ZAIN Saidin kini aktif menjaga kesihatan dengan bersenam dan melakukan diet yang seimbang.
Industri hiburan tempatan baru-baru ini kecoh dengan berita pelakon Zain Saidin yang bertindak menjadi duta bagi sebuah produk kesihatan tenaga batin.
Ironinya, bukan satu kesalahan bagi suami kepada Rozita Che Wan, 42, itu mempromosi produk tersebut, hanya apabila ia dikaitkan dengan tenaga batin atau kemampuan seks, kisah itu menjadi menarik untuk dibahaskan.
Sementelah, Zain, 31, sendiri mengatakan dia menerima tawaran produk yang dikenali sebagai Pesona Rugosa itu untuk membantu menurunkan kadar perceraian dalam kalangan masyarakat kita.
Secara tidak langsung ia memberi persepsi bahawa dalam rumah tangga, hubungan seks yang baik menjadi salah satu faktor penting untuk kekal bahagia.
Zain sewaktu dihubungi Kosmo! bagaimanapun melahirkan rasa kurang senang apabila ada beberapa media yang melabelkannya sebagai duta dan ikon kepada produk ubat kuat.
Dia lebih gemar jika media menggunakan istilah duta kepada produk memulihkan tenaga batin, bukannya ‘menjual’ dirinya sebagai pelaris ubat seks.
Ikuti temu bual bersama pelakon Oh! My English itu yang sedang sibuk menjalani penggambaran musim baharu Oh My English (Class Of 2015) itu.
Kosmo!: Benarkah Zain menjadi duta produk ubat kuat?
Zain Saidin: Ya, saya memang menjadi duta bagi produk tenaga batin yang dikenali sebagai Pesona Rugosa. Bagaimanapun, saya agak kurang selesa apabila sesetengah pihak (media) menggunakan istilah ubat kuat kerana berpendapat ia kurang tepat.
Produk tersebut sebenarnya bertujuan untuk memulih tenaga batin lelaki jadi barangkali lebih sesuai jika digunakan sebagai memulihkan tenaga batin.
DIPILIH menjadi duta produk kesihatan memulihkan tenaga batin lelaki, Zain mahu menolong mengurangkan kadar perceraian di Malaysia.
Apakah yang membuatkan anda mengambil keputusan untuk menjadi duta bagi produk tersebut?
Pada dasarnya saya hanya ingin membantu masalah lelaki yang telah berumah tangga. Sebenarnya jika mengikut pemahaman pihak pengeluar produk tersebut, ramai lelaki yang mengalami masalah lemah tenaga batin, namun ia tidak pernah didedahkan. Jadi, niat saya hanya untuk membantu golongan ini mencapai kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga.
Perkara yang melibatkan tenaga batin atau seks merupakan isu yang agak sensitif dalam kalangan masyarakat kita. Justeru apabila anda menjadi duta bagi produk seumpama ini, banyak yang skeptikal. Apakah pandangan anda?
Saya akui, isu ini sememangnya sensitif dalam kalangan masyarakat Melayu kita. Bagaimanapun, saya merupakan seorang yang terbuka. Saya dan pihak syarikat produk tersebut telah mengeluarkan iklan mengikut syarat dan tata susila yang telah ditetapkan. Saya rasa tindakan tersebut tidak melanggar sensitiviti mana-mana pihak.
Sebenarnya mengapa anda dipilih untuk menjadi duta produk tersebut?
Menurut pihak syarikat produk tenaga batin tersebut, saya dipilih kerana berkahwin dengan wanita yang lebih berumur bukan penghalang bagi seseorang itu mendapat cahaya mata.
Beralih soalan kepada kisah penghijrahan isteri anda, Rozita selepas pulang menunaikan umrah. Dia mengaku berhijrah kerana patuh kepada suami dan mahu masuk syurga bersama anda. Bagaimana anda melihat situasi ini?
Alhamdulillah, melihat dia (Che Ta) berhijab merupakan doa saya selama ini. Saya tidak sangka doa saya di hadapan Kaabah termakbul dan akhirnya dia berhijab.
Suami merupakan asas kepada rumah tangga. Pada pandangan saya, apa yang penting dalam kehidupan berumah tangga ini ialah tanggungjawab seorang lelaki.
Tanggungjawab tersebut bukan hanya meliputi nafkah zahir dan batin tetapi tanggungjawab memikul dan membimbing isteri menjadi tiang utama dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga.
- Zain Saidin kurang selesa digelar duta ubat kuat
0 Comment to "Zain Saidin kurang selesa digelar duta ubat kuat"
Post a Comment