Tuesday 17 November 2015

Mak Cun gegar Istana Budaya


Mak Cun

SEBUT sahaja Mak Cun, pasti ramai yang membayangkan gelagat pelakon terkenal Erma Fatima yang memainkan peranan sebagai seorang wanita kampung yang kelam kabut dan bercakap dialek Utara.

Bahkan, kehadiran drama bersiri popular itu telah mencipta satu fenomena meskipun ia hanya mengangkat kisah biasa yang mungkin pernah terjadi kepada masyarakat setempat.

Kerana itu, apabila Erma yang merupakan penerbit dan juga pengarah bagi drama itu mengumumkan mengangkat Mak Cun ke pentas teater, ianya mendapat sokongan dan sangat dinanti-nantikan oleh peminat setia drama bersiri itu.

Justeru pada malam tayangan media baru-baru ini, pementasan Teater Muzikal Mak Cun di bawah terbitan Rumah Karya Citra itu telah mendapat sambutan yang sangat hebat.

Mengimbas sejenak pementasan pada malam itu, ternyata tidak silap Erma memilih untuk membawa Mak Cun ke pentas berprestij Istana Budaya.

Menerusi plot yang disusun, meskipun hanya mengambil masa dua jam untuk menterjemahkan karya itu ke pentas teater berbanding drama bersirinya yang mengambil sembilan episod, namun ia berjaya menawan hati penonton.

Pementasan dimulakan dengan lagu tema Mak Cun yang turut diiringi tarian oleh penari, pelakon terbabit dan Erma sendiri.

Kemudian, bermulalah perjalanan kisah Erma yang melibatkan anak-anaknya iaitu Saidatul dan Halimatun, perusahaan bedak sejuk, hubungan bersama Pak Akob serta Zennat Manisah yang sentiasa mencemburui Mak Cun.

Lebih menarik, pementasan ini turut diserikan oleh babak-babak cinta yang diiringi lagu dan tarian Bollywood.

Bahkan Mak Cun yang terkenal dengan komedi tersendiri juga, telah berjaya membuatkan penonton tidak kering gusi pada malam itu.

Secara keseluruhan, tidak rugi menonton pementasan muzikal ini kerana ia sangat menghiburkan dan penuh warna-warni.

Pementasan Mak Cun dijayakan barisan teraju utama seperti Erma sendiri, Nora Danish, Balkish Semundur Khan, Ummi Aida, Datuk Rahim Razali, Ungku Ismail, Dafi dan penampilan istimewa oleh Ogy Ahmad Daud.

Teater Muzikal Mak Cun berkisarkan seorang wanita kampung yang mempunyai cita-cita tinggi menjadi usahawan desa berjaya dan berharap rakan-rakannya turut berjaya seperti dirinya.

Ia mula membuka tirai pada 14 November lalu sehingga 22 November ini.

Persembahan mantap

Rata-rata pelakon yang membintangi pementasan teater ini adalah pelakon asal daripada drama bersiri Mak Cun itu sendiri.

Pun begitu, pementasan teater dan layar skrin adalah sesuatu yang amat berbeza.

Ini kerana kesalahan yang dilakukan di pentas teater boleh menyebabkan keseluruhan pementasan itu menjadi 'cacat'.

Namun, lain pula dengan Mak Cun, boleh dikatakan, gaya persembahan dan lakonan yang disampaikan secara 'live' oleh pelakon terlibat adalah sangat mantap dan berkesan.

Bercerita mengenai pelakonnya, Erma sendiri sebagai Mak Cun wajar dipuji pada malam itu.

Karakternya sangat menjadi dan dia dilihat benar-benar menjiwai diri Mak Cun.

Dialog yang disampaikan juga meski pun menggunakan dialek Utara tetapi penyampaiannya cukup jelas kepada penonton.

Tidak lengkap rasanya naskhah ini tanpa berbicara mengenai watak Saidatul atau Atul lakonan Balkish Semundur Khan.

Merupakan antara peranan yang paling dinantikan penonton, nyata penampilan Balkish dalam setiap babak mendapat tepukan hebat pada malam itu.

Malah kehadirannya boleh dikatakan sebagai penyeri bagi teater muzikal ini.

Nora Danish curi tumpuan

Walaupun muncul hanya untuk beberapa babak sahaja, tetapi pelakon comel ini tetap berjaya mencuri tumpuan penonton.

Tidak memerlukan keseluruhan pementasan untuk menonjolkan wataknya, Nora yang memainkan peranan sebagai Halimatun atau Atun sangat mencuit hati pada malam itu.

Dengan hanya lontaran dialog yang memerlukan dia membuat slanga 'Mat Saleh', Nora telah membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak setiap kali dia muncul di pentas tersebut.

Selain itu, watak Pak Akob lakonan Rahim Razali juga antara yang mendapat perhatian penonton malam itu dengan gayanya yang tersendiri dan bersahaja.

Hanya dengan gayanya tersendiri, Rahim menjadikan setiap penampilannya di atas pentas itu cukup sempurna.

Kehadiran Ungku Ismail (Haidar), Ummi Aida (Zennat Manisah) dan Dafi Ismail (Meor), telah melengkapkan karya itu secara keseluruhan.

Tanpa kehadiran mereka, sudah pasti pementasan tersebut tidak seperti yang diharapkan.

Di akhir pementasan, Mak Cun menggemparkan penonton dengan penampilan istimewa Ogy Ahmad Daud.

Menerusi durasi beberapa minit sahaja, Ogy berjaya menutup pementasan tersebut dengan sorokan dan tepukan daripada penonton yang hadir menyaksikan karya hebat itu.


Baiki kelemahan

Sementara itu, Erma memberitahu, walaupun pementasan tersebut mendapat respons baik, dia masih belum berpuas hati.

"Saya tahu banyak kelemahan pada malam pertama persembahan ini. Daripada aspek teknikal seperti pencahayaan dan audio, memang terdapat kesilapan.

"Jadi, saya akan pastikan ia sempurna pada malam pembukaan untuk penonton nanti.

"Bahkan saya sendiri rasa agak kekok dan gementar di pentas kerana terlalu berhati-hati dengan dialog dan lakonan saya," katanya.

Berbicara soal pelakon pula, kata Erma, dia sudah cukup gembira dengan komitmen mereka di pentas.

"Ini adalah pementasan kami yang pertama melibatkan semua pelakon sebenarnya.

"Saya sendiri pelakon di pentas ini, jadi saya kekurangan masa untuk menilai prestasi pelakon-pelakon lain.

"Tetapi mereka sudah cukup hebat dan profesional kerana berjaya membuatkan penonton terhibur malam ini," katanya.

Jelas Erma juga, dia bersyukur kerana mendapat 'team' yang sangat hebat.

"Kejayaan pementasan ini bukan sekadar kerana pelakonnya sahaja, sebaliknya krew di belakang tabir juga.

"Tanpa mereka, prop-prop gergasi yang ada tidak dapat di bawa masuk ke pentas," katanya.

Bagi Ogy sendiri, walaupun mempunyai banyak pengalaman sebagai pelakon, namun rasa gementarnya tetap ada.

"Sudah lama tidak bererti kita bagus, kalau terlalu yakin juga tidak bagus untuk pelakon itu.

"Saya akui cukup gembira di beri kesempatan oleh Erma terlibat menerusi teater muzikal ini," katanya.

- Mak Cun gegar Istana Budaya

SHARING GOOD

0 Comment to "Mak Cun gegar Istana Budaya"

Post a Comment