Wednesday, 30 September 2015

Parkir Dikurangkan Untuk Atasi Kesesakan Di KL


Bilangan ruang meletak kenderaan di bandar raya ini akan dikurangkan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata idea itu adalah untuk mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

"Kami sedang mengkaji rancangan ini (untuk mengurangkan ruang meletak kenderaan) secara menyeluruh dari segi kesannya dan akan melaksanakannya selepas selesai pembinaan Jajaran 1 projek Mass Rapid Transit (MRT) pada 2017," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketujuh mengenai Bandar Raya Mapan Bertaraf Dunia 2015 (WCSC 2015) di sini, Selasa.


Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin dan Pengerusi WCSC 2015 Datuk N.K. Tong.

Katanya rancangan itu termasuk mengenakan kadar caj tempat letak kenderaan yang lebih tinggi dan kos pembangunan yang lebih tinggi untuk tempat meletak kereta.

Loga berkata projek seperti MRT dan Light Rail Transit (LRT) membolehkan orang ramai bergerak tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

Persidangan WCSC 2015 anjuran bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL REHDA), Institut Perancang Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Persidangan itu bermatlamat meningkatkan kesedaran warga kota dan lain-lain pihak berkepentingan membolehkan bandar raya berfungsi.

- Parkir Dikurangkan Untuk Atasi Kesesakan Di KL

SHARING GOOD

0 Comment to "Parkir Dikurangkan Untuk Atasi Kesesakan Di KL"

Post a Comment