PELAKON baharu ini memegang peranan sebagai seorang penakut dalam filem Banglo Berkunci.
Wajah jejaka bernama Fahmy Reza yang tampak macho ini barangkali belum mesra dalam kotak fikiran khalayak.
Masih baharu dan muda, namun penuh bersemangat dalam membina nama sebagai seorang selebriti.
Satu hal yang terlihat jelas pada jejaka berusia 25 tahun ini tatkala menemu bualnya, dia masih naif dalam menjawab soalan.
“Ada yang mengatakan saya sombong tetapi hakikatnya saya seorang pemalu. Bagaimanapun, saya sedar seorang pelakon baharu itu tidak harus malu jika mahu berada dalam industri lakonan.
“Saya akan perbaiki diri bukan setakat dari segi lakonan tetapi juga komunikasi. Bimbang takut tidak dapat kedepankan diri. Saya juga akan cuba membuang perasaan malu itu," luah Fahmy membuka bicaranya selain memohon masa untuk membiasakan diri dalam bidang yang baru menjadi langkahnya itu.
Disebabkan itu, pelakon bertubuh sasa itu lebih senang sekiranya ada pihak yang mengkritiknya. Ia secara tidak langsung dapat menyedarkannya untuk memperbaiki diri. Di samping itu, dia turut menolak pujian kerana katanya, ia mampu melekakan.
“Alhamdulillah, setiap kali bergandingan dengan pelakon senior seperti arwah Pak Yus, Intan Ladyana dan Adiba Yunus mereka sentiasa menegur dan tidak lokek memberi ilmu kepada saya," luahnya anak bongsu kepada enam beradik itu.
Anak kepada ibu tunggal itu juga jelas dengan misinya selepas disunting sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo menerusi Instagram.
“Saya bersyukur kerana berada di bawah pengurusan MIG. Sebabnya, syarikat tersebut turut menyediakan kelas lakonan, penampilan diri dan media," ujarnya yang kini muncul menerusi filem Banglo Berkunci.
Sebelum ini kelibat Fahmy atau nama sebenarnya Sheikh Zulfahmy Reza Sheikh Abdul Ghani ini dapat dilihat menerusi beberapa telemovie yang disiarkan di HyppTV seperti Sebenarnya Omputih Itu Isteri Aku, Jodoh Tak Lari Ke Mana dan Sayang Awak Sangat-Sangat.
Disoal sejauh mana dia serius untuk berada dalam bidang lakonan, Fahmy mahu orang memandangnya sebagai artis yang berbakat bukan sebagai artis kontroversi.
Fahmy juga menyifatkan watak antagonis merupakan platform terbaik untuk menonjolkan diri dalam bidang lakonan.
“Saya rasa tidak ramai pelakon lelaki yang memegang watak antagonis menonjol. Paling menonjol pun Bront Palarae. Disebabkan itu saya minat untuk memegang watak tersebut. Watak yang tidak memerlukan saya berlagak kacak atau macho," katanya yang sebelum ini pernah muncul menerusi watak antagonis dalam telemovie Sebenarnya Omputih Itu Isteri Aku.
Berkongsi mengenai filem Banglo Berkunci yang telah ditayangkan di pawagam pada 26 November lalu itu, kata Fahmy, dia berdepan dengan cabaran untuk menjiwai watak penakut tetapi berlagak cool dalam filem itu.
“Ini merupakan filem pertama saya. Cabaran terbesar saya adalah untuk menjiwai watak dalam filem yang menjalani penggambaran selama 10 hari sahaja," ulasnya.
0 Comment to "Fahmy Reza mahu buang sifat malu"
Post a Comment