MUstafa FUZER (lima dari kiri), Mohamed Juhari Shaarani (lima dari kanan) dan Penyanyi, Jaclyn Victor (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada pasukan OSK pada sidang akhbar konsert Music Of The Night: An Evening of Favourite Musical and Film Themes with National Symphony Orchestra di Istana Budaya baru-baru ini.
BUAT julung kalinya, sebuah konsert orkestra diberi nama Music Of The Night: An Evening of Favourite Musical and Film Themes with National Symphony Orchestra akan diadakan pada 19 Disember 2015 bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.
Menggunakan khidmat Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), konsert berkenaan bakal menggandingkan dua penyanyi ternama, Jaclyn Victor dan Stephen Rahman Hughes.
Mengakui konsep itu sebagai pembaharuan yang cuba dibawa Istana Budaya, Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani turut menganggap penganjuran konsert tersebut juga sebagai jalan untuk memberi kepelbagaian persembahan di pentas berprestij itu.
“Istana Budaya sering dikaitkan dengan persembahan teater, muzikal dan nyanyian berunsur ketimuran. Bukan mahu dilihat terlalu mengangkat karya luar, tetapi tidak dapat dinafikan ia juga mendapat permintaan ramai memandangkan persembahan yang akan diadakan nanti merupakan sesuatu berbentuk universal.
“Bezanya, yang akan menyanyikan lagu-lagu klasik daripada filem-filem terhebat dunia adalah dua penyanyi kebanggaan negara iaitu Jaclyn dan Stephen Rahman. Jadi, saya melihat keseimbangan di situ,” ujar Juhari pada sidang akhbar konsert Music Of The Night: An Evening of Favourite Musical and Film Themes with National Symphony Orchestra di Istana Budaya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Juhari memberitahu pembaharuan yang dilakukan juga akan dibiasakan untuk persembahan yang akan datang. Katanya, persembahan tersebut diadakan bertujuan menarik golongan-golongan urban supaya berkunjung ke Istana Budaya.
Sementara itu, konduktor persembahan tersebut, Mustafa Fuzer Nawi berkata, pemilihan penyanyi dilakukan bersandarkan pada kredibiliti dan kecemerlangan yang yang diraih sebelum ini. Beliau melihat dua unsur tersebut ada pada Jaclyn dan Stephen Rahman.
“Jaclyn mempunyai rekod yang sangat cemerlang sebagai penyanyi. Kemampuan vokalnya tidak dapat dipertikai. Stephen pula memang berkemampuan menyanyikan lagu-lagu klasik Inggeris dengan baik. Tambah lagi, ramai pernah mengaguminya bakat nyanyiannya dalam naskhah Puteri Gunung Ledang The Musical sebelum ini dan menginginkan dia kembali untuk beraksi di Istana Budaya,” katanya.
Dalam pada itu, Jaclyn yang ditemui memberitahu, dia tidak sabar untuk beraksi menyanyikan lagu-lagu kegemarannya di samping Stephen Rahman.
“Secara jujur, bukan senang untuk menyanyikan lagu-lagu klasik, terutama dengan iringan orkestra. Ia sangat teknikal dan saya perlu berhati-hati dengan setiap not yang dilontarkan agar tidak nampak keterlaluan.
“Bagaimanapun, saya sangat teruja untuk berada di pentas Istana Budaya selepas agak lama memperlahankan rentak sebagai penyanyi kerana melahirkan anak sulung, Jonah Joshiah Rivera.
“Bekerja dengan Stephen Rahman juga bukan sesuatu yang baharu buat saya. Saya pernah berduet dengannya dalam sebuah persembahan,” ujarnya.
Menjelang konsert tersebut, penonton akan menikmati sebuah persembahan dengan susunan lagu tema filem dan teater muzikal popular tempatan serta antarabangsa gubahan OSK di samping bakat pemuzik muda daripada Permata Seni Muzik (PSM).
Antara lagu yang akan dipersembahkan termasuklah lagu tema daripada filem Star Wars, Harry Porter, Pirates of the Caribbean, Puteri Gunung Ledang The Mucical dan banyak lagi.
0 Comment to "Gema orkestra paduan Jaclyn, Stephen Rahman"
Post a Comment