PUAS hati pegang watak jahat menerusi Memori Cinta Suraya, Miera tidak menyesal kelibatnya kurang terlihat dalam radar hiburan sekitar tahun lepas.
DeMI memberi fokus penuh terhadap karakter Airin yang dijayakan dalam telenovela Memori Cinta Suraya (MCS), kelibat pelakon tinggi lampai Miera Liyana langsung tidak kelihatan dalam produk seni lain.
Tidak merasa sesal atau ralat, pemilik nama sebenar Miera Liyana Kasmi, 22, itu sebaliknya berasa puas kerana kemunculan watak antagonis bernama Airin kini benar-benar sedang dibenci peminat yang mengikuti drama bersiri MCS.
Tamat penggambaran penghujung Oktober lalu, Miera mengambil keputusan berehat seketika sebelum kembali aktif memandangkan tuntutan MCS sebelum ini memenatkan fizikal dan mentalnya.
Artis Meletop!: Berapa lama anda menjalani penggambaran MCS?
MIERA LIYANA: Memandangkan MCS mempunyai 130 episod, proses penggambaran memakan masa hampir setahun setengah. Sebenarnya ia adalah adaptasi daripada telenovela Mexico, sebab itu jalan ceritanya panjang dan berjela-jela.
Adakah MCS menjadi penyebab kelibat anda lenyap di kaca televisyen untuk produk atau karya lain sepanjang tahun 2015?
Benar MCS menuntut sedikit pengorbanan komitmen daripada saya, namun semua atas atas pilihan sendiri. Saya yang memilih untuk menolak tawaran lain kerana tidak mahu fokus terganggu.
FEBRUARI nanti, Miera akan terlibat dalam penggambaran sebuah program travelog.
Berapa banyak tawaran lakonan yang anda terpaksa tolak sepanjang terlibat dengan MCS?
Kalau dicampur dengan tawaran telemovie, boleh dikatakan sebanyak 30 tawaran terpaksa saya ketepikan. Saya tidak mahu terlalu penat dan tidak boleh bekerja, sekaligus menyusahkan orang lain. Jadi, saya pejam mata sahajalah terhadap tawaran-tawaran yang datang sepanjang tahun lepas.
Jumlah 30 buah tawaran itu bukan sedikit, anda tidak berasa rugi menolaknya?
Saya langsung tidak berasa rugi kerana percaya terhadap rezeki Allah. Lagipun saya puas hati kerana impak watak Airin dalam MCS begitu menjadi sehinggakan peminat percaya peribadi saya sejahat yang digambarkan. Sebelum ini, orang melihat saya membawa watak jahat yang gedik atau penggoda, tetapi kali ini, Airin ialah antagonis yang serius dan benar-benar kejam. Saya bangga membawa watak tersebut.
Anda dilihat hadir ke Pertunjukan Fesyen Diandra Couture di Hotel Royale Chulan baru-baru ini bersama seorang jejaka yang dipercayai anak kepada orang kenamaan atau VVIP. Adakah ia benar?
Nama pemuda itu Nazif. Saya memang berkawan baik dengannya, tetapi dia sekadar teman biasa. Kami sudah kenal hampir setahun tetapi hubungan kami lebih tertumpu atas dasar bisnes. Bagi saya, dia seorang yang pandai membahagikan ruang di antara kerja dan rakan-rakan. Setakat ini, kami selesa berkawan.
Anda tidak melihat hubungan tersebut akan menuju ke arah yang lebih serius?
Saya tidak mahu berfikir tentang perkara yang belum terjadi, tambahan pula berkaitan soal cinta. Saya masih muda, baru 22 tahun. Jadi, soal hubungan serius ini belum menjadi keutamaan. Biarlah saya fokus bina kerjaya dulu dan berkawan dengan semua orang.
Apakah perkembangan terbaru anda?
Sepanjang Februari nanti saya akan memulakan penggambaran rancangan travelog. Saya terima tawaran menjadi hos program berkenaan kerana konsepnya yang meneroka aktiviti seperti menjahit, memasak dan perkara-perkara yang saya ingin saya pelajari. Ia akan menjadi pengalaman baharu dalam karier seni saya.
0 Comment to "Miera Liyana tolak 30 tawaran"
Post a Comment