Monday, 31 August 2015

Nad Zainal Yang lepas biarlah lepas



PERGADUHAN dan salah faham itu resam hidup. Terpulang atas individu untuk menyelesaikan dan menyesuaikan diri dengan cara yang bagaimana.

Begitulah yang terjadi antara pelakon Nad Zainal dan bekas pengurusnya, Alog Zuren. Pertelingkahan mereka nampaknya belum berkesudahan.

Mengambil pendekatan untuk berdiam diri selagi isu belum reda, Nad memberitahu Zass untuk tidak terlalu terbuka dalam membuat kenyataan berhubung perselisihan faham antara dia dan bekas pengurusnya itu.

“Saya rasa semua ini macam budak-budaklah. Dalam Melodi saya tak sebut pun nama dia atau sesiapa. Mungkin dia tak tengok Melodi tu, jadi dia fikir saya cakap fasal dia.

“Dia nak cakap apa dia cakaplah. Bagi saya barang yang lepas tu biarlah lepas. Lagi pun dah tak ada apa-apa kaitan. Kalau dia nak komen biar dia komen sebab dia yang cakap perkara ni dulu. Dia yang salah faham. Apa yang penting sekarang saya nak ambil tempoh berdiam diri. Biar perkara reda dahulu,” katanya ketika dihubungi Zass, baru-baru ini.


Nad mengakui, sedangkan adik-beradik, suami isteri malah ibu dan anak pun bergaduh, inikan pula kawan biasa atau majikan dan pekerja.

Bermula dari tersiarnya pengakuan Nad di Melodi yang mengatakan bekas pengurus telah melarikan duit bayaran, membuat Alog terasa lalu membuat kenyataan balas menerusi laman sosial bagi menafikan perkara itu.

Malah, Alog turut mendakwa Nad mempunyai banyak masalah peribadi dan berkelakuan buruk di sebuah rumah anak yatim.

Cuba perbaiki diri

Tampil memberikan penjelasan, Nad memuat naik status di Instagram bagi meminta maaf atas segala kesilapannya yang membuatkan semua pihak berkecil hati di majlis tersebut.

“Bagi saya orang bila tengah marah dia kumpul macam-macam perkara untuk mengaibkan kita. Lebih elok saya berdiam diri saja. Keutamaan saya adalah keluarga dan kerjaya saya. Peminat, kawan atau sesiapa saja datang dan pergi.

“Mungkin ada kelemahan dan kekurangan saya. Saya nak perbaiki diri. Tak ada kelab peminat pun tak apalah sebab dengan keadaan saya dan jadual saya sekarang, saya memang tak boleh berikan komitmen yang baik kepada semua. Saya juga perlukan masa untuk diri sendiri,” sambung Nad.

Nad juga berkata, buat masa ini tidak ada kepentingan untuk beliau bertemu bekas pengurusnya itu bagi menyelesaikan isu berbangkit yang semakin buruk ini.

“Bagi saya biarkan ia berlalu. Saya tak akan jumpa dia atau sesiapa sebab ini semua salah faham. Saya tak sebut nama dia,” katanya.

- Nad Zainal Yang lepas biarlah lepas

SHARING GOOD

0 Comment to "Nad Zainal Yang lepas biarlah lepas"

Post a Comment