Pelakon dan penyanyi Arja Lee bakal membuka akademi tariannya sendiri pada Disember depan sebagai persedian awal jika tidak lagi menerima tawaran berlakon.
Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 31, berkata, pusat latihan yang bakal diberi nama Arja Arts Academy tersebut merupakan platform untuk dia berkongsi ilmu tarian.
“Akademi ini masih dalam peringkat awal dan saya masih mencari lokasi sesuai sama ada di sekitar Setapak atau Melawati.
“Saya kena sentiasa bersedia kerana dari bulan Januari hingga Mei tahun ini, saya tiada tawaran berlakon jadi akademi ini sebagai langkah untuk saya mengukuhkan kedudukan,” katanya kepada mStar Online.
Arja ditemui pada majlis bacaan skrip teater Y Sebuah Muzikal di Istana Budaya disini, pada Rabu.
Selain itu, Arja berkata dia sudah bersedia menerima sebarang kritikan jika orang ramai mempertikaikan kelayakannya untuk membuka akademi.
“Saya tidak pernah takut dengan kritikan orang dan projek ini bukan main-main kerana saya sangat serius serta sudah bersedia.
“Selama 10 tahun sebagai penari dan banyak terlibat dalam teater muzikal takkan itupun masih tidak cukup,” katanya.
Menurut Arja, akademi yang bakal dibuka tersebut akan menyediakan latihan asas tarian, nyanyian dan beberapa aktiviti menarik seperti Zumba dan senaman kecergasan.
Tambah Arja, dia menjadikan Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai idola kerana Tiara juga mempunyai sebuah akademi teater iaitu Enfiniti Academy of Musical Thetre and Enternational Arts (ENACT).
Sementara itu, mengenai teater Y Sebuah Muzikal, Arja memegang watak antagonis sebagai Maarof yang cuba menghalang pergerakkan persatuan belia di sebuah kampung.
Antara artis yang bakal menjayakan teater ini ialah Aiman Hakim Ridza, Fathia Latiff dan pelakon baru Nur Sarah Marie Hildebrand.
Teater yang mengangkat nilai patriotik dan semangat perpaduan ini akan diadakan di Istana Budaya bermula pada 22 sehingga 30 Ogos depan.
0 Comment to "Pelakon Arja Lee Bakal Buka Akademi Tarian"
Post a Comment