Wednesday, 10 June 2015

Najwa Latif bikin album penuh



Selepas muncul dengan album pertama pada Februari 2012, penyanyi sensasi YouTube, Najwa Latif, 20, kini rancak menyiapkan album kedua.

Dia yang mencipta nama menerusi lagu Cinta Muka Buku seronok berkongsi mengenai buah tangan terbaru itu ketika menjayakan rakaman konsert Seindah Syawal di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada minggu lalu.

“Saya sedang menyiapkan material untuk album penuh yang mengandungi 10 lagu. Idea menerbitkan album penuh timbul selepas melihat reaksi positif peminat terhadap album pertama.

“Sepanjang empat tahun dalam industri, ramai dapat menerima lagu ciptaan saya dan kakak. Dulu buat lagu untuk berseronok tetapi kini sudah jadi karier,” katanya.

Berikutan sambutan memberangsangkan terhadap lagu ciptaanya, Najwa mendedahkan ada penyanyi lain cuba mendapat khidmatnya.

Pun begitu dia belum bersedia menghasilkan lagu untuk orang lain kerana baginya masih banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki.

Walaupun berpengalaman menjayakan persembahan bertaraf antarabangsa bersama ramai penyanyi popular Asia, Najwa yang kini sibuk mempromosikan single Satu Hari Nanti tidak pernah mendabik dada.



“Permintaan sentiasa ada tetapi bagi saya kalau mahu beri lagu pada penyanyi lain kena pastikan ia terbaik daripada saya. Lagu itu pula mestilah sesuai dengan penyanyi itu dan kena dengan zaman sekarang.

“Saya belum ada keyakinan. Lagipun saya masih mengikuti kelas gitar untuk menguasai semua kod lagu.

“Ada beberapa kod baru dan gaya sudah saya praktik dalam lagu yang bakal dimuatkan dalam album kedua cuma ia masih dalam peringkat eksperimen,” kata Najwa.

Diusik perihal cinta, penuntut Sarjana Muda Bahasa Inggeris Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) yang tidak pernah lekang dengan senyuman ini menegaskan hatinya belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki.

Pada usia 20 tahun, terlalu awal untuknya bercinta apatah lagi masih ada perkara lebih besar perlu diberi keutamaan.

“Perjalanan saya masih jauh. Seperti anak muda lain saya mahu merealisasikan impian berjaya dalam bidang muzik dan bergelar pensyarah bahasa Inggeris.

“Bidang yang saya ambil ini menuntut komitmen tinggi kerana tugasan setiap hari lebih kepada esei dan pemahaman dalam kesusasteraan bahasa Inggeris,” katanya yang bakal dilantik menjadi duta produk dalam waktu terdekat.

Seiring minat mendalam terhadap bahasa Inggeris, Naj­wa bakal memuatkan sebuah lagu Inggeris dalam album terbaru. Malah dia tidak menolak kemungkinan menghasilkan album penuh berbahasa Inggeris apabila berjaya menguasai bahasa itu sepenuhnya.

Bersandarkan kesungguhannya mengejar apa yang diidam, tidak mustahil Najwa bakal melakar kejayaan besar satu hari nanti. Apatah lagi beberapa lagu dendangannya termasuk Sahabat mendapat sambutan hangat peminat di Indonesia, Singapura, Thailand dan beberapa negara Asia lain.

Malah lagu ciptaan dan nyanyiannya turut mendapat tempat di hati pendengar bukan berketurunan Asia. Buktinya lagu Sahabat pernah dinyanyikan sekumpulan pelajar di Amerika Syarikat hingga membuatkan Najwa terharu.

“Saya bersyukur apabila lagu saya diterima dalam dan luar negara.

“Ia secara tidak langsung meniup semangat saya untuk menghasilkan karya lebih baik selepas ini,” katanya.

- Najwa Latif bikin album penuh

SHARING GOOD

0 Comment to "Najwa Latif bikin album penuh"

Post a Comment