Thursday 25 February 2016

Langkah pantas Hanie Soraya


BAGI sesetengah pendatang baharu, adakalanya mereka sukar mencari magnet untuk mudah melekat pada mata umum. Pernah terjadi, entah daripada mana silapnya ada antara pendatang baharu lenyap terus daripada bahang kepanasan industri dan terkubur begitu sahaja selepas muncul dengan sebuah single.

Tuah manusia tidak sama dan Hanie Soraya membuktikan situasi malang tersebut tidak singgah dalam perjalanan kariernya. Sejak muncul dengan single pertama Hujung Dunia, namanya masih panas sehingga kini.

Memiliki vokal mantap mirip penyanyi Amy Mastura dan membawa nama sama seperti pelakon Hanez Suraya memberi nilai tambah kepadanya untuk senang dikenali sekali gus terus melakar nama dalam industri hiburan sebagai penyanyi.

Biarpun hanya menggunakan masa cuti semester untuk bernyanyi secara aktif, diam tidak diam dia sudah mempunyai tiga buah single. Bergerak sepantas seperti judul single terbaharunya Pantas, perjalanan seni anak didik Faizal Tahir terus mendaki fasa seimbang sementelah ketiga-tiga single diterima peminat.

Awal 2014, single Hujung Dunia yang memperkenalkan Hanie atau nama lengkapnya Hanie Soraya Taha, 22, berjaya menarik 2.1 juta penonton di laman YouTube. Tidak cukup dengan itu, single keduanya berjudul Rasa Sayang juga menjadi apabila berjaya menguasai carta lagu popular di radio.

Berkesempatan bertemu dengan penyanyi kecil molek berkenaan ketika pelancaran single Pantas, terpancar jelas keterujaan di wajahnya apabila diajak bercerita tentang karier dan perkembangan terbaharunya kini.

“Seperti dua single sebelum ini, saya masih mengekalkan tujuan yang sama dalam penceritaan liriknya iaitu ingin memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya untuk golongan muda.

“Saya ingin memberi motivasi kepada golongan muda supaya dapat menjadikan impian sebagai realiti. Tambah istimewa, melodinya lebih segar dan berbeza dengan dua lagu terdahulu,” ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur.

Pada majlis sama, Hanie turut memperkenalkan video muzik lagu tersebut. Jelasnya, video yang dirakamkan di Pantai Morib, Banting sekitar September tahun lalu tersebut juga merupakan gabungan idea bersama beberapa rakan.

Bercerita lanjut tentang single ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong, Hanie mengakui lirik Pantas ditulis sepenuhnya oleh dia sendiri.

Melihat kepada kebolehannya dalam penulisan lirik, sengaja Hanie ditanya tentang lirik-lirik lain yang pernah dihasilkannya. Sambil tertawa, dia mengakui cenderung menulis bagi mengurangkan tekanan sepanjang pengajian. Sehingga kini, sudah buah lirik lagu telah ditulis Hanie.

“Melalui penulisan lirik, saya boleh mengekspresikan pengalaman yang dilalui.

“Bagaimanapun, lapan lirik lagu yang saya tulis itu bukanlah sebuah lagu penuh. Kebanyakannya merupakan lagu pendek dan kemudian saya akan mencampurkan lirik tersebut dengan idea orang lain. Biasanya, saya akan meminta idea tambahan daripada Faizal Tahir,” katanya.




Hanie Soraya kini menghabiskan waktu cuti semester selama sebulan dengan agenda nyanyian dan mempromosikan single baharu, Pantas. Bagaimanapun, dia tetap meluangkan masa bersama keluarga.

Mentor

Terpilih menjadi anak didik Faizal Tahir sejak awal pembabitan dalam dunia nyanyian, Hanie meluahkan kesyukuran kerana diberi peluang mendapat bimbingan daripada penyanyi hebat seperti mentornya itu.

Tambah Hanie, selain dirinya, pendatang baharu seperti Aziz Harun, Elizabeth Tan dan Harris Baba juga menjadi antara anak didik Faizal Tahir di bawah label syarikat rakaman Faitful Music.

“Ketiga-tiga single saya mendapat kerjasama daripada Faizal dan ia diterima baik oleh peminat.

“Faizal merupakan seorang mentor yang hebat dan sangat senang untuk bekerjasama. Walaupun kadangkala dimarahinya, namun bagi saya itu merupakan perkara biasa untuk berjaya,” jelas Hanie.

Biarpun sudah cukup selesa berada di bawah pimpinan Faizal Tahir, Hanie tetap mendambakan ruang kerjasama dengan komposer lain. Dia turut menanam keinginan membawakan lagu daripada rentak berlainan seperti alternatif atau rock.

“Tidak dinafikan, saya memang mempunyai impian untuk bekerja dengan penerbit lain. Kalau boleh, saya ingin berkolaborasi dengan pemuzik dan komposer berbakat seperti AG Coco.

“Bagaimanapun ia terpulang kepada masa, kerana ketika ini saya teruja menjadi anak didik Faizal Tahir,” ujarnya yang merancang mengumpulkan beberapa single terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebuah album penuh.

Minat dan impian

Umum mengetahui Hanie merupakan penuntut tahun ketiga dalam jurusan kedoktoran di Universiti Mensurah, Mesir. Biarpun tersebut terpaksa memikul dua status, pelajar dan penyanyi pada satu masa, namun Hanie selesa dengan keadaan tersebut.

Bagi Hanie, sebagai pelajar dia harus bijak membahagikan masa antara minat dan perjalanan mengejar cita-cita.

Lantas, anak bongsu daripada tiga beradik itu menetapkan fokus sepenuhnya terhadap pengajian semasa berada di Mesir dan akan bernyanyi ketika pulang ke Malaysia setiap kali cuti semester. Sejak melibatkan diri sebagai penyanyi, semua sesi rakaman lagu termasuk rakaman video muzik juga dijalankan ketika cuti semester.

“Seperti yang diketahui, perubatan bukanlah satu bidang yang mudah untuk dipelajari. Jadi saya akan memberi fokus sepenuhnya dan tidak mahu diganggu ketika di Mesir. Apabila balik ke Malaysia, saya akan memanfaatkan sepenuhnya cuti semester dengan aktiviti nyanyian.

“Bagaimanapun, saya bukanlah terus berhenti menyanyi ketika di sana. Kadangkala, untuk mengurangkan tekanan belajar, saya tetap akan bernyanyi bersama rakan-rakan terutamanya pada waktu santai,” katanya tertawa.

Berbicara lanjut mengenai perancangannya setelah tamat pengajian kelak, sementelah dia dilihat mempunyai peluang cerah dalam nyanyian, Hanie mempunyai jawapan tersendiri.

Mengakui begitu meminati bidang perubatan sejak kecil, Hanie berkata, jika diberi peluang, dia ingin seimbangkan dunia nyanyian dan kedoktoran pada masa sama.

“Saya kerap kali ditebak soalan sama daripada ramai orang. Saya akui ia merupakan soalan yang agak sukar dijawab kerana melibatkan masa depan.

“Kalau boleh, saya mahu berjaya dalam kedua-dua bidang iaitu menjadi penyanyi dan doktor.

“Sejak kecil saya bercita-cita untuk menjadi doktor, dan kemudian Allah beri rezeki kepada saya dalam bidang nyanyian pula,” ujarnya yang masih mempunyai baki pengajian selama dua tahun setengah.

Berbicara lanjut mengenai pengajiannya di Mesir, Hanie berkata biarpun berada jauh daripada peminatnya, namun komunikasi dan interaksi tentang karier masih boleh dilakukan menerusi laman sosial.

Selain berkongsi perkembangan semasa dan aktiviti seni, dia turut berkongsi hobinya dengan peminat.

“Saya suka mengambil gambar pemandangan. Jadi apabila berada di Mesir saya akan merakamkan sebanyak mungkin gambar untuk berkongsi dengan peminat. Kalau boleh, saya mahu peminat juga menikmati pemandangan yang sama seperti saya rasa,” ujar Hanie menutup bicara.

- Langkah pantas Hanie Soraya

SHARING GOOD

0 Comment to "Langkah pantas Hanie Soraya"

Post a Comment