Thursday, 18 June 2015

Kesibukan Hisyam Hamid bukan penghalang



NAMA pelakon yang berasal dari Singapura, Hisyam Hamid bukan lagi asing di negara ini.

Dalam meniti populariti yang semakin meningkat di persada seni hiburan Malaysia, Hisyam tidak lupa menunaikan tanggungjawab sosialnya sebagai aktivis amal.

Selain melakukan kunjungan dan membuat persembahan serta interaksi bersama penghuni rumah anak yatim sekitar Lembah Klang, Hisyam ada kalanya turut membawa dua anaknya untuk menyemai rasa tanggungjawab serta kasih sayang terhadap insan yang lebih memerlukan.

Berpeluang menemui Hisyam dalam majlis pelancaran Program Permata Prihatin di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Cyberjaya, Hisyam memberitahu, kunjungan seperti ini sudah menjadi sebahagian daripada aktivitinya bersama kelab peminatnya, Hisyamelters.


"Sebelum ini, saya dengan kelab peminat memang selalu buat program berkunjung ke rumah anak-anak yatim.

"Jadi bila dijemput untuk sama-sama hadir dalam program ini saya rasa sangat seronok. Bagi saya ia satu perkara besar agar mereka akan rasa lebih dihargai," ujar hero drama Ariana Rose ini.

Program Permata Prihatin adalah program kerja sosial dan kemasyarakatan di bawah Permata menerusi Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri.

Hadir sama, Penaung Permata, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan barisan pelakon seperti Mazlan Pet Pet, Fathia Latiff, Syukri Yahya dan Fattah Amin.

Tambah Hisyam, dengan menyertai program amal sebegini dia dapat membuka mata masyarakat untuk mendalami kesusahan orang lain selain berkongsi kasih sayang dengan orang yang memerlukan.

"Baharu setahun saya kehilangan datuk dan saya masih dalam proses menyesuaikan diri kerana saya sangat rapat dengan arwah. Arwah selalu menghubungi saya.

Nak ketip kuku pun dia cari saya. Apa saja perkara termasuk soal agama, datuklah tempat saya rujuk. Tapi bila dia tak ada, saya terasa kehilangan.

Jadi apabila bersama penghuni di sini, ia sedikit sebanyak mengingatkan saya dengan arwah.

"Melawat penghuni-penghuni sebenarnya membuka mata kita untuk lebih menghargai ibu bapa kita.

Kita tak tahu masa hadapan kita macam mana. Insya-ALLAH semoga bila kita tua nanti anak-anak kita pun akan sayangkan kita dan bersikap menyayangi terhadap orang yang lebih memerlukan. Apabila bawa anak-anak, saya akan beri pesanan kepada mereka," kata bapa kepada Nurish Syameliah, 8, dan Hayden, 6, ini.

Bercerita perkembangan seninya, Hisyam berkata, dia akan tampil dalam program Meletop Raya di Astro.

Dalam masa sama, dia juga sibuk menjalani penggambaran sebuah drama yang diadaptasi daripada telenovela Mexico berjudul A Love To Remember. Drama nafas baharu itu diberi tajuk Memori Cinta Suraya yang menampilkannya dan Anzalna Nasir sebagai peneraju utama.

Drama berdurasi 148 episod ini diarahkan oleh Feroz Kader di bawah terbitan Global Station Sdn Bhd kerjasama bersama Astro dan Comarex dan akan bersiaran di Astro Bella & Astro Mustika HD tidak lama lagi. Selain Malaysia, drama ini juga akan dipasarkan ke luar negara.

"Jadual saya untuk Ramadan ini agak padat. Walaupun sibuk penggambaran, saya cuba luangkan masa memenuhi undangan berbuka bersama anak yatim," akhirinya.

- Kesibukan Hisyam Hamid bukan penghalang

SHARING GOOD

0 Comment to "Kesibukan Hisyam Hamid bukan penghalang"

Post a Comment