Anak-anak banyak mempengaruhi saya dalam apa jua perkara yang saya lakukan.
JARANG berkongsi soal peribadi, penyanyi Faizal Tahir baru-baru ini berkongsi perkembangan kehidupannya sebagai ketua rumah dalam keluarganya yang semakin membesar.
Mengakui menggalas tanggungjawab itu sebagai seorang suami dan lima cahaya mata bukanlah perkara mudah, Faizal bagaimanapun bersyukur kerana ia menjadikan dirinya seorang yang lebih matang.
“Kehidupan harian saya sememangnya sibuk dengan kerjaya dan juga keluarga. Lagi pun tiga anak saya sudah bersekolah dan rutin harian saya menjaga mereka kalau tidak terlibat dengan kerja-kerja di studio.
“Buat masa ini saya dan isteri menguruskan keluarga sendiri tanpa pembantu jadi itu membuatkan masa saya banyak diberikan pada keluarga.
“Alhamdulillah, dengan adanya tanggungjawab seperti ini, saya dapat rasakan diri saya bertambah matang dan apa sahaja keputusan yang saya buat lebih rasional,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, melihatkan keadaan anak-anak yang semakin membesar mendorong dirinya untuk berusaha lebih keras memastikan semuanya dalam keadaan yang baik.
“Anak-anak banyak mempengaruhi saya dalam apa jua perkara yang saya lakukan.
“Saya ni memang seorang yang sukakan kanak-kanak. Saya dan isteri sangat bersyukur dikurniakan keluarga dengan kehadiran anak-anak yang kami anggap sebagai rezeki yang tidak ternilai,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Faizal baharu sahaja tampil dengan lagu ‘Generasi Kami’ yang turut menampilkan kolaborasi bersama penerbit muzik Audi Mok, Juzzthin, Wafiey dan Datuk Jalaluddin Hassan yang juga merupakan runut bunyi bagi drama bersiri kanak-kanak, Super Game Boy.
- Faizal Tahir kongsi kisah peribadi
0 Comment to "Faizal Tahir kongsi kisah peribadi"
Post a Comment