Sunday 1 March 2015

DTOV: Jangan usik volum kami





D.T.O.V yang dianggotai (dari kiri) Wawa, Najib, Aizz, Ariz dan Sani mengharapkan kumpulan itu diterima peminat muzik tanah air.



JARANG sekali sebuah band memiliki majoriti anggota yang berkebolehan menyanyi dengan baik. Lazimnya, vokalis memainkan peranan utama melontarkan vokal berbanding ahli kumpulan lain.



Inilah uniknya band yang menggelarkan mereka sebagai D.T.O.V selepas dibentuk kira-kira dua tahun lepas.



Pada mulanya, band yang dianggotai oleh Aizz (vokalis), Najib (gitaris utama), Ariz (gitaris kedua), Wawa (pemain keyboard), Sani (bass) dan Edly (dram) sekadar jamming secara suka-suka.







"Najib dan Ariz memiliki vokal yang bagus sementara ahli kumpulan yang lain juga majoritinya boleh menyanyi dengan baik.



"Ia sesuatu yang mengujakan kerana kami mampu meneroka pelbagai cabang lagu mengikut lingkungan (range) tona suara masing-masing setiap kali membuat persembahan pentas," kata Aizz kepada Sensasi Bintang.



Menurut Aizz, buat masa ini persembahan mereka terhad di majlis-majlis santai dan jamuan makan malam di sekitar ibu kota.



"Selalunya, kami menyanyikan semula lagu-lagu popular mengikut cara kami sendiri, bergantung kepada permintaan hadirin.



"Buat masa ini, kami juga sedang mengumpul material yang baik sebelum menjalani rakaman di studio dalam masa terdekat jika ada rezeki," ceritanya.



Menyentuh mengenai asal usul nama D.T.O.V, Aizz menjelaskan, pada mulanya mereka dikenali sebagai The Clicks sebelum membuat keputusan secara rasmi menggunakan D.T.O.V sebagai nama band.



"D.T.O.V bermaksud Don’t Touch Our Volume (jangan usik volum kami). Ketika jamming di studio latihan, kadangkala masalah teknikal berlaku terutamanya bunyian yang terhasil lebih kuat berbanding instrumen lain. Setelah berbincang dan difikirkan semula, kami akhirnya membuat keputusan untuk dikenali sebagai D.T.O.V," jelasnya.



Ariz pula mencelah, D.T.O.V secara metafora juga seolah-olah melambangkan keberanian untuk menyuarakan sebarang pendapat, namun pada masa sama menghormati hak orang lain.



"Ketika berhujah, kita perlu lantang bersuara. Jadi, jangan usik volum kami," ujar Ariz berseloroh.



Dalam pada itu, Aizz mengakui, mereka sering membuat perbincangan terlebih dulu bagi menentukan senarai lagu sebelum membuat persembahan.



"Selepas mengetahui senarai lagu ­yang bakal dipersembahkan, kami akan menyenarai pendek sama ada ia sesuai ataupun tidak.



"Selepas itu, kami akan memperkemaskan susunan muzik hingga sempurna. Bukan apa, kami perlu menghormati lagu asal. Jadi, segala-galanya harus sempurna," jelasnya.





- DTOV: Jangan usik volum kami

SHARING GOOD

0 Comment to "DTOV: Jangan usik volum kami"

Post a Comment