MENGAMBIL masa selama enam tahun, Royce akhirnya berjaya mengeluarkan album baharu berjudul Rock For Ladies.
MEMAKAN masa selama enam tahun, kesabaran penyanyi yang terkenal dengan genre muzik rock, Royce Sa’ayan akhirnya membuahkan hasil apabila muncul dengan album terbaharu berjudul Rock For Ladies.
Membawa sedikit kelainan, album tersebut menyelitkan suntikan irama Timur Tengah bersesuaian dengan pengalamannya yang bekerja sebagai penyanyi di Hotel Sofitel Le Spinx Alexandra Giza Cairo, Mesir.
Bermula sekitar tahun 1996, anak jati Johor itu meninggalkan tanah air untuk mencari rezeki di bumi Mesir sebelum mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada 2002 kerana kontrak bersama pihak hotel telah tamat.
Sekembalinya di Malaysia, Royce atau nama sebenarnya Raja Rohayati Sa’ayan, bijak mengatur strategi dengan mengeluarkan satu persatu single pada tahun 2006, bermula dengan single Misteri Permaisuri Hati.
Bermula daripada detik itu, Royce meneruskan rencananya sehingga berjaya mengumpul 10 buah lagu dan sebuah instrumental dengan kebanyakan liriknya ditulis sendiri.
“Saya mengharapkan agar kemunculan album ini dapat mengubat kerinduan peminat untuk mendengar lagu daripada nyanyian penyanyi rock wanita selain menjadi rujukan kepada pengamal muzik.
“Suara dua rakan baik saya iaitu Abot dan Nadia Ali turut diselitkan sekali gus menjadikan album ini lebih unik,” jelas wanita berusia 43 tahun itu ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, pemilihan kedua-dua artis tersebut kerana mereka masih tegar berjuang untuk terus berkarya sebagai anak seni. Mempertaruhkan lagu bertajuk Hanya Dua Khalimah, paduan suara Abot dan Royce jelas masih berbisa dan mampu mencuri perhatian peminat. Aura sama dapat dirasakan menerusi lagu Perhiasan Waja duet bersama Nadia Ali.
Masih mengekalkan genre muzik rock, Royce turut menyelitkan beberapa buah lagu balada hasil sentuhan magis karya komposer terkenal Habsah Hassan dan Baiduri menerusi lagu Perhiasan Waja yang dijadikan sebagai single bonus.
ROYCE SA’AYAN tidak takut melahirkan album pada saat pasaran muzik tidak menentu.
Selain Baiduri, penulis skrip Habsah Hassan menceritakan semula kisah perjalanan hidup Royce bergelar anak seni hampir mencecah tempoh dua dekat menerusi lagu 180 darjah.
Bercerita mengenai keberaniannya menerbitkan album pada saat industri muzik kurang memberangsangkan termasuk kegiatan cetak rompak, Royce punya pendapat sendiri dalam meneruskan impiannya.
“Berbalik kepada tujuan asal, saya ingin menerbitkan album bukan hanya suka-suka, sebaliknya untuk mencetuskan fenomena dan contoh buat penyanyi muda.
“Saya mengakui wujud banyak halangan dalam menerbitkan album khususnya pada masa sekarang, namun segala kemungkinan dapat diatasi jika kita gigih berusaha,” jelas Royce bersungguh-sungguh.
Album baharunya itu diterbitkan sendiri menerusi syarikat miliknya, Nakhoda Alam Enterprise, manakala edaran oleh pihak Sony Music Entertainment Malaysia Sdn. Bhd.
Mengakui teruja untuk mencetuskan fenomena, Royce kini mula merangka sebuah naskhah teater untuk dipentaskan secara muzikal. Persembahan itu nanti akan melibatkan himpunan penyanyi rock wanita.
Berusaha mengangkat irama rock, Royce ingin menggabungkan kesemua penyanyi rock wanita di Malaysia dalam satu konsert. Perancangan teliti telah dilakukan agar impian untuk merealisasikan konsert dan teater muzikal tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Melihat kepada peluang yang ada golongan lelaki dilihat lebih menonjol dan memonopoli semua persembahan berbanding wanita.
“Disebabkan itu saya kini dalam usaha menulis skrip dan merangka perjalanan kerjaya sebagai penyanyi demi memastikan impian tersebut tercapai dalam tempoh dua tahun,” tuturnya yang juga merupakan pengarah Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopstar).
Kopstar ditubuhkan untuk membantu golongan selebriti menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan meraih pendapatan sampingan, Royce turut sibuk menguruskan syarikat rakamannya termasuk menganjurkan bengkel mencipta lagu selain memiliki sebuah butik menjual jubah dan tudung serta pakaian tradisional Melayu tempatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 10 tahun lalu.
0 Comment to "Royce ingin cetus fenomena"
Post a Comment