Saturday, 2 January 2016

Penyatuan unik Jaclyn, Stephen



MANTAP. Biarpun kali pertama beradu vokal di atas pentas yang sama, namun Jaclyn dan Stephen tidak kekok mencipta keserasian sepanjang konsert tersebut berlangsung.

INI merupakan kali pertama seumpamanya pihak Istana Budaya membawa sebuah persembahan yang diberi pembaharuan secara menyeluruh daripada segi konsep iaitu konsert orkestra Music of the Night: An Evening of Favourite Musical and Film Themes with National Symphony Orchestra.

Dipersembahkan baru-baru ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya, konsert yang diterajui oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) itu dipimpin oleh konduktor Mustafa Fuzer Nawi.

Menjadi pelengkap, konsert berdurasi sejam setengah itu menampilkan dua penyanyi berbakat besar iaitu Jaclyn Victor dan Stephen Rahman Hughes.


Ironi, biarpun ini kali pertama pihak Istana Budaya berani membawa sebuah konsert orkestra sebegitu, namun kehadiran penonton yang memenuhi segenap ruang dewan pada malam tersebut bagaikan membunuh stereotaip yang selama ini menghantui bahawa persembahan berskala orkestra kurang digemari orang ramai.

Membuka jendela persembahan dengan gesekan biola, saksofon, trumpet dan piano, alunan merdu yang keluar daripada alat-alat muzik berkenaan memalu gegendang telinga penonton dengan garapan melodi

Antara yang dipersembahkan pada malam tersebut adalah lagu tema daripada filem Pirates of The Carribean, Star Wars, Harry Porter, The Phantom of the Opera, Cats, Les Miserables, Batman, Black Swan, Gladiator dan Lord of The Rings.


MENGAKUI konsert pada malam itu merupakan cabaran buatnya, namun Jaclyn berjaya membuktikan kehebatannya selaku seorang penyanyi berbakat.

Tidak boleh disangkal, kemerduan suara Jaclyn mendendangkan garapan lagu-lagu daripada filem box office sentiasa memberi kepuasan kepada penonton.

Tidak pernah mengecewakan, lantunan vokal yang padu dan bijak menguasai pentas menjadikan Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac memberi sepenuh jiwa dan raganya dalam bentuk penghayatan yang jitu.

Begitu juga dengan kumbang pada malam itu, Stephen Hughes Rahman yang benar-benar memberi penghayatan terbaik untuk kesemua lagu yang dibawanya. Keunikan suara yang dimiliki menjadi bonus buat jejaka berdarah England-Melayu itu untuk memukau penonton dengan gemersik suaranya.

Tiada cacat celanya dengan persembahan penuh memukau pada malam itu. Persembahan penuh mantap dan bertenaga daripada kumpulan orkestra memungkinkan penonton tidak sesaat pun terasa ingin menguap.

Hal ini kerana, susunan dan pilihan lagu persembahan yang penuh nostalgik membuatkan penonton seakan-akan menyaksikan sebuah filem asli di depan mata. Apatah lagi, acap kali persembahan dilakukan, akan disusuli dengan sebuah skrin projektor gergasi yang memuatkan sedutan-sedutan menarik filem berkenaan.

Pentas persembahan pada malam itu ditutup dengan paduan unik suara Jaclyn dan Stephen yang memilih lagu Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang.

Diharapkan selepas ini, akan hadir lebih peluang dan inisiatif luhur sebegini untuk memartabatkan persembahan orkestra pada aras yang sepatutnya.

- Penyatuan unik Jaclyn, Stephen

SHARING GOOD

0 Comment to "Penyatuan unik Jaclyn, Stephen"

Post a Comment