Mira meminati filem Hindi. Ceritanya, oleh kerana terlalu fanatik, jika menonton filem-filem Hindi, dia akan berangan untuk menari serta menyanyi seperti heroin di dalam filem.
Nama wanita berwajah keanak-anakan, Mira Filzah mula menjadi bualan dalam laman sosial apabila gambarnya yang beruniform lengkap pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diviralkan dek kecomelan empunya diri.
Pada waktu itu, tidak ramai yang tahu Mira sebenarnya bukan petugas JPJ, tetapi seorang pendatang baharu dalam industri hiburan yang sedang bertatih untuk bergelar pelakon.
Namun, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, tidak pernah menganggap kejadian itu sebagai sesuatu yang negatif, malah sehingga kini anak kelahiran Kuala Lumpur itu berterima kasih kepada orang yang bertanggungjawab menyebarkan gambarnya.
“Memang kedengaran pelik bila orang mendengar saya suka gambar disebarkan, tetapi jika ia memberi impak positif dalam perjalanan seni, mengapa perlu disesalkan?
“Harus saya akui, untuk melonjakkan nama dikenali dalam barisan pelakon tanah air bukan perkara senang. Sekurang-kurangnya, viral saya bukan bersifat memalukan, itu sudah cukup bagus untuk saya,” katanya tentang percambahan kerjayanya semenjak kebelakangan ini.
Adi Putra dan Akasia
Tradisi atau badi, dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, slot Akasia menjadi satu platform penentu bagi pelakon baharu memperjudikan nasib untuk mencuri secalit perhatian peminat tempatan.
Kutukan atau pujian, kedua-duanya habuan bermakna kerana itu petanda penonton menonton cerita lakonan mereka.
Tidak terkecuali Mira sendiri, pembukaan 2016 baginya ialah sebuah peluang keemasan buat dirinya apabila drama lakonannya, Cinta Si Wedding Planner (CSWP) terpilih sebagai pembuka tirai Akasia tahun ini.
Teruja dan gementar, perasaan wanita berusia 22 tahun itu bercampur baur kerana ini kali pertama dia ditawarkan watak utama walaupun masih mentah dalam industri seni tempatan.
“Saya terkejut kerana sebelum ini cuma pernah berlakon dalam sebuah drama iaitu Eksperimen Cinta dan beberapa telefilem. Usia saya dalam bidang lakonan pun belum mencecah setahun, malah langkah dalam dunia ini berlaku secara kebetulan sahaja.
Biar kelihatan begitu lemah lembut, hakikatnya pelakon ini meminati aktiviti sukan lasak.
“Terus-terang saya katakan, pertama kali merasai pengalaman uji bakat lakonan adalah menerusi naskhah CSWP. Proses itu cukup mengujakan,” katanya.
Sebaik lulus uji bakat tersebut, perkara yang membuat dia hampir pengsan adalah kerana digandingkan dengan aktor terkenal, Adi Putra.
“Memang pada mulanya saya takut untuk berlakon dengan Adi, itu sebabnya rasa macam mahu pengsan kerana terlalu gementar, terutamanya sewaktu melakonkan babak-babak romantik.
“Bagaimanapun, memandangkan Adi banyak membantu dan pandai bergaul, gemuruh saya hilang perlahan-lahan maka hasilnya sekarang, kami sudah tidak berasa kekok untuk berborak apatah lagi berlakon bersama,” katanya yang masih dalam proses menghabiskan baki sebulan penggambaran CSWP yang sudah bermula sejak Oktober 2015.
Gosip dan cinta
Adat bergelar anak seni, usikan manja dan tempias kontroversi walau sedikit sudah menjadi lumrah tidak kira artis yang sudah berpangkat senior atau masih dalam fasa mencari tapak untuk berdiri.
Sedar dan berjaga-jaga, Mira sedia maklum dia perlu menerima kenyataan itu apabila hatinya dibulatkan untuk serius dalam mengejar impian bergelar penggiat seni hiburan.
Katanya, gosip dan kontroversi perkara biasa kerana selebriti adalah milik umum, cuma apa yang boleh dilakukan ialah cuba untuk mengurangkan isu kurang enak sebanyak yang mungkin.
Tidak terlepas berdepan situasi panas seperti itu, sekitar awal November tahun lalu dia diburu media apabila dikatakan menjadi orang ketiga dalam hubungan dua pelakon iaitu Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad sehingga cinta mereka berantakan lalu musnah.
Setenang air di kali, Mira tidak kelihatan berat atau rimas bercerita tentang hal tersebut kerana dia tahu, apa sahaja yang dilaporkan hanya sekadar gosip yang tidak berpangkal sumber sahih.
“Saya memang tidak terasa apa-apa kerana cerita itu tidak betul. Gosip itu mengatakan saya bermasam muka dengan Mia, sedangkan saya langsung tidak pernah kenal atau bercakap dengan dia.
“Bagi saya, tidak perlu bebankan fikiran untuk melayan perkara yang memudaratkan seperti ini. Lebih baik saya biarkan sahaja dan lama-lama akan lenyap sendiri,” ujarnya yang mengakui berkawan dengan Syarul namun sekadar teman biasa.
Tambahnya lagi apa yang penting, penerimaan keluarga terhadap pilihan kerjayanya sudah cukup bermakna dan memberikan kekuatan menghadapi segala kemungkinan serta cabaran dalam dunia hiburan.
Selain berlakon dan menjadi model, Mira juga memiliki perniagaan produk kecantikan yang diberi nama Mora Essentials iaitu sejenis serum penjagaan kulit muka yang diasaskan daripada bahan-bahan semula jadi. Perniagaan ini dimulakan sebelum Mira bergelar pelakon dan semakin berkembang dengan bantuan tempias popularitinya yang kian memuncak.
Mira juga bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang mempercayai setiap keputusan yang diambil dan sentiasa memberikan semangat serta dorongan tidak berbelah bahagi dalam apa jua bidang yang diceburi anak-anak.
“Saya sedar, tidak ada ibu dan bapa yang tidak berasa risau apabila anak mereka menceburi bidang hiburan. Cuma, ibu dan bapa saya sentiasa berpesan agar pandai menjaga diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan keburukan pada maruah dan nama baik keluarga,” katanya yang akan merujuk setiap tawaran berlakon kepada ibu dan bapanya sebelum bersetuju.
Saat ditebak adakah hatinya sudah terisi dengan kehadiran insan istimewa, wanita itu hanya tertawa kecil sambil berkata dirinya masih terlalu muda untuk berbicara soal cinta dan perkahwinan.
Masih belum puas meneroka dunia, Mira enggan mengikat diri dengan komitmen berat selagi dia tidak berjaya mencapai sasaran serta kejayaan yang diidamkan selama ini.
Kata Mira, berkawan dengan lelaki adalah perkara normal, tetapi untuk mengambil serius setiap perhubungan kepada tahap perkahwinan, dia berpendapat masih jauh lagi perjalanan itu buat dirinya.
Fokusnya buat masa ini mahu diberikan kepada keluarga dan karier yang baru hendak berkembang.
“Banyak lagi rancangan dalam kepala saya yang belum dilunaskan. Hendak beri ruang berfikir tentang cinta pun tidak sempat apatah lagi ingin bercakap tentangnya,” selorohnya sebelum mengakhiri perbualan.
0 Comment to "Langkah kanan Mira Filzah"
Post a Comment