SEJAK penghujung tahun lalu, khabar angin mengenai hubungan cinta antara selebriti popular, Kamal Adli dan Emma Maembong, mula bertiup kencang.
Bermula dengan dakwaan menjemput Emma di lapangan terbang, Kamal turut dikaitkan sebagai orang ketiga dalam keretakan hubungan Emma bersama bekas kekasihnya, Zizan Razak.
Walaupun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, nama pelakon filem, Gerimis Mengundang, ini sekali lagi terpalit dengan kemelut cinta pasangan berkenaan, meskipun kini situasinya lebih berbeza.
Menerusi laporan media tempatan, hubungan Kamal dan Emma semakin rapat sejak pelakon cantik itu berpisah dengan Zizan, malah Kamal turut membawa Emma berjumpa dan mengenali keluarganya baru-baru ini.
"Bagaimana perkara begini boleh tersebar sedangkan saya tak pernah bawa Emma jumpa keluarga saya. Tuduhan sebegini memang tak masuk akal.
"Saya mengaku yang saya berkawan dengan Emma namun tak adalah sampai ke perhubungan yang lebih serius sehingga membawanya ke rumah.
"Kami hanya kawan biasa dan saya sendiri sedia maklum dengan situasi yang sedang menimpa Emma sekarang ini. Kalau boleh, saya tidak mahu dia dihentam lagi dengan gosip seperti ini. Cukuplah, jangan buat dia tertekan lagi," kata Kamal.
Ditanya adakah Emma memenuhi kriteria wanita yang diingini, Kamal memberitahu bahawa dia tidak meletakkan perkara itu sebagai syarat untuk mengenali mana-mana wanita.
"Saya berkawan dengan semua orang dan keserasian itu akan timbul dengan sendiri tanpa perlu kriteria. Namun, buat masa ini, saya lebih fokus pasal kerjaya terlebih dahulu.
"Lagipun, umur saya baharu 29 tahun. Kalau boleh, saya malas dah nak bercinta dan terpaksa menunggu lama-lama.
"Sekiranya saya ada jodoh dengan Emma ataupun sesiapa sahaja, itu adalah ketentuan dari-Nya. Namun, saya tidak mahu orang mengaitkan saya sebagai orang ketiga ataupun punca perpisahan orang lain," katanya yang bakal muncul dengan drama bersiri, Pergilah Air Mata.
Selain itu, Kamal juga bakal terlibat dalam filem terbitan MIG iaitu Isteri Untuk Dijual dan drama arahan Michael Ang tidak lama lagi.
- Kamal Adli Kami hanya kawan
0 Comment to "Kamal Adli Kami hanya kawan"
Post a Comment