Sunday 1 March 2015

Bunga Citra Lestari kongsi rahsia bahagia



Bunga Citra Lestari dan Ashraf Sinclair



APABILA menghayati bait-bait lirik nyanyiannya, sudah cukup jelas membuktikan Bunga Citra Lestari, 32 kini sedang menikmati fasa bahagia dalam hidupnya.



Hidup seakan lengkap dengan kehadiran suami tercinta, Ashraf Sinclair, 36 dan cahaya mata pertama, Noah, 4, sebagai pengikat kasih sayang antara mereka.



Meniti hari-hari mendatang bersama insan tersayang membuatkan penyanyi jelita ini merasakan dirinya adalah wanita terbahagia sebagaimana yang diceritakan menerusi single terbaharunya. Di sebalik kebahagiaan itu, Bunga mengakui tidak mampu menggambarkan kesyukurannya terhadap kehidupan yang dilaluinya dengan kata-kata.



Malah menganggap ia sebagai anugerah terindah buat dirinya yang selalu mengimpikan sebuah keluarga yang dipenuhi perasaan kasih sayang.



“Sejak awal karier nyanyian lagi, saya gemar memilih lagu yang berkaitan dengan kehidupan saya.



“Wanita Terbahagia sebenarnya persembahan saya buat Ashraf. Saya rasa sangat beruntung dan lagu ini juga melambangkan rasa kegembiraan saya memiliki seorang suami seperti dia.



“Ashraf banyak mengubah hidup saya di mana dia menghadirkan sesuatu yang berbeza dan menjadikan saya seorang wanita yang lebih baik.



“Walaupun lagu ini tidak cukup menggambarkan betapa besarnya cinta saya terhadapnya, namun saya mahu berkongsi sedikit kegembiraan ini dengan orang lain," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media sigle terbaharu "Wanita Terbahagia" di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.







Berkongsi lebih mendalam mengenai perasaan cintanya itu, penyanyi yang juga terkenal dengan panggilan BCL ini mengagumi kasih sayang suaminya yang tidak pernah berbelah bahagi.



“Ashraf seorang yang sangat romantik dan saya tahu ia diturunkan daripada kedua ibu bapanya.



“Sejak zaman bercinta lagi, dia sering membuat kejutan dengan perkara-perkara yang tidak pernah saya jangkakan.



“Alhamdulillah, setiap hari saya lalui saat-saat bahagia bersamanya dan hidup terasa lengkap,” tuturnya tersenyum bahagia.



Lagu Wanita Terbahagia merupakan sebuah karya yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari menjadikan ia sebuah karya yang berbeza dan unik berbanding lagu nyanyian BCL yang terdahulu.



Bagi seorang wanita, kebahagiaan hidup berumah tangga adalah kemuncak kepada kejayaan dalam hidup.



Ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata dianggap sebagai anugerah terindah dan penyeri rumah tangga buat semua pasangan suami isteri.



Turut merasai perkara yang sama BCL menganggap kehadiran Noah menjadikan dirinya seorang insan yang penuh dengan impian.



“Kehidupan sebagai seorang ibu sangat menakjubkan dan saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu ungkapkan perasaan itu dengan kata-kata.



“Menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu sememangnya tidak mudah namun perasaan gembira itu telah melebihi segala-galanya.



“Di satu sisi memang tidak dapat gambarkan apa yang berlaku, apabila melihat mata Noah dan saat dia yang memanggil saya sebagai ibunya dan sehingga kini saya masih tidak percaya ia berlaku kepada saya.



“Apa yang lebih penting Noah buat saya jadi yang lebih baik, jadi saya seorang yang lebih banyak impian dan visi untuk masa depan,” ujarnya.



Tambah penyanyi yang terkenal dengan lagu Ingkar ini, dia dan suami tidak akan menetapkan masa depan putera tunggal mereka malah mahu sentiasa menjadi orang yang sentiasa memberi sokongan terhadap setiap perkara.



“Untuk Noah, saya dan Ashraf tidak pernah berbincang untuk menentukan masa depannya. Semua terpulang kepada Noah sendiri dan kami tidak mahu memberi sebarang tekanan kepadanya.



“Biarlah dia mencuba perkara yang disukainya supaya dia belajar, menerima kesalahan sendiri dan bangga dengan diri sendiri,” katanya yang meletakkan Noah sebagai fokus utamanya.



Erti pengorbanan



Selain kehadiran suami dan putera kesayangan, BCL turut mengakui bidang lakonan banyak mengajarnya tentang erti kehidupan.



Menurutnya, watak yang dimainkan menerusi filem adaptasi Habibie & Ainun memberi impak yang besar dalam dirinya.



“Dalam filem ini saya bawa watak Ainun di mana filem ini adalah berdasarkan daripada kisah benar.



“Walaupun tidak berkesempatan mengenali wanita ini, namun dari sumber-sumber tertentu saya mula pelajari sifat dan pengorbanannya sebagai wanita tabah.



“Bukan mudah menjadi seorang wanita dan pada masa yang sama isteri kepada lelaki yang berpengaruh,” ujarnya.



Tambahnya, sejak melakonkan watak itu banyak perubahan yang berlaku terhadap dirinya.



“Apabila mendalami hidup Ainun dan Habibie saya rasa malu kerana saya lihat perjuangan wanita itu mendampingi suaminya benar-benar hebat dan tiada bandingannya.



“Rasa cinta terhadap Ashraf dan keluarga semakin bertambah dan saya berusaha menerapkan karekter Ainun dalam diri saya.



“Jadi saya yang sekarang adalah sebahagian daripada watak Ainun yang saya simpan dalam diri sendiri dan ia benar-benar memberi kesan,” jelasnya.



‘Dia wanita luar biasa’ -Ashraf



Sebagai seorang suami tidak ada apa lagi yang perlu dirungutkan setelah dikurniakan seorang isteri yang cantik dan anak yang bijak.



Memandang BCL sebagai seorang wanita yang sangat istimewa, Ashraf tidak melepaskan peluang meluahkan rasa bangga terhadap pesona yang dimiliki isteri tercintanya itu.



“Bunga seorang wanita yang sangat istimewa kerana dia memiliki satu karakter seperti pejuang untuk mendapatkan yang terbaik bukan sahaja untuk dirinya, malah semua yang ada di sekelilingnya.



“Dia seorang yang mengambil berat terhadap orang lain dan itu membuatkan dia sangat istimewa. Setiap kali melihat dia bekerja komitmen dia sangat luar biasa,” luahnya.



Mengakui kecantikan isterinya sering menjadi dambaan sang jejaka, Ashraf bagaimana pun tidak mahu ambil pusing mengenai hal itu.



“Bunga memang seorang yang cantik, jadi bila ada yang suka samanya memang wajar.



“Saya tidak cemburu malah, rasa sangat bertuah kerana dia memilih saya sebagai suami dan bapa kepada anak kami,” ujarnya berseloroh.





- Bunga Citra Lestari kongsi rahsia bahagia

SHARING GOOD

0 Comment to "Bunga Citra Lestari kongsi rahsia bahagia"

Post a Comment