Wednesday, 6 January 2016

Adira: Saya lebih bahagia



PELANTUN lagu Kekasih Teragung Dunia ini mengakui perjalanan hidupnya kini lebih bahagia selepas bergelar isteri kepada Datuk Seri Adnan Abu, 37.

Meski pun berstatus isteri kedua, baginya, ia bukan alasan dia tidak boleh berbahagia seperti pasangan suami isteri lain.

Malah, dia cukup gembira kini kerana mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab dan sering ada bersama di kala dia memerlukan sokongan.

Namun, di sebalik rasa kasihnya terhadap suaminya itu, Adira menjelaskan, perkara utama membuatkan dia memilih Adnan adalah kerana lelaki itu berjaya mengambil hati dan menjaga emaknya.

"Asalkan emak saya bahagia, saya juga bahagia. Pada saya, emak lebih penting dan restunya adalah yang paling saya perlukan apabila bernikah dengan Adnan," kata penyanyi yang dikenali sebagai Adira Suhaimi ini.

Ujarnya, dia tidak menolak dakwaan ada yang tidak senang hati dengan tindakkannya menjadi isteri kedua.

"Semua ini jodoh, apabila jodoh telah tertulis, ia sukar ditolak. Saya sendiri tidak menduga ini ketentuan yang ditulis untuk saya. Mungkin ada yang tidak suka, tetapi apa yang boleh saya katakan, hidup saya cukup baik kini," katanya.

Dalam pada itu, Adira memberitahu, dia juga tidak mahu mengulas banyak mengenai perkahwinannya kerana perlu menjaga hati banyak pihak.

"Bukan kerana diri sendiri, tetapi keluarga kedua-dua belah pihak dan isteri pertama juga harus dihormati.

"Kerana itu, saya tidak boleh sesuka hati bercakap mengenai perkara ini," katanya.

Akui penyanyi berusia 25 tahun ini, dia juga lebih selesa mendiamkan diri kerana bimbang menyentuh sensitiviti segelintir pihak.

"Alhamdulillah semuanya ok, tidak ada yang perlu digembar-gemburkan. Rasanya lebih elok saya berdiam dan tidak memperbesarkan perkara ini.

"Orang sudah tahu saya berkahwin pun sudah cukup. Saya sendiri tidak merahsiakan perkahwinan ini apabila di tanya," katanya ketika ditemui di perasmian Butik Benang Hijau, baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkahwinannya itu, katanya ia tidak ada kaitan dengan insiden putus tunang, baru-baru ini.

"Keputusan berkahwin ini bukan kerana kejadian itu, apa yang berlaku tiada kaitan. Saya reda dengan semua ini dan terima dengan hati terbuka walau pun perkenalan dengan suami mengambil masa yang singkat," katanya.


Tiada resepsi

Penyanyi kelahiran Ranau, Sabah ini menjelaskan, dia masih tidak membuat sebarang perancangan mengenai majlis resepsi perkahwinannya itu.

Kata pelakon drama bersiri Tiara ini, semuanya bergantung kepada keadaan.

"Dalam masa terdekat ini tidak akan ada. Lagi pun, banyak perkara perlu diutamakan lebih-lebih lagi penerimaan pihak satu lagi.

"Kalau ada pun, hanya untuk rakan terdekat, saudara-mara dan pihak media sahaja," katanya.

Adira juga mengesahkan dia tidak kisah menjadi seorang ibu bila-bila sahaja.

"Insya-ALLAH, kalau ada rezeki saya bersyukur sangat. Saya sendiri tidak mahu menjadi ibu bila dah terlalu tua," katanya sambil ketawa.

Adira turut memberitahu, perjalanan kariernya tetap berjalan seperti biasa meski pun sudah bertukar status.

"Suami sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi. Jadi, tidak ada masalah baginya untuk saya meneruskan karier seperti biasa.

"Bagaimanapun, sebagai isteri orang, saya tidak boleh bebas seperti sebelum ini dan sudah pasti akan ada batas-batasnya," katanya.

Dalam pada itu, Adira meminta agar semua mendoakan kebahagiaannya.

"Saya tahu perkara ini agak mengejut dan berlaku sekelip mata. Apa pun, saya harap semuanya akan tenang seperti sedia kala.

"Buat masa sekarang, saya cuma minta mereka di luar sana mendoakan perkahwinan ini baik-baik sahaja," katanya.

Berita perkahwinan Adira mula menjadi buah mulut apabila Datin Red memuat naik gambarnya bersama penyanyi itu di sebuah laman sosial Facebook bulan lalu dengan kapsyen dia dan Adira kini berkongsi suami.

- Adira: Saya lebih bahagia

SHARING GOOD

0 Comment to "Adira: Saya lebih bahagia"

Post a Comment