BOB (kanan berdiri) bersama selebriti yang terlibat dalam program Super Spontan All Stars dan Abdul Rani (tiga dari kiri berdiri) pada majlis sidang akhbar yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
MENJADI stesen televisyen yang bertanggungjawab mencetuskan fenomena dunia komedi, khususnya menerusi saluran Warna, Astro sekali lagi menampilkan program bercorak rancangan permainan, Super Spontan All Star (SPAS).
Memiliki kekuatan dengan barisan 14 selebriti popular tanah air, SPAS yang bersiaran secara langsung dari Studio Visual Three, Bukit Serdang bermula 28 Ogos setiap Jumaat pada pukul 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Memasuki siri keempat, musim kali ini mempertaruhkan golongan selebriti popular tidak hanya dalam bidang komedi malah dunia lakonan.
Menjadikan pelakon jelita, Uqasha Senrose sebagai antara tarikan, Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro, Bob Azrai berkata, taruhan itu diambil sempena sambutan menggalakkan daripada penonton.
“Penglibatan Uqasha bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini dia pernah tampil sebagai selebriti jemputan pada episod terdahulu.
“Disebabkan sambutan yang menggalakkan serta permintaan penonton selepas melihat aksi bersahaja Uqasha, kami berpendapat kemunculannya mampu menaikkan rating program,” katanya dalam majlis sidang akhbar pelancaran SPAS di ibu kota baru-baru ini.
Penglibatan pelawak seperti Zizan Razak, Johan Raja Lawak, Jep Sepahtu, Pak Yus, Tauke serta Jihan Muse pasti bakal mencetuskan suasana ‘kelam-kabut’ di pentas pertandingan.
Menggunakan khidmat pengacara popular yang sememangnya sinonim dengan dunia komedi, Datuk AC Mizal dilantik bagi menggalas tanggungjawab sebagai hos rancangan.
Bersiaran selama 10 minggu, SPAS tidak hanya sebuah rancangan realiti hiburan biasa sebaliknya diterapkan dengan elemen bantuan amal kepada pihak yang memerlukan.
Dalam usaha memberikan hiburan berkualiti kepada penonton, SPAS turut menjadi medan buat golongan selebriti untuk melakukan tanggungjawab sosial dengan menyumbang hadiah kemenangan yang diperoleh menerusi persembahan mingguan kepada badan-badan kebajikan.
UQASHA tidak sabar mempamerkan bakat humor dan bersaing dengan pelawak popular dalam SPAS.
“Usaha murni sebagai serampang dua mata dalam memberikan hiburan berkualiti dan pada masa sama mereka dapat beramal serta membantu pihak yang memerlukan bantuan.
“Program seumpama ini dapat menyerlahkan sikap prihatin dalam kalangan selebriti tanah air kerana sudi menghulurkan bantuan serta menjadi inisiatif kami mengetengahkan konsep program berhibur sambil beramal,” jelas Bob.
Mengekalkan ‘jawatan’ Afdlin Shauki sebagai pengulas pertandingan, gandingan penyampai radio yang terkenal dengan segmen sketsa JoHaRa, Hanif dan Ray manakala Amir Raja Lawak akan menghangatkan suasana selaku pengulas iringan.
Dibahagikan kepada dua pasukan iaitu Kungfu Kipidap dan Silat Dongibab, artis lain yang terlibat ialah Rahim R2, Shahrul Shiro, Ajak Shiro, Along Cham, Achey, Abam, Yasmin Hani dan Nana Mahazan.
Juara SPAS akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150,000, naib juara (RM75,000), ketiga (RM50,000), keempat (RM20,000), kelima (RM10,000) dan keenam (RM5,000).
Peserta akan dinilai mengikut persembahan mingguan yang akan diadili berdasarkan format pemarkahan yang ditentukan sepenuhnya secara undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton serta laman web rasmi SPAS, www.superspontan.com.my.
Bakal membuat kemunculan istimewa, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah turut tampil sebagai jemputan istimewa pada episod pertama SPAS.
Teruja
Mengulas mengenai penglibatannya dalam rancangan berbentuk komedi, Uqasha yang terkenal sebagai pelakon melahirkan rasa teruja.
Akuinya, dia teruja diberi peluang menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ pelawak.
Pernah terlibat dengan produksi SPAS sebelum ini, dia mahu menjadikan bekalan itu sebagai ‘senjata rahsia’ dalam usaha merebut gelaran juara sekali gus menjadikan dirinya sebagai artis wanita pertama menyandang gelaran.
Pada musim pertama, rezeki lebih berpihak kepada Zizan, Jep Sepahtu (musim kedua) dan Johan (musim ketiga).
“Saya berasa gembira dan teruja untuk bersama mereka kerana kesemuanya memang pakar dalam bidang komedi. Namun usaha untuk merebut gelaran juara itu tetap ada.
“Kerap ditawarkan membawa watak komedi menjadikan sedikit keyakinan untuk tampil bersahaja tanpa sebarang skrip di atas pentas SPAS itu nanti,“ jelasnya sambil melepaskan ketawa kecil.
0 Comment to "Rani Kulup, Uqasha umpan rating SPAS"
Post a Comment