PENGENDALI video dalam talian - Netflix yang memiliki 60 juta pelanggan di seluruh dunia - mengambil risiko dengan membatalkan kontrak dengan pihak pengedar Epix sekaligus bakal menyaksikan beribu katalog filem popular dikeluarkan dari senarainya tidak lama lagi.
Ini termasuklah siri filem Hunger Games dan Transformers.
Netflix, sebaliknya berkata yang mereka ingin menumpukan perhatian kepada kandungan eksklusif.
Perjanjian di antara Netflix dengan Epix - dikatakan bernilai AS$1 bilion - akan tamat menjelang hujung bulan ini.
Jika tidak diperbaharui, para pelanggan Netflix akan kehilangan hak untuk terus menonton filem-filem yang diedarkan menerusi rangkaian Epix.
Menjelaskan keputusan terbaru ini kepada para pelanggannya, Ketua Pegawai Bahan Kandungan Netflix, Ted Sarandos berkata: "Sementara kita akui, sebahagian besar daripada filem-filem edaran Epix sangat popular, tetapi pada masa yang sama ia masih dapat ditonton menerima rangkaian berbayar."
Penganalisi filem, Jim Nail dilaporkan oleh BBC sebagai berkata, Netflix telah membuat kiraan yang berisiko berhubung keputusan mereka untuk menamatkan perjanjian dengan Epix.
"Netflix adalah sebuah syarikat berasaskan data yang bijak dan mempunyai visi jauh ke hadapan. Mereka tidak membuat keputusan ini tanpa terlebih dahulu membuat analisa berapa ramaikah yang sebenarnya menonton filem-filem edaran Epix," katanya.
Tambah beliau lagi, Netflix kini sedang meletakkan diri mereka sebagai pengendali perkhidmatan eksklusif yang tidak ditawarkan oleh pengendali video dalam talian yang lain.
Menurut Nail, pada akhirnya Netflix menempatkan diri mereka sebagai bukan sekadar perpustakaan filem.
"Mereka cuba mencuri perhatian para pelanggan yang inginkan kandungan premium," tegasnya lagi.
Ini dapat dilihat daripada usaha yang sedang dibuat untuk menghasilkan kandungan yang asli sama sepertimana pengeluar filem dan studio filem serta rangkaian kabel.
Dan langkah ini nampaknya membuahkan hasil.
Untuk anugerah Emmy tahun ini, Netflix telah menerima 34 pencalonan untuk beberapa siri filem pendek dan juga dokumentari keluarannya sendiri, manakala Amazon - yang juga merupakan salah satu pemain utama video di dalam talian turut menerima 12 pencalonan.
Yahoo, yang kini turut bersaing dalam industri video di dalam talian juga berjaya menerima pencalonan untuk anugerah berprestij itu.
Kejayaan dan sambutan yang diberikan oleh para pelanggan ke atas video dalam talian yang dihasilkan secara eksklusif dan original itu menunjukkan yang langkah Netflix adalah betul kerana tidak ada mana-mana pemain lagi yang betul-betul menguasai pasaran berkenaan buat masa ini, tambah Nail.
0 Comment to "Netflix Perjudi Nasib Tamatkan Kontrak Dengan Epix"
Post a Comment