Wednesday, 24 February 2016

Sharifah Sakinah mohon maaf gambar jelir lidah di Mekah


SAKINAH menghabiskan masa bersama anak-anak yatim di Rumah Titian Kaseh.

MENJADI lumrah anak seni apabila setiap inci perbuatan mereka menjadi perhatian peminat. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yakni media sosial menjadi penghubung pantas di antara selebriti dan masyarakat.

Tidak terkecuali terkena tempias sama adalah pelakon dan pengacara popular, Sharifah Sakinah yang pergi menunaikan ibadah umrah pada 1 hingga 15 Februari lalu.

Menerusi sekeping gambar yang dimuat naik ke laman Instagram, Sakinah atau nama lengkapnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 26, dikecam segelintir peminat yang tidak berpuas hati dalam gambar yang menyaksikan dirinya sedang menjelir lidah berlatarbelakangkan satu lokasi di Mekah.

Tidak cepat melatah dengan kontroversi yang melanda, Sakinah yang ditemui media pada acara Fit & Fab di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur, memberi penjelasan meskipun sebelum ini banyak berdiam diri tentang hal tersebut.

Terdahulu, pelakon itu menghabiskan sekitar enam jam menjadi juru latih kecergasan termasuk guru tarian Poco Poco kepada lebih 25 orang penghuni Rumah Titian Kaseh dalam program sulungnya mendekatkan diri kepada masyarakat.


Artis Meletop!: Maaf bertanya mengenai sekeping gambar yang menunjukkan anda sedang menjelir lidah di tanah suci ketika menunaikan ibadah umrah, tidakkah Sakinah rasa perlakuan tersebut bukan keperluan?

SHARIFAH SAKINAH: Beginilah, sebenarnya saya tidak mahu hal itu dipanjangkan lagi. Kalau apa yang saya lakukan itu membuat peminat bergaduh di laman sosial, saya betul-betul minta maaf. Saya tidak mahu disebabkan saya, orang bergaduh atau memaki hamun tidak tentu pasal. Bagi saya senang sahaja, apabila saya buat salah, saya minta maaf dan tidak mahu menyimpan dendam dengan orang lain. Jadi saya salahkan diri sendiri di atas kejahilan atau kesalahan saya.

Tidakkah anda rasa masyarakat tempatan terlalu arif atau cekap apabila melibatkan aib seseorang?

Tidak, saya tidak pernah berfikiran begitu. Mereka mempunyai hak untuk bersuara. Cuma, saya fikir apabila meluahkan sesuatu perkara atau pendapat, usah gunakan bahasa yang kasar atau kesat. Sebaliknya, bersopan santunlah berkongsi pendapat kerana itu sememangnya budaya kita. Saya tahu niat mereka baik iaitu untuk menegur. Seperti yang saya katakan tadi, guna perkataan yang mencerminkan keperibadian yang baik. Itu adalah lebih baik dan berkesan.

Barangkali ada sesetengah peminat yang berpendapat bahawa anda baru pulang dari menunaikan umrah tetapi tiada perubahan positif dilakukan anda untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik. Apakah yang boleh anda katakan?

Biarlah, mulut orang mahu cakap. Biarkan sahaja. Apa yang telah saya lakukan tidak kiralah perkara baik atau buruk, itu antara saya dengan Tuhan. Saya harap perubahan positif dalam diri saya sebagai seorang muslimah berlaku perlahan-lahan, Insya-Allah.

Bagi saya, apa yang penting adalah dalaman kita, bukan hanya fizikal luaran. Namun, saya sentiasa berdoa agar menjadi lebih baik berbanding hari semalam.

Bulan Mac ini genap setahun perkahwinan anda dengan suami, Alif Adha Jamil, 28, sudah ada perancangan untuk memiliki zuriat?

Insya-Allah, saya merancang untuk mempunyai anak selepas pulang melancong dari Amerika Syarikat (AS) bersama suami sekitar bulan April depan. Sebelum ini, saya dan suami sibuk dengan jadual masing-masing. Saya tidak menafikan hal itu. Sebab itu, selepas pulang dari AS, kami akan berusaha lebih untuk mempunyai zuriat.

Baiklah, mengenai program ramah mesra dengan anak yatim, adakah selepas mengerjakan umrah anda lebih rasa terpanggil untuk melibatkan diri dengan program kemasyarakatan atau kebajikan?

Alhamdulillah, saya berasa amat seronok dapat meluangkan masa bersama anak-anak di sini (Rumah Titian Kaseh) kerana selama ini memang saya mahu terbabit dengan program kemasyarakatan.

Hanya baru kini ia menjadi kenyataan selepas saya pulang menunaikan umrah. Sebenarnya, tidak banyak yang boleh saya lakukan tetapi oleh sebab bidang kecergasan adalah kepakaran saya, tidak menjadi masalah untuk mengajar mereka menjalani gaya hidup yang sihat. Melalui program kecergasan iaitu Fit & Fab juga saya merancang meneruskan aktiviti ini secara berterusan pada masa akan datang.

Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya seni anda sekarang?

Agak perlahan kerana saya menginginkan ia begitu. Buat masa ini, saya lebih fokus dengan program kecergasan iaitu Fit & Fab.

Bagaimanapun, dua filem lakonan saya iaitu Pekak dan Rumah Hantu Sakit Jiwa bakal menjengah pawagam tidak lama lagi.

- Sharifah Sakinah mohon maaf gambar jelir lidah di Mekah

SHARING GOOD

0 Comment to "Sharifah Sakinah mohon maaf gambar jelir lidah di Mekah"

Post a Comment