Monday, 19 October 2015

RTM dijangka digital sepenuhnya pada 2018



ATLET Memanah Malaysia, Fatin Nurfatehah Mat Salleh (dua dari kanan) memberikan replika obor kepada Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Datuk Adilah Shek Omar (kiri) sebagai acara simbolik pelancaran majlis Tayangan Media RTM 2016 di E@Curve baru-baru ini.

SEIRING dengan peredaran masa dan teknologi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal beralih daripada sistem analog ke digital sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Strategik RTM, Datuk Adilah Shek Omar dalam sidang akhbar RTM Media Screening 2016 To The Next Level yang diadakan di Cathay E@Curve, Selangor baru-baru ini.

Menurut Adilah, pihaknya kini sedang melakukan persiapan berperingkat untuk menaik taraf sistem analog kepada digital ke seluruh negara. Katanya, apabila proses peralihan sistem itu selesai sekitar tahun 2017, penonton bakal menikmati visual dan program yang lebih berkualiti.

“Peralihan antara sistem analog ke digital tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana banyak aspek perlu diberi perhatian. Ingin saya tekankan bahawa peralihan sistem ini bukan melibatkan RTM sahaja, tetapi juga semua stesen televisyen percuma di Malaysia.

“Setakat ini kami telah melakukan percubaan di negeri Pantai Timur terlebih dahulu. Selepas itu kami akan kembangkan ke seluruh negara dan proses untuk menyelesaikan peralihan sistem itu memakan masa selama dua tahun,” katanya.


Jelas Adilah lagi, projek peralihan sistem tersebut akan melibatkan semua stesen televisyen percuma tempatan. Apabila dilaksanakan kelak, semua stesen televisyen bakal mempunyai kualiti visual dan audio yang sama.

“Jika kita menggunakan pemancar biasa, kualiti setiap stesen televisyen berbeza. Jika siaran RTM terang dan cantik, sebaliknya untuk stesen televisyen yang lain kerana arah pemancar berbeza-beza,” ujarnya.

Bagaimanapun, bagi mendapatkan siaran digital tersebut, setiap pengguna perlu membeli dekoder Set Top Box (STP) yang akan dijual kelak. Menariknya, pengguna hanya perlu membayar sekali sahaja untuk mendapatkan STP tersebut dan tiada yuran bulanan yang dikenakan.


FASHA SANDA akan terlibat dalam drama bersiri Tentang Hati 2 di TV2 pada tahun 2016.

Selain mendapat visual dan audio yang berkualiti, STP juga dilengkapi dengan sistem interaktif yang dikenali dengan nama Red Button. Menerusinya, penonton boleh mendapatkan pelbagai informasi berkaitan program televisyen serta boleh disambungkan dengan Internet.

Disoal sudahkah RTM bersedia untuk beralih ke sistem digital kerana pada masa yang sama empat saluran baharu juga akan diperkenalkan kepada penonton. Jawab Adilah, RTM telah beroperasi dalam sistem digital lebih 10 tahun.

Bagaimanapun disebabkan pemancar masih dalam sistem analog, justeru visual yang sampai di televisyen bukanlah dalam sistem digital.

“RTM memang sudah bersedia kerana lebih 10 tahun pihak kami beroperasi dalam sistem digital. Cuma sekarang ini pemancar masih dalam sistem analog, jadi kualiti visual yang terdapat di televisyen bukanlah dalam digital.

“Menukar sistem pemancar menelan kos yang tinggi. Sebab itu, persiapan dilakukan secara berperingkat. Selepas percubaan berjaya dilakukan di beberapa buah negeri, pihak RTM dengan kerjasama stesen televisyen yang lain akan membuat pemberitahuan kepada semua rakyat Malaysia tentang peralihan sistem bagi mengelak kekeliruan kepada pengguna,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama Adilah turut memperkenalkan program baharu di TV1 dan TV2 untuk tontonan tahun 2016. Ujarnya, 95 peratus program yang disediakan merupakan terbitan stesen berkenaan.

“RTM komited dalam memastikan kesemua program yang disediakan adalah berkualiti dan menepati kehendak penonton selain memberi informasi. Saya yakin, RTM masih mendapat kepercayaan rakyat Malaysia,” katanya menutup bicara.

- RTM dijangka digital sepenuhnya pada 2018

SHARING GOOD

0 Comment to "RTM dijangka digital sepenuhnya pada 2018"

Post a Comment