Thursday, 30 July 2015

Sharnaaz Ahmad sado demi budak nakal



JIKA anda pengikut tegar laman sosial Instagram milik Sharnaaz Ahmad, pasti menyedari aktor terkenal ini sedang sibuk dalam proses membina badan sejak akhir Ramadan lalu.

Ketika ditanya kepada empunya diri, bintang filem Juvana ini mengakui perlu menambahkan berat badannya sehingga 10 atau 15 kilogram (kg) dalam tempoh sebulan bagi memperoleh sosok tubuh yang berotot, ideal dan menggiurkan.

Jelasnya, tindakannya itu bukanlah berniat untuk meraih perhatian semata-mata, sebaliknya ia dilakukan demi memenuhi tuntutan wataknya sebagai 'budak nakal' dalam drama bersiri terbaharunya, Mencintaimu yang bakal disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 pada Ogos nanti.

"Bagi memberikan kelainan dalam watak, saya akan buat badan jadi 'sado'. Malah, saya sendiri yang mencipta karakter lakonan saya kali ini terutamanya daripada segi imej, berat dan saiz badan.

"Sejujurnya, karakter ini banyak berkaitan dengan perjalanan hidup saya, selain masih menyelitkan cerita cinta daripada cara saya sendiri.

"Saya bukanlah nak popular, tetapi sasaran utama saya adalah untuk mencuba mencecah 'rating' sekurang-kurangnya 6 juta penonton yang akan menonton drama ini," katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.


Mencintaimu adalah drama bersiri terbaharu arahan Raja Ahmad Alauddin yang menyaksikan pelakon berusia 30 tahun itu bergandingan dengan pendatang baharu, Zahira Macwilson.

Demi merealisasikan badan 'sado'nya itu dalam waktu yang singkat, teraju utama filem Dollah Superstar ini terpaksa mengambil langkah dengan makan secara kerap dan berulang dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa, selain bersenam di gimnasium.

Bukan itu saja, Sharnaaz juga sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk makanan tambahan yang dibeli khas dari luar negara.

"Saya juga harus mengikut diet ketat dan berdisiplin tinggi dan itu adalah cabaran utama saya. Saya kerap makan. Malah, sekali makan dalam kuantiti yang sangat banyak.

"Sehari saya makan sehingga tiga ke empat jenis daging, selain mengambil beberapa jenis makanan tambahan. Setiap hari apabila habis penggambaran saya akan ke gimnasium sehingga jam 2 pagi," katanya yang pada masa sama juga perlu menjaga mutu lakonan serta tidak boleh terlalu penat.

- Sharnaaz Ahmad sado demi budak nakal

SHARING GOOD

0 Comment to "Sharnaaz Ahmad sado demi budak nakal"

Post a Comment