SHAH Iskandar mengakui, selepas berat badannya turun, dia semakin gemar melakukan aktiviti sukan.
UMUM sedia maklum bahawa pelakon kacak Shah Iskandar baru-baru ini disahkan menghidap penyakit jangkitan kuman pada paru-paru. Akibatnya, Shah, 33, yang menjalani tempoh kuarantin di rumah sendiri telah mengalami penyusutan berat badan yang mendadak. Dia kehilangan sebanyak tujuh kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu.
Lebih malang, pelakon kelahiran Singapura itu dituduh pula mengambil bahan terlarang ekoran perubahan imej yang dikatakan terlalu drastik.
Ikuti temu bual Kosmo! yang berkesempatan bertemu pelakon drama Jika Itu Takdirnya tersebut baru-baru ini.
Artis Meletop!: Baru-baru ini anda dikhabarkan menghidap sejenis penyakit sehingga membuatkan berat badan turun mendadak. Boleh Shah Iskandar ceritakan mengenai hal itu?
Sebenarnya saya disahkan sakit sekitar bulan Februari lalu. Saya disahkan terkena jangkitan kuman pada paru-paru dan dalam tempoh dua minggu, saya terpaksa berehat daripada aktiviti lakonan.
Jika diikutkan, saya terpaksa dikuarantinkan di hospital, tetapi selepas membuat permintaan kepada pihak doktor, saya dibenarkan menjalani tempoh kuarantin di rumah sahaja. Disebabkan penyakit itu saya kehilangan berat badan sebanyak tujuh kilogram dan penurunan itu nampak begitu mendadak. Ia sekali gus mengundang persepsi buruk daripada orang ramai sehingga ada yang mendakwa saya badan saya kurus kerana mengambil bahan terlarang. Selepas mengalami penurunan berat badan yang agak mendadak, sekarang saya rasa lebih selesa. Boleh pakai baju yang kecil sedikit berbanding dahulu.
Sekarang, saya semakin gemar melakukan aktiviti sukan kerana badan terasa ringan dan mudah untuk bergerak. Kesimpulannya, sakit yang dialami baru-baru ini ada hikmahnya yang tersendiri.
PENAMPILAN Shah Iskandar kelihatan berisi sebelum berat badannya hilang 7 kilogram akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Beralih kepada kehidupan peribadi, dahulu anda meletak sasaran untuk berkahwin pada usia 30 tahun, bagaimana dengan perancangan itu memandangkan anda kini sudah memasuki umur 33 tahun?
Perkara itu (jodoh) memang sangat penting dalam hidup, apatah lagi sebagai seorang Muslim, ia merupakan satu tuntutan.
Saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa sekarang tapi cukuplah sekadar saya memberitahu, sekarang saya sedang menunggu masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
Kalau dahulu saya letakkan sasaran mendirikan rumah tangga pada usia 30 tahun tetapi sekarang nampaknya belum kesampaian. Memandangkan usia pun sudah 33 tahun, jadi mungkin dalam masa dua tahun lagi saya akan berkahwin, insya-Allah.
Jika jodoh saya sampai suatu hari nanti, saya mahu segala persiapan perkahwinan itu menggunakan hasil titik peluh sendiri. Dalam erti kata lain, kalau boleh, saya tidak mahu menerima mana-mana tajaan. Bukan berlagak tetapi bagi saya, perkahwinan hanya sekali seumur hidup dan amat bermakna, jadi biarlah mahligai yang dibina itu nanti atas usaha saya sendiri.
Bagaimana pula dengan perkembangan terkini anda?
Sekarang saya sedang sibuk menjalani sesi penggambaran bagi drama BIB untuk saluran HyppTV. Drama ini akan bersiaran secara dalam talian bermula 1 April depan.
Dalam drama ini saya bergandingan dengan pelakon Ika Nabila sebagai teraju utama dan dibantu oleh beberapa pelakon lain antaranya Fauziah Nawi, Redza Hasbi, Arash Mohamad, Puteri Nabila dan Cik Manggis.
Boleh ceritakan sedikit mengenai perjalanan watak anda dalam drama itu?
Dalam drama ini saya memegang watak sebagai Affan iaitu teman lelaki kepada Sara lakonan Ika Nabila. Demi menyahut cabaran Sara, Affan telah menubuhkan pasukan bola jaring untuk membuktikan bahawa golongan lelaki juga mampu bermain sukan tersebut dengan baik.
Menariknya, drama itu menampilkan bilangan pelakon yang cukup ramai selain menggabungkan artis lama dan baharu. Kami sudah mula menjalani penggambaran sejak Oktober tahun lepas dan dijangka siap menjelang hujung bulan ini.
Maksudnya sudah hampir lima bulan anda terlibat dalam penggambaran sebuah drama, bagaimanakah anda berdepan tekanan yang begitu lama untuk sesebuah drama?
Penggambaran drama ini mengambil masa yang agak lama kerana kami banyak bertukar lokasi luar terutamanya dewan untuk bermain bola jaring. Selalunya dewan milik pejabat kerajaan tidak boleh digunakan dalam tempoh yang lama memandangkan tempat tersebut juga digunakan untuk acara lain. Faktor itu menghalang kami melangsaikan penggambaran dengan cepat.
Drama ini menggunakan khidmat ramai pelakon, jadi susunan jadual selalu bertindih antara satu sama lain. Kadang-kadang saya ada masa terluang, pelakon lain pula sedang sibuk dengan penggambaran lain. Begitulah sebaliknya.
Bagi saya, kerja dalam tempoh yang panjang bukanlah perkara besar kerana drama ini sendiri berkonsepkan santai dan tidak terlalu berat. Jadi, kami ada lebih ruang dan masa untuk menghabiskan sesi penggambaran sehingga hujung bulan nanti.
- Shah Iskandar susut sebab sakit
0 Comment to "Shah Iskandar susut sebab sakit"
Post a Comment