Saturday, 21 February 2015

Kisah Seram Bukit Seri Alam





Ada sebuah kisah di mana terdapat ramai saksi terlihat kelibat tengkorak berterbangan di kawasan Seri Alam.



Siapa yang tidak gerun apabila melihat kelibat tengkorak yang dikatakan berterbangan di Bukit Seri Alam. Jangan kata terbang, jika kita terjumpa kepala tengkorak di atas tanah pun, mungkin kita akan berlari ketakutan. Cakap pasal tengkorak ada sebuah kisah di mana pada mulanya dia menyangka objek bulat yang terawang-awang di dalam semak, di atas bukit belakang rumah orang tuanya itu, hanya sehelai daun terap kering yang tersangkut pada sawang labah-labah.



Sebab itu, dia terus melangkah ke depan bersama dua rakannya, tanpa berfikir apa-apa yang pelik akan dihadapinya hari itu. Bagaimanapun apabila objek bulat itu didekatinya, peluh di badannya terus saja tersimbah.



Matanya tidak berkelip dan jantungnya pula bagaikan mahu gugur apabila terpandang objek bulat berwarna coklat kehitaman itu adalah tengkorak manusia. Paling mengerikan tengkorak itu pula terbang ke kiri ke kanan, seperti mahu menghalang perjalanannya, sambil asap mula keluar berkepul-kepul.



Ketika itu dia dan dua orang kawannya bercadang menyumpit monyet di atas bukit, terpaksa membatalkan hasrat mereka. Dalam sesaat itu juga mereka berlari susup-sasap pulang ke rumah.



Tidak cukup dengan gangguan tengkorak terbang, beberapa hari selepas itu dia diganggu pula dengan kehadiran seorang perempuan berbaju putih yang dilihatnya duduk di dahan pokok tinggi. Bukan dia saja yang melihatnya, malah dua rakannya juga terpandang perempuan berbaju putih berkilat di atas pokok itu.



Dua kisah itu adalah antara gangguan yang pernah berlaku di perkampungan Orang Asli Bukit Cahaya Seri Alam, di Shah Alam beberapa tahun lalu, sebelum berakhir apabila sebuah surau dibina di situ dan ramai pula penduduknya memeluk agama islam.

Cerita menyeramkan mengenai gangguan tengkorak berterbangan dan langsuir itu diceritakan sendiri oleh Ramli Hamid, 31, dalam kunjungan ke pekampungan Orang Asli bersempadan dengan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam, baru-baru ini.



Ramli memberitahu, dia yakin tindakan sebahagian besar penduduk di situ memeluk Islam adalah antara punca sehingga kini makhluk halus tidak lagi muncul dan mengganggu.

“Walaupun kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu, saya tetap ingat dan apabila difikir-fikirkan,terasa betapa agung kebesaran Islam. Manakan tidak, apabila ramai orang kami memeluk Islam dan surau pula dibina di sini, gangguan itu tidak berlaku lagi !” katanya seperti lega.



Ketika menceritakan kejadian terserempak tengkorak manusia berterbangan di atas bukit di belakang rumah orang tuanya, Ramli memberitahu ketika itu dia bersama dua rakannya mendaki bukit pergi menyumpit.



“Kejadin itu berlaku ketika senja. Masa itu fikiran kami hanya ingatkan monyet yang mahu disumpit. Sebagai anak Orang Asli yang biasa dengan hutan, kami juga tidak pernah menyimpan rasa takut. Kalau takut pun hanyalah untuk berhati-hati kalau-kalau terserempak binatang buas seperti harimau,” beritahunya.

Bagaimanapun, hasrat menyumpit terbantut tiba-tiba apabila dia terpandang satu objek bulat macam sehelai daun terap kering. Ia bergantung-gantungan di atas bukit tempat dia dan kawan-kawannya mendaki.



“Apabila semakin dekat, apa yang saya sangkakan tenyata meleset. Selepas diamat-amati, barulah saya tahu objek bulat itu sememangnya tengkorak. Sudah tentu kami tergamam !” katanya.



Menurut Ramli, tengkorak itu kelihatan mengacah-acah ke arah dia dan kawan-kawannya beberapa kali seperti mahu menghalang mereka meneruskan perjalanan ke atas bukit. Ketika itu hari memang sudah senja dan keadaan pula mulai gelap.

Ramli pada mulanya merasakan dia seperti bermimpi, tetapi apabila dua kawannya yang lain juga memberitahu nampak tengkorak yang sama, dia terus berlari pulang. Dia diikuti kawan-kawannya. Mereka tidak menoleh ke belakang lagi kerana terlalu terkejut terpandang tengkorak terbang.



“Selepas kejadian itu kami bertiga demam seminggu. Saya tak tahu sebabnya. Bagaimanapun saya rasa mungkin juga sebab terkejut diganggu tengkorak terbang yang kami nampak di atas bukit itu,” katanya.



Kejadian itu menurut Ramli memang dilihatnya sendiri dan bukan diceritakan berdasarkan fantasi. Bagaimanapun, dua rakannya yang turut sama melihat gangguan tengkorak itu tiada di perkampungan itu. Mereka belum pulang bekerja.

Gangguan yang pernah berlaku, menurut Ramli lagi tidak berakhir di situ. Tidak cukup dengan gangguan tengkorak terbang, beberapa hari selepas itu Ramli mengalami gangguan yang lain pula.



Ketika itu, Ramli dan kawan-kawannya dalam perjalanan pulang dari kedai, kira-kira pukul 11.00 malam. Mereka berjalan kaki, menyusur jalan berbukit sebelum sampai ke perkampungan Orang Asli yang sebelum itu dikenali dengan nama Kampung Orang Asli Air Kuning.



“Pada masa mula-mula mendaki jalan bukit yang di kelilingnya penuh hutan, saya dah rasa hati berdebar-debar. Saya buat tak kisah, sambil itu berjalan terus untuk pulang ke rumah.



“Tapi ketika tiba berdekatan tangki air, bulu roma saya tiba-tiba menegak sebaik saja hidung mula terhidu bau wangi pada sebelah malam kata orang tua-tua, biasanya menandakan ada makhluk halus tidak jauh dari kawasan itu.

“Saya kuatkan hati supaya tidak takut. Tapi kawan-kawan saya di sebelah mula saling berpandangan. Mungkin mereka juga terhidu bau wangi itu. Belum sempat kami bertanya atau bercakap apa-apa, saya terpandang satu lembaga wanita berbaju putih labuh di atas pucuk pokok yang tinggi,” katanya.



Serentak itu, tambah Ramli,kawan-kawannya mencuit tangan masing-masing. Ramli memang nampak wanita itu duduk sambil tubuhnya terhayun-hayun setiap kali dahan pokok itu ditiup angin.



“Tidak lama selepas itu kami terdengar bunyi perempuan ketawa dan mengilai. Memang bunyi itu datangnya dari arah wanita di dahan pokok yang tinggi itu. Kami tercegat ketakutan. Tapi masih juga melihat wanita berbaju putih di atas pokok itu,” katanya.

Pada masa itu, kata Ramli, dia teringat kata-kata orang tua-tua di perkampungan Orang Asli itu. Wanita berbaju putih yang sering duduk di dahan pokok tinggi dan mengilai itu adalah langsuir.

“Dalam gelap malam, kami berlari laju mahu sampai segera ke rumah masing-masing. Teringat pada perempuan berbaju putih itu, kami teringat pula pada tengkorak terbang di kampung kami sebelumnya,” kata Ramli lagi.

Apabila tiba di rumah, badannya terus sahaja menggigil dan beberapa hari pula dia diserang demam lagi kerana terkejut.

Menurut Ramli, dia terdengar orang tua-tua kampung itu berpendapat, gangguan yang berlaku mungkin berpunca daripada kuasa halus yang meracau dan bebas lepas, terutama apabila ada kubur lama di perkampungan itu dikatakan diceroboh pihak tertentu sebelum itu.

Selepas itu, dua tiga kali lagi dia dan kawan-kawannya terserempak dengan gangguan yang sama, terutama daripada tengkorak yang dilihatnya sering terbang di kawasan berbukit tidak jauh di belakang rumahnya.



Hanya apabila ramai Orang Asli di kampung itu memeluk agama Islam beberapa tahun lalu, barulah Ramli dan kawan-kawannya perasan gangguan langsuir dan terngkorak berterbangan itu tidak lagi berlaku.



“Apabila surau mula dibina di sini, saya dan kawan-kawan rasa banyak sangat perubahan yang berlaku. Gangguan yang pelik-pelik semakin tiada. Kami tidak lagi melihat tengkorak berterbangan ataupun langsuir duduk di dahan pokok tinggi,” katanya.



Bagaimanapun, satu hal yang Ramli percaya hingga kini ialah dengan pembinaan surau di kampung itu memberi rahmat yang cukup besar kepada penduduk Orang Asli di situ.

“Setiap kali azan kedengaran dari surau, kami rasa kampung ini nyaman dan tidak diganggu makhluk halus lagi. Saya percaya makhluk halus tidak berani mengganggu lagi kerana perkampungan ini ada surau dan sering kedengaran azan setiap kali masuk waktu sembahyang,” tambahnya.



Tuk Batin perkampungan itu, Mat Shah Abdullah, juga mengesahkan ada anak buahnya memberitahu gangguan yang dihadapi termasuk gangguan tengkorak berterbangan seperti dialami Ramli.



“Saya belum pernah terserempak, tapi memang anak buah saya ada mengadu mereka melihat sendiri tengkorak dan langsuir yang diceritakan itu. Apa yang diceritakan Ramli itu pernah juga diceritakan kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, seperti Ramli, Mat Shah juga percaya gangguan makhluk halus itu mula hilang apabila penduduk di situ semakin ramai memeluk Islam dan selepas sebuah surau dibina untuk kegunaan mereka beibadat.



Kini Mat Shah dan Ramli yang berkerja sebagai Pembantu Am di Masjid Negeri Shah Alam, bersyukur kerana kampung mereka semakin aman.

Namun Mat Shah sentiasa memastikan anak-anak buahnya tidak bercakap besar selepas beberapa tahun tidak lagi terserempak gangguan tengkorak dan langsuir yang menakutkan itu.



“Sebagai orang Islam kita kena percaya pada Allah Taala. Bagaimanapun, jangan sampai lupa diri dan sering pula bercakap besar kerana Allah Taala boleh menguji kita bila-bila masa sahaja,” katanya.



Mat Shah yakin perkampungan yang mereka duduki itu bukan sahaja akan lenyap daripada segala gangguan atau cerita-cerita misteri makhluk halus, tetapi turut akan terus maju tidak lama lagi.



Malah beliau tidak segan-segan bercerita mengenai cadangan kerajaan untuk memajukan tanah perkampungan Orang Asli itu tidak lama lagi. - Kisah Seram Bukit Seri Alam

SHARING GOOD

0 Comment to "Kisah Seram Bukit Seri Alam"

Post a Comment