PRESIDEN Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil (tiga dari kanan) bersama barisan selebriti yang terlibat dalam program SORR sewaktu majlis pelancaran baru-baru ini.
HUTAN hujan tropika merupakan khazanah bumi yang tidak ternilai harganya. Selain membekalkan oksigen dan membantu manusia dalam melalui proses respirasi, tumbuhan hijau juga memberi banyak manfaat, khususnya dalam kehidupan sejagat.
Bagi cef selebriti Imelda Harris, biarpun dapur merupakan lokasi kegemarannya dalam menyelesaikan tugasan harian sebagai seorang tukang masak, kelangsungan ekosistem semula jadi dan kemandirian alam sekitar tetap menjadi keutamaan.
“Kerjaya sebagai seorang cef banyak melibatkan penggunaan sayur-sayuran dan tumbuh-tumbuhan hijau.
Khazanah alam seperti herba juga sering menjadi pilihan untuk menambah rasa dalam makanan.
“Benar, saya banyak menghabiskan masa di dapur tetapi saya masih sedar tentang betapa pentingnya penjagaan alam sekitar agar apa yang ada sekarang dapat dinikmati generasi masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran Save Our Rainforest (SORR) yang berlangsung di Kafe Tanah Aina di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Bekas peserta program MasterChef Selebriti musim pertama itu memberitahu, dia turut mengamalkan penggunaan barangan yang mudah dilupuskan setiap kali menyediakan hidangan untuk diri sendiri mahupun pelanggan.
“Kita harus sedar bahawa penggunaan plastik dan beberapa barangan yang sukar dilupuskan boleh membahayakan alam sekitar.
“Selagi termampu, saya cuba mengelak barangan tersebut ketika di dapur,” katanya lagi.
Disebabkan keprihatinan Imelda yang ditunjukkan, cef program realiti pembuatan kek Semanis Fondant itu sekali lagi dipilih untuk bergelar Rakan SORR bagi tahun 2016.
“Saya berasa sungguh gembira kerana terpilih untuk menjayakan kempen ini buat kali yang kedua. Banyak perkara yang saya belajar pada tahun lalu.
“Ia merupakan satu kempen yang sangat baik, terutamanya bagi memberi kesedaran kepada generasi muda dalam menjaga alam sekitar,” katanya lagi.
Menerusi penglibatan keduanya, Imelda merancang untuk berkongsi pelbagai resipi yang diinspirasikan daripada tumbuhan hutan dan herba segar.
“Saya suka berkongsi pelbagai resipi baharu dengan peminat. Jadi, selari dengan kempen SORR, saya bakal berkongsi hidangan unik yang menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai bahan utama,” ujar Imelda yang bakal menggunakan akaun Instagramnya sebagai platform utama mempromosikan SORR.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), SORR merupakan acara jalan kaki bertemakan alam sekitar yang melibatkan penanaman anak-anak pokok di tempat yang disediakan.
Tahun ini, Hutan Simpan Sungai Menyala di Port Dickson, Negeri Sembilan dipilih sebagai lokasi SORR yang bakal diadakan pada 26 Mac depan.
Selain Imelda, rakan-rakan SORR yang turut terlibat menjayakan acara tersebut termasuklah Keith Foo (pelakon), Kim Raymond (ikon fesyen), Amy Search (penyanyi), Johan Raja Lawak (pelawak, pelakon dan penyampai radio), Ozlynn (pelakon), Najwa Latiff (penyanyi), Thanuja (model dan Miss World Malaysia 2009), Syafik Malik (penyanyi), Harick Azha (pemuzik) dan Razif Yahya (atlet).
0 Comment to "Cef Imelda peka terhadap alam sekitar"
Post a Comment