Penyanyi Faizal Tahir memberitahu dia kini lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja dibelakang tabir berbanding memberi tumpuan kepada karier nyanyiannya.
Faizal Tahir atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 37, berkata, dia juga turut menggunakan peluang itu untuk lebih kerap meluangkan masa bersama anak-anaknya di rumah.
"Tiga anak saya sudah bersekolah dan memang rutin saya menghabiskan masa di rumah untuk menjaga anak-anak jika tidak sibuk dengan kerja di studio.
"Sekarang merupakan masa yang sesuai untuk saya tunjukkan sifat kebapaan yang ada dalam diri saya kepada anak-anak," katanya kepada Artis Meletop.
Faizal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton Drama bersiri 'Super Game Boy' di Golden Screen Cinemas (GSC), The Gardens, di sini, Selasa.
Drama bersiri 'Super Game Boy' bakal disiarkan setiap Sabtu, pukul 11.00 pagi, bermula 21 Mac ini menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Maya HD (135).
Tambah Faizal, perhatian terhadap mereka sangat penting kepadanya memandangkan anak-anaknya sedang membesar.
"Tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada lima orang anak menjadikan saya lebih matang dan berfikiran lebih rasional dalam menentukan sesuatu keputusan.
"Anak-anak kian membesar dan mereka tahu apa yang saya lakukan, jadi saya harus berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara," jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Faizal berkata, dia merancang untuk menerbitkan sebuah album kanak-kanak kerana mengakui dirinya kini lebih mengemari kanak-kanak.
"Sejujurnya dari kecil, saya mempunyai angan-angan untuk terbabit dalam sebuah rancangan 'Sesame Street' walaupun saya mengetahui ia adalah mustahil untuk berada dalam rancangan itu.
"Mungkin disebabkan itu saya bersyurkur kerana mempunyai keluarga yang besar kerana isteri saya mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai dan saya tidak menolak jika dikurniakan lagi zuriat pada masa yang akan datang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Faizal kini sedang sibuk menguruskan tiga orang artis yang bernaungan di bawah syarikatnya iaitu Hanie Soraya, Elizabeth Tan dan Aziz Harun.
"Saya juga dalam proses untuk menghasilkan album penuh yang dijangka siap pada pertengahan tahun nanti," katanya.
- Nyanyian Bukan Lagi Keutamaan Faizal Tahir
0 Comment to "Nyanyian Bukan Lagi Keutamaan Faizal Tahir"
Post a Comment