
Ziana mula berhijab sejak Jun 2014 bersamaaan hari Nuzul al-Quran. Dalam pengakuannya, keputusan itu banyak didorong oleh doa keluarga termasuk anak sulungnya, seorang pelajar di sekolah tahfiz yang sering meluahkan keinginan melihat ibunya bertudung
KEMUNCULAN golongan artis yang tampil dengan jenama tudung atau pakaian Muslimah, khususnya selebriti wanita yang kembali kepada fitrah (berhijab) kini bagaikan sebuah revolusi. Ia berkembang pantas, seiring permintaan dan kecenderungan artis itu sendiri yang mula menyedari prospek bergelar usahawan berjaya.
Populariti, pengaruh dan kemudahan medium promosi dengan jumlah pengikut di laman sosial menjadi antara faktor kejayaan bisnes, khususnya fesyen pada masa kini.
Selebriti seperti Erra Fazira, Rozita Che Wan, Umie Aida, Emma Maembong, sekadar menyebutkan beberapa nama, bahkan Zara Zya dan terbaharu, Nora Danish yang tidak bertudung pun sudah mempunyai jenama tudung sendiri.
Seorang lagi bintang pujaan tanah air, Ziana Zain yang kini sudah berhijab juga tidak menolak kemungkinan untuk mempunyai jenama tudung atau pakaian Muslimah sendiri. Penyanyi lagu Madah Berhelah itu memberi gambaran, tidak mustahil bahawa suatu hari nanti beliau akan menceburi bisnes fesyen dan mengeluarkan jenamanya sendiri.
Kata Ziana, hanya masa yang akan menentukan, bilakah waktu tepat untuk melestarikan impian tersebut. Jika sesuatu itu hendak dilakukan, biarlah ia dibuat dengan penuh perancangan dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Bukan senang untuk keluarkan jenama sendiri. Kita perlukan modal dan juga pengetahuan. Kita tidak boleh mengeluarkan sesuatu tanpa ilmu kerana ia pasti tidak akan bertahan lama.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang ini, biarlah saya tangguhkan dulu dan menimba ilmu dalam bidang fesyen setingi-tinggi yang boleh sebelum merealisasikan impian tersebut,” katanya usai pelancaran Zayyen Ziana Zain by Zatu Emerald di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sejak berhijab, penampilan Ziana yang sememangnya bukan lagi asing dalam industri hiburan tanah air sering menjadi perhatian peminat, tidak kira dari dunia hiburan mahupun fesyen.
Kini, kepada peminat yang mengagumi gaya dan penampilan diva tanah air itu, boleh bergaya sepertinya menerusi koleksi terbaharu Zayyen yang dihasilkan melalui kolaborasi Ziana bersama dengan pemilik Zatu Emerald, Datuk Nurol Huda Ma’son.
Menurut Ziana, 47, terdapat 12 koleksi kesemuanya yang merupakan sebahagian daripada ideanya sendiri dan juga pihak Zatu Emerald.
“Rekaan baju daripada koleksi Zayyen sesuai dipakai oleh semua golongan masyarakat sama ada yang berhijab ataupun tidak.
“Terdapat juga saiz dari S hingga ke XXL, oleh itu semua individu yang menggemari fesyen terkini boleh menggayakannya. Harganya juga mampu milik,” katanya.
Zatu Emerald merupakan butik pakaian yang mempunyai pengikutnya sendiri di alam maya dan merupakan rangkaian pakaian mampu milik yang boleh digayakan oleh semua individu.
Zayyen menampilkan potongan terkini yang sesuai digayakan oleh semua golongan masyarakat terutama mereka yang berhijab dan mementingkan gaya mengikut peredaran zaman.
Tiada eksklusiviti

KOLABORASI - Selain kerap bersama Rizman Ruzaini, kini Ziana berkolaborasi dengan Zatu Emerald mengeluarkan fesyen 12 koleksi yang diberi nama Zayyen.
Berbicara soal gaya dan cita rasa fesyen, penyanyi yang terkenal dengan lagu Puncak Kasih itu turut menjawab persoalan, konon-kononnya hanya memilih untuk menggayakan hasil rekaan pereka fesyen Rizman Ruzaini. Desas-desus itu diperkemaskan lagi jika melihat sejarah kerjasama antara Ziana dan duo pereka fesyen sudah sinonim sejak sekian lama.
Tegas ibu kepada empat orang anak itu, beliau terbuka untuk mengayakan rekaan daripada mana-mana pereka fesyen, namun mestilah bersesuaian dengan imejnya dan hasil rekaan tersebut cantik dipandang.
Ziana juga menjelaskan, beliau tidak pernah terikat dengan mana-mana pereka fesyen yang tidak membolehkannya menggayakan busana daripada pereka fesyen lain.
“Ramai ingat saya terikat dengan seorang pereka fesyen terkenal (Rizman Ruzaini). Disebabkan hubungan baik yang terjalin antara kami, ada pereka fesyen tempatan lain bimbang untuk menawarkan saya menggayakan rekaan mereka.
“Saya sebenarnya tidak begitu cerewet dalam memilih siapa pereka fesyen pakaian yang saya gayakan. Tidak kisah pun kalau fabriknya murah ataupun perekanya hanya pelajar universiti. Kalaupun, kain atau fabrik tersebut berharga semurah RM4, jika rekaannya cantik dan menepati cita rasa, saya akan pakai.
“Asalkan ia selesa dan sedap mata memandang, insya-Allah saya terima,” katanya seraya mempelawa mana-mana pereka fesyen yang berhajat untuk menawarkannya rekaan mereka.
Pertemuan dengan pemenang Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) menerusi Anugerah Industri Muzik 1996 itu turut diteruskan dengan perkongsian terbaharunya mengenai karier nyanyian.
Kata Ziana, beliau kini dalam proses mengumpul material untuk single dan album terbaharu yang dijangka berada di pasaran sekitar tahun depan.
Malah beritahu Ziana, sepanjang proses tersebut hatinya terbuka jika ada komposer yang ingin menyumbangkan lagu untuk projek berkenaan tanpa mengira mereka yang berpengalaman ataupun masih baharu.
“Saya tahu sudah begitu lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu atau album. Insya-Allah saya akan muncul dengan buah tangan terbaharu pada tahun depan.
“Buat masa ini saya masih memilih lagu yang sesuai, malah terbuka sekiranya ada komposer yang ingin menyumbangkan lagu untuk album itu nanti,” jelasnya.
0 Comment to "Ziana Zain: Jenama sendiri, tunggu dulu"
Post a Comment