Wednesday, 6 January 2016

M Daud Kilau semakin beransur pulih


M. Daud Kilau dijaga oleh isterinya Datin Rohani Awang Ngah di HTI.

RAJA gelek Malaysia, Datuk Mohd Daud Kilau, 77, atau lebih dikenali sebagai M. Daud Kilau yang dimasukkan di Hospital Teluk Intan (HTI) sejak Ahad lalu semakin beransur pulih.

Dia yang berasal dari Kampung Sungai Balai, Bagan Datoh, dimasukkan ke wad selepas mengalami komplikasi membuang air kecil.

Penyanyi yang popular dengan lagu Cek Mek Molek ini berkata, keadaannya semakin pulih dan yakin akan sembuh dalam masa terdekat selepas menerima rawatan.

"Saya sudah tidak sabar untuk sembuh sepenuhnya dan berjumpa dengan peminat-peminat saya seluruh negara.

"Saya juga meminta peminat, rakan-rakan serta rakyat Malaysia mendoakan kesihatan saya semakin baik, kerana saya tidak akan mengalah selagi kudrat masih ada menghiburkan peminat," katanya ketika ditemui di HTI.


Anak lelakinya, Ahmad Zaini Mohd Daud, 44 yang turut berada di sisinya di wad berkata, ayahnya di masukkan ke wad selepas mengadu sukar untuk membuang air kecil.

"Selepas ayah mengadu sukar membuang air kecil kami segera membawanya ke HTI untuk rawatan, tetapi doktor menyarankan supaya dia dimasukkan ke wad bagi mendapatkan pemeriksaan rapi.

"Ayah memang menghidapi penyakit kencing manis dan buah pinggang jadi bila doktor menyarankan dia ditahan untuk rawatan rapi kami setuju, supaya dia sembuh sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, ayahnya enggan untuk ditahan di wad kerana pada hari sama dia sudah berjanji untuk bertemu peminat pada konsert Fiesta Bagan Datoh.

"Kami tahu ayah amat kecewa kerana tidak dapat buat persembahan, namun dia tetap akur dan mendengar nasihat kami untuk menerima rawatan rapi bagi kebaikkannya," katanya.

- M Daud Kilau semakin beransur pulih

SHARING GOOD

0 Comment to "M Daud Kilau semakin beransur pulih"

Post a Comment