MAWAR belajar untuk menjaga tingkah laku setelah bergelar selebriti.
FASA untuknya merangkak sebagai anak seni baru sahaja bermula. Dia juga masih hijau dan belum cukup matang untuk membuahkan sesuatu yang bersinar terang. Namun, kehadiran Mawar Rashid selaku pendatang baharu dalam industri hiburan tanah air mudah menebarkan bau sensasi. Kelibatnya bagai ada magnet yang pantas menarik kontroversi.
Tidak lama dahulu, dia pernah dikritik hebat gara-gara tidak mampu menjawab soalan mengenai isu semasa dalam sebuah video temu ramah. Finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu juga pernah dikritik kerana berani bergambar seksi.
Kemudian, sekeping gambarnya berpeluk dengan teman lelaki mula tersebar luas dan pantas sahaja namanya sekali lagi dikaitkan dengan kontroversi liar.
Tenang berdepan segala permainan dunia hiburan, wanita berusia 20 tahun itu tidak cepat melatah dalam menangani kritikan umum.
Perlahan dia menjelaskan, gambar yang menyaksikannya sedang berpeluk dengan kekasih di atas katil yang tersebar di internet baru-baru ini merupakan kisah lama. Gambar itu kata Mawar diambil sekitar dua tahun lalu dan sejujurnya, dia sendiri tidak mempunyai jawapan mengapa baru kini gambar tersebut dimuat naik oleh seorang kenalannya.
“Malah, saya tidak berbaring di atas katil, tetapi ia diambil di atas sofa sekitar dua tahun lalu. Apabila sudah jadi begini, semua orang meletakkan kesalahan pada bahu saya tanpa mengetahui perkara sebenar. Bagaimanapun, saya tetap mengaku salah kerana tidak berwaspada dengan perkara lalu yang boleh mengundang impak negatif,” katanya mengakui khilaf diri.
Diasak dengan persoalan tentang dirinya yang lebih menyerlah dengan kontroversi berbanding kerja seni, kata Mawar dia belajar mengutip semua kesilapan diri dan meletakkan ia sebagai satu cabaran buat orang baharu sepertinya.
Katanya: “Saya belajar untuk lebih berhati-hati sebelum melakukan sesuatu. Saya belajar daripada kesilapan kerana semua itu merupakan silap sendiri.
“Saya juga menyifatkan segala kontroversi sebagai cabaran untuk lebih berani berdepan dengan dunia seni. Pelakon yang lebih senior juga banyak memberi nasihat, untuk berjaya pasti tidak lepas daripada diuji. Jadi, saya ambil segala nasihat dan cabaran lalu untuk muhasabah diri dan menjaga tingkah laku.”
Demi mengelakkan namanya terus dikaitkan dengan kontroversi, pelajar yang kini menuntut di sebuah kolej swasta memberitahu akan lebih berwaspada. Tanpa berselindung dia memberitahu pada saat pertama kali diasak dengan isu GST, memang terbit rasa negatif terhadap industri hiburan. Kata Mawar pada waktu itu dia bimbang khalayak melabelkan dirinya dengan pelbagai andaian termasuk hanya cantik luaran, tetapi tiada ilmu pengetahuan.
Bagaimanapun katanya, lama kelamaan dia mula menghadam situasi dan perlahan-lahan belajar untuk mengawal keadaan. Sebagai langkah awal, dia yang sejak dahulu gemar berkongsi segala aktiviti di laman sosial, mula mengehadkan apa yang boleh dan tidak boleh dikongsi kepada umum.
“Itu adalah pengajaran paling besar yang saya pelajari setakat ini,” katanya ringkas.
Diajak berbicara tentang kariernya, Mawar nyata teruja. Ujarnya, dia tidak menyangka tawaran berlakon datang mencurah.
“Saya baru selesai menjalani penggambaran sebuah telemovie berjudul Cucuku Ustaz untuk saluran Astro Maya. Saya juga bakal muncul dalam sebuah drama online untuk siaran portal Tonton.com.my,” katanya yang mengambil tawaran berlakon pada waktu senggang pengajiannya yang kini bakal tamat pada tahun hadapan.
0 Comment to "Kontroversi buat Mawar Rashid berwaspada"
Post a Comment