Gambar kenangan Paul Walker bersama Meadow ketika masih kecil.
ANAK pelakon terkenal, mendiang Paul Walker dilaporkan telah memfailkan saman terhadap syarikat pengeluar kereta Porsche yang dinaiki bapanya ketika kemalangan sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lalu.
Meadow Rain Walker, 16 mendakwa kenderaan yang dinaiki Paul, Porsche Carrera GT mempunyai beberapa kekurangan dalam reka bentuknya daripada segi ciri-ciri keselamatan.
Tuntutan mahkamah itu difailkan semalam oleh Meadow dan mendakwa bahawa pelakon Fast and Furious itu masih selamat dalam kemalangan itu namun terbakar hingga menyebabkan kematian dalam kereta tersebut.
Dalam rekod tersebut menyebut, kereta itu dipasarkan sebagai kereta lumba jalanan yang sah tapi kawalan keselamatan kurang stabil untuk melindungi penumpang dan mengelak ia daripada terbakar selepas perlanggaran.
Dakwaan itu juga menyatakan bahawa tali pinggang keselamatan yang dipakai Paul menarik tubuhnya ke belakang dengan kuasa seribu paun hingga menyebabkan tulang rusuk dan pinggulnya patah.
Malah tuntutan itu juga menyatakan bahawa api tercetus hanya dalam seminit selepas kemalangan dan Paul masih hidup ketika kebakaran bermula.
Wakil Porsche Cars North America, Calvin Kim memberitahu CNN bahawa Porsche masih belum melihat tuntutan tersebut dan tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sebelum ini, Porsche mendakwa kematian Paul adalah disebabkan kesilapan pemandu, Roger Rodas dan bukannya berpunca dari kereta buatan syarikat itu.
Paul dan Roger Rodas maut selepas kereta jenis Porsche Carrera GT yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan ngeri pada Disember 2013 ketika dalam perjalanan menuju acara amal di Los Angeles.
Sebelum ini, balu kepada Roger, Kristine Rodas, telah menfailkan saman terhadap Porsche mendakwa kereta buatan syarikat itu mempunyai masalah teknikal yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Porsche berkata kematian, kecederaan dan kerosakan yang didakwa adalah berpunca daripada kesilapan pemandu berkenaan.
0 Comment to "Anak Paul Walker saman Porsche"
Post a Comment