merupakan seorang wanita terbaik yang pernah dikenalinya.

“Dia merupakan sahabat, isteri dan pasangan. Dia adalah segala-galanya bagi saya.

“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan saya melainkan kegembiraan ini (perkahwinan),” ujarnya sambil tersenyum.

Selain bergelar ahli geologi, Roberto merupakan rakan kongsi Kavita dalam menguruskan restoran Zenzero Restaurant & Wine Bar yang terletak di Kuala Lumpur.

Kavita dan Roberto memilih untuk berbulan madu di kepulauan Maldives sekitar Mac depan dan dalam masa yang sama, pasangan itu juga merancang untuk mengadakan sebuah lagi resepsi di Itali pada penghujung bulan Mei.

Ditanya tentang perancangan untuk mendapatkan cahaya mata, dalam berseloroh Kavita berkata: “Kami tidak merancang tetapi saya teringin untuk menimang anak dalam masa terdekat. Kalau boleh esok!”

- Erti cinta Kavita, Roberto

SHARING GOOD

0 Comment to "Erti cinta Kavita, Roberto"

Post a Comment