PELAKON Karl Syafek mengakui penyanyi Fynn Jamal merupakan seorang penyanyi, penulis lirik dan komposer yang berbakat dalam industri seni tempatan.
Meski pun pernah mengkritik gaya nyanyiannya menerusi lagu Suatu Pernah, namun pelakon berusia 32 tahun itu tidak pernah mempertikaikan kemampuan pelantun lagu Arjuna Beta itu.
Jelas Karl, komen yang dimuat naik di laman sosial Twitternya baru-baru ini sekadar pandangan ikhlas dan jujur sebagai seorang pendengar sahaja.
"Memang ramai yang menghentam saya selepas saya muat naik komen tersebut, saya sendiri tidak menyangka bahawa Fynn mempunyai peminat dan pengikut yang besar sebegitu.
"Tetapi saya memang tidak mempunyai apa-apa niat apabila memberikan pandangan tersebut, ia hanya sekadar satu perkongsian yang saya rasakan terhadap lagu nyanyiannya itu," katanya.
Tambah pelakon Masihkah Ada Cinta ini, dia juga tidak pernah mengenali Fynn selama ini.
"Ia merupakan kali pertama saya mendengar nyanyiannya, kerana itu saya berasa agak janggal kerana dia tidak sama dengan mana-mana penyanyi yang ada dalam industri ini.
"Apa yang saya tahu dia menyampaikan nyanyian seperti berpuisi dan itu sememangnya kurang difahami saya," ujarnya selepas ditemui pada majlis pelancaran teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya (Ib) baru-baru ini.
Dek kerana itu, Karl turut memohon maaf di atas ketelanjurannya itu.
"Saya minta maaf jika komen saya menyinggung hati Fynn dan peminatnya. Saya bukan sesiapa untuk menghakimi karyanya.
"Sekali lagi saya jelasnya, saya hanya bertanya mengenai cara nyanyiannya sahaja," katanya berharap Fynn tidak berkecil hati dengan perkara itu, '' katanya.
Mengulas mengenai pembabitannya sebagai Azis menerusi teater hebat Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, ujar Kark Shafek, ia merupakan satu peluang yang sangat berharga baginya.
“Bukan mudah mendapat tawaran sebegini, sementelah ia karya yang besar dan sangat hebat.
“Apa pun, saya akan berikan yang terbaik demi pementasan ini,” katanya.
Teater berkenaan akan dipentaskan di IB bermula 12 hingga 18 Oktober ini di bawah terbitan CTRA Production.
0 Comment to "Karl Shafek akui kesilapan"
Post a Comment