Sejak itu, tawaran demi tawaran hadir bahkan wanita berusia 30 tahun ini turut merasakan berlakunya perubahan positif dalam karier lakonannya itu.
Pun begitu, Seyfried mendedahkan industri perfileman Hollywood tidak jauh bezanya dengan kisah di dalam filem pertamanya itu.
Mean Girls menceritakan seorang gadis bernama Cady Heron (lakonan Lindsay Lohan) yang memasuki sekolah buat kali pertama selepas lama tinggal di Afrika mendapati dunia kasta remaja di kolej amat kejam.
Filem arahan Mark Waters ini ditulis oleh bintang komedi popular Tina Fey dan diadaptasi daripada novel Queen Bees And Wannabes karya Rosalind Wiseman tentang bagaimana kumpulan sosial remaja perempuan di kolej wujud dan apa kesannya terhadap mereka.
"Industri Hollywood sama seperti industri yang lain. Penuh kepura-puraan dan 'pembuli' yang manja.
"Namun, Hollywood juga penuh dengan 'keindahannya' dan dikelilingi dengan orang-orang jujur, tetapi pada masa sama, tetap harus berhati-hati," katanya dalam satu wawancara.
Bukan itu saja, Seyfried mengakui pernah melalui pengalaman diskriminasi gender (perlakuan tidak adil terhadap wanita) di tempat kerjanya.
"Saya tak tahu berapa yang diperolehi oleh lawan main saya dalam filem itu.
"Bagi saya, ia haruslah diperlakukan secara sama, tetapi saya juga mengetahui ada yang mengalami perbezaan yang sangat besar.
"Ini tidak adil," katanya.
Kesimpulannya, kata Seyfried, dunia Hollywood tidak selalu indah dan seharusnya cekal dalam mengharungi sesuatu cabaran itu.
"Kamu harus bersikap degil dan apa yang penting, percaya kepada diri sendiri.
"Pada masa sama, anda perlu berhati-hati dengan orang-orang yang akan bersikap 'tikam dari belakang'.
"Ia sama seperti kehidupan di remaja di kolej," nasihatnya.
Sebelum ini, Seyfried pernah melahirkan perasaan bimbang dan takut sekiranya kerjaya lakonannya hancur selepas bernekad untuk membintangi filem kontroversi, Lovelace pada 2013.
"Watak itu adalah yang paling berisiko sepanjang kerjaya saya sebagai pelakon.
"Saya bimbang ia akan menghancurkan kerjaya saya," katanya.
Jika dimbas kembali, pemilik nama penuh Amanda Michelle Seyfried ini mula muncul sebagai model ketika berusia 11 tahun sebelum dilamar beberapa pengarah untuk muncul dalam drama bersiri arahan mereka ketika usianya mencecah 15 tahun.
Menariknya, demi memantapkan kariernya dalam bidang seni, Seyfried turut mengikuti kelas vokal dan opera bagi memantapkan lagi profilnya.
Bahkan, untuk membuktikan kesungguhannya juga, anak kelahiran Allentown, Pennsylvania, Amerika Syarikat ini sanggup mengurangkan penglibatannya dalam bidang modeling dan fokus kepada lakonan sahaja.
Sehingga hari ini, Seyfried sudah membintangi puluhan drama dan filem seperti Nine Lives (2005) Alpha Dog (2006), Veronica Mars (2004–06). Big Love (2006-11), Mamma Mia (2008), Jennifer’s Body (2009), Chloe (2009), Dear John (2010), Letters to Juliet (2010), Red Riding Hood (2011), In Time (2011), Gone (2012), Les Misérables (2012), Lovelace (2013), A Million Ways to Die in the West (2014) dan Ted 2 (2015).
Mahu jadi Taylor Swift?
Dalam pada itu, Seyfried sebenarnya sangat mengagumi pelantun lagu, Shake It Off, Taylor Swift.
Malah, pelakon filem Pan ini menyuarakan keinginan untuk mendapatkan watak sebagai Swift jika ada yang membikin filem biografi penyanyi ternama itu.
"Saya mahu jadi Taylor Swift...
"Tapi saya rasa, itu tidak mungkin," katanya kepada Contactmusic.
Jelasnya, dia telah mencuba pelbagai jenis watak sepanjang lebih 10 tahun menceburi bidang lakonan.
"Saya sudah mencuba hampir semua watak.
"Tetapi, jika disuruh memilih, saya lebih suka bermain dalam filem biografi," katanya.
Bintangi filem Krismas
Dalam perkembangan lain, Seyfried muncul dalam filem terbarunya, Love The Coopers yang bertemakan kekeluargaan sempena sambutan Hari Natal yang bakal tiba.
Selain Seyfried, filem komedi itu juga dibintangi oleh John Goodman, Diane Keaton, Olivia Wilde, Alan Arkin dan Marisa Tomei.
Menceritakan mengenai filem itu, pengarahnya, Jessie Nelson mengakui masih terpesona dengan filem TV pada Krismas ketika di zaman kanak-kanaknya.
Katanya, apabila tiba musim cuti, dia akan berkumpul dengan keluarganya dan menonton “Its A Wonderful Life” setiap kali berpeluang.
“Saya dapati filem itu begitu indah dan bermakna.
"Saya selalu merasakan ia merupakan satu cerita yang menghubungkan anda dengan rahmat dalam kehidupan," katanya.
Kini, selepas tiga nekad, Nelson mengarahkan filem komedi Love The Coopers iaitu sebuah kisah kekeluargaan dan menampilkan Seyfried sebagai pelakon jemputan.
Menyifatkan Seyfried sebagai seorang yang berbakat, Nelson mengakui Seyfried seorang yang sangat menyenangkan. "Saya bekerjasama dengan dia lagi dan lagi kerana seronok bekerja dengannya.
"Saya sangat memujanya. Dia sangat berbakat. Saya teringin melihat dia berlakon teater.
"Tiada apa yang tidak boleh dilakukannya. Saya rasa kerjayanya mampu pergi lebih jauh selepas ini," katanya.
Love The Coopers mengisahkan empat generasi keluarga Cooper berkumpul untuk makan malam bersempena dengan Hari Krismas.
Pelbagai siri kejadian tidak dijangka dan lucu berlaku sehingga menyebabkan keadaan menjadi huru-hara. Namun di sebalik segala insiden tersebut, hubungan silatulrahim antara keluarga mereka kembali kukuh.
Nantikannya di pawagam mulai 10 Disember ini.
LOVE THE COOPERS
PENGARAH: Jessie Nelson
PELAKON: John Goodman, Diane Keaton, Amanda Seyfried, Olivia Wilde, Alan Arkin, Marisa Tomei
GENRE: Komedi
TARIKH TAYANGAN: 10 DISEMBER 2015
0 Comment to "Amanda Seyfried bimbang karier berakhir"
Post a Comment