Thursday 9 April 2015

Lambaian terakhir Paul Walker





Antara aksi di dalam filem Fast & Furious 7 lakonan mendiang Paul Walker.



Keterujaan peminat filem Fast & Furious 7 (Furious7) tidak dapat dinafikan sejak filem berkenaan menjengah pawagam minggu lalu apabila rata-rata penonton melahirkan perasaan puas hati serta sayu mengenai Furious 7 di laman sosial.



Bukan kerana kehebatan perlumbaan kereta ataupun aksi lasak luar biasa, tetapi kesempatan yang diberi untuk ‘bertemu’ watak Brian O’Conner lakonan mendiang Paul Walker buat kali terakhir.



Walaupun sudah dua tahun Paul menemui ajal, Furious 7 seolah-olah membuka ruang dan peluang peminat setia pelakon berkenaan memberi penghormatan terakhir kepadanya.



Furious 7 merupakan kesinambungan kronologi The Fast And The Furious (Tokyo Drift) pada 2006 yang menyaksikan watak Han lakonan Sung Kang dilanggar oleh seorang pemandu tidak bernama ketika sedang berlumba di Tokyo, Jepun.



Watak pemandu yang tidak dikenali itu didedahkan dalam Furious 7 sebagai abang kepada Owen Shaw (Luke Evans), penjenayah yang ditumpaskan oleh geng pimpinan Dominic Toretto (Vin Diesel) atau Dom ketika beraksi di London dalam Fast & Furious 6.






Abang Owen iaitu Deckard Shaw (Jason Statham) memulakan misi membunuh setiap ahli geng Dom sebagai tindakan membalas dendam kerana menyebabkan adiknya lumpuh di dalam kejadian di London.



Pada masa yang sama, Dom dan ahli kumpulannya yang terdiri daripada Roman Pierce (Tyrese Gibson), Letty Ortiz (Michelle Rodriguez) dan Tej (Ludacris) telah diberi satu tugasan oleh ejen perisik (Kurt Russel) untuk merampas kembali sebuah perisian menggodam komputer sebagai galang ganti mendapatkan Deckard.



Aksi lumba kereta ekstrem masih dikekalkan di dalam sekuel berkenaan, meskipun ada antaranya yang tidak masuk akal seperti adegan Dom dan Brian ‘menerbangkan’ kereta mewah Lykan HyperSport di antara tiga buah bangunan Etihad Towers di Abu Dhabi.



Babak Dom menjunamkan keretanya ke dalam gaung dan terselamat juga agak keterlaluan. Jika dalam situasi sebenar, kenderaan itu mungkin akan meletup dan tiada penumpang boleh terselamat.



Kehadiran watak jahat yang baharu iaitu Kiet (Tony Jaa) turut menambahkan keseronokan penonton apabila mempamerkan aksi mempertahankan diri ketika bergaduh dengan Brian dalam beberapa babak.



Umum mengetahui, Paul hanya sempat menghabiskan separuh sahaja daripada penggambaran Furious 7 sebelum terlibat dalam kemalangan maut pada 2013 dan saki-baki babaknya diganti oleh adiknya, Cody Walker.



Secara berselang-seli, penonton dibiasakan dengan lakonan ‘stand-in’ Cody yang diubah wajah menjadi Paul melalui teknik CGI, biarpun jelas terlihat kelainan berbanding Paul yang sebenar.



Secara keseluruhannya, Furious 7 menepati jangkauan dengan segala aksi ekstrem lumba kereta, kejar-mengejar di lebuh raya dan pertarungan merupakan acara wajib di dalam filem berkenaan.







Apa yang berbeza ialah klimaks yang menyaksikan sebuah babak khas dirakam ketika Dom sedang memandu kereta. Secara tiba-tiba kereta yang dipacu Brian muncul dari arah bersebelahan sambil mengucapkan dialog: “Engkau fikir boleh pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal?”



Diberi solekan CGI, Paul tersenyum ke arah Dom sebelum mereka menekan minyak ke haluan masing-masing. Pada masa yang sama, runut bunyi nyanyian Wiz Khalifa dan Charlie Puth bertajuk See You Again mula memasuki gegendang telinga. Kehangatan Furious 7 tiba-tiba bertukar suram. Ungkapan paling menyentuh perasaan turut dikesan ketika Paul berdialog dengan Vin Diesel babak akhir itu.



“Tidak kira di mana sahaja kau berada, jauh beribu batu atau dekat di hadapan aku, kau akan sentiasa menjadi adikku,” ayat itu menjadi bait paling terkesan kepada penonton Furious 7.



Selamat tinggal Paul Walker, kamu pasti akan dirindui.






- Lambaian terakhir Paul Walker

SHARING GOOD

0 Comment to "Lambaian terakhir Paul Walker"

Post a Comment