Wednesday 4 March 2015

Elizabeth Tan: Tak peduli kritikan





BIARPUN nama Elizabeth Tan bukan lagi asing di laman perkongsian video, Youtube, namun menerusi Knock Knock, single itu berjaya memperkenalkan bintang berbakat besar ini ke persada seni yang lebih luas.



Bagi gadis kelahiran Kuala Lumpur ini, pada awalnya dia langsung tidak menyangka bahawa penerimaan masyarakat terhadap dirinya secepat ini sekali gus meraih populariti dalam jangka masa yang singkat.



Pun begitu, di sebalik lagu Melayu yang dinyanyikannya dengan begitu fasih, namun sebenarnya bintang berdarah Cina 100 peratus ini tidak mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Mandarin.



Elizabeth Tan - Knock Knock





"Walaupun saya Cina 100 peratus, namun saya tidak pandai berbahasa Mandarin. Malah, keluarga saya menggunakan Bahasa Melayu dan Inggeris di rumah.



"Saya semestinya berdepan dengan masalah sekiranya ada yang mahu saya menyanyikan lagu-lagu Mandarin. Oleh itu, saya memilih untuk mengikuti kelas Mandarin untuk memudahkan saya mempelajari bahasa itu.



"Ini adalah persediaan untuk diri saya sendiri untuk menguasai bahasa berkenaan. Mungkin selepas ini, ada tawaran untuk menyanyikan lagu Mandarin, saya boleh mempertimbangkannya," katanya yang baharu sahaja menamatkan pengajian selama dua tahun di Texas.







Walaupun ramai yang mengagumi bakat bintang muda ini, namun sebagai selebriti, Elizabeth tidak terlepas daripada kritikan segelintir masyarakat yang tidak menyukai cara nyanyiannya yang dikatakan sedikit pelat.



Namun, dengan rendah diri, penyanyi berusia 22 tahun ini menganggap ianya adalah pandangan peribadi orang lain terhadapnya dan dia tidak akan cepat melatah.



"Saya tiada masalah untuk memikirkan dengan serius mengenai kritikan yang dilemparkan kerana sesiapa sahaja layak mengkritik dan setiap orang mempunyai cita rasa berbeza.



"Begitu juga dengan saya. Sebagai pendengar, ada juga suara-suara dan cara penyanyi lain yang saya rasakan tidak kena dengan selera saya. Jadi, ia adalah perkara yang normal," katanya yang bersedia menerima apa jua bentk kritikan selepas ini.



Duta produk, pelakon



Meskipun mula mencipta nama dalam industri sebagai penyanyi, namun rezeki Elizabeth tidak hanya bergantung dalam bidang seni suara semata-mata.



Malah, kurang setahun penglibatannya secara serius sebagai artis naungan syarikat rakaman milik Faizal Tahir, Faithful Music, bintang ini sudah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai duta produk penjagaan wajah, MagicRED.



Berdiri sebagai salah satu duta produk penjagaan wajah keluaran Zarra Sinar Puteri, Elizabeth 'diikat' selama setahun untuk sama-sama memperkenalkan produk ini secara meluas di pasaran.



"Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka akan diberi peluang menjadi duta seawal ini. Namun, apabila dipilih, saya perlu bertanggungjawab untuk memperkenalkan produk ini kepada pengguna khususnya remaja dan wanita awal 20-an.



"Saya memiliki kulit wajah yang sensitif dan tidak boleh menggunakan sebarang jenama. Namun, untuk MagicRED, saya amat berpuas hati dengan hasilnya.



"Persetujuan saya untuk menjadi duta ini bukanlah kerana soal duit semata-mata, namun ianya adalah tanggungjawab saya untuk menaikkan produk kosmetik tempatan di pasaran," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran produk ini yang berlangsung di Lim Kok Wing, Cyberjaya.



Selain dilantik sebagai duta, Elizabteh juga turut menyanyikan lagu tema rangkaian produk ini berjudul Magic, hasil ciptaan Cat Farish.



Dalam pada itu, Elizabeth juga turut mempertaruhkan bakat lakonannya menerusi filem arahan Mamat Khalid, Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.



Akui berdebar dan ternanti-nanti penerimaan penonton terhadap produk lakonannya, Elizabeth mengakui ia adalah pengalaman berharga buatnya dalam penglibatan awal seni lakonan.



"Saya masih lagi dalam proses pembelajaran dan bersedia menerima apa jua pandangan daripada penonton. Mungkin selepas ini, saya akan mengikuti kelas lakonan untuk mengasah bakat dalam bidang ini.



"Walaupun saya terlibat dalam dunia lakonan, namun bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaan saya. Malah, dalam waktu terdekat ini kemungkinan Mei nanti, single saya yang seterusnya akan dilancarkan," katanya lagi.



PROFIL



Nama Penuh : Elizabeth Tan Su Mei

Tempat Lahir : Taman Melawati, Kuala Lumpur

Syarikat Naungan : Faithful Music Malaysia





- Elizabeth Tan: Tak peduli kritikan

SHARING GOOD

0 Comment to "Elizabeth Tan: Tak peduli kritikan"

Post a Comment