Rahayudean pernah bergelar juara program Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 2000.
Penyanyi baharu Rahayudean tidak pernah menyesal menolak tawaran daripada sebuah syarikat rakaman 15 tahun lalu selepas menjuarai pertandingan program Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 2000.
Rahayudean atau nama sebenarnya Rahayudean Rahmat, 32, berkata, biarpun impiannya untuk bergelar penyanyi malap selepas itu namun dia menganggap ia bukan rezekinya sehingga bertemu dengan komposer Julfekar beberapa tahun lalu.
"Semasa dinobatkan sebagai pemenang program berkenaan saya dalam dilema kerana peperiksaan SPM sudah dekat dan apabila mendapat tawaran merakamkan album saya diminta untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan pembikinan album.
"Ketika itu saya tolak peluang berkenaan dan memilih untuk memberi fokus kepada SPM dan tidak pernah menyesal dengan keputusan tersebut biarpun impian untuk bergelar penyanyi selepas itu malap," katanya kepada mStar Online.
Rahayudean ditemui pada majlis pelancaran album pertamanya berjudul Rahayudean di Auditorium Mini Matic di sini, Khamis.
Album yang memuatkan tujuh buah lagu itu diterbitkan oleh syarikat milik Julfekar iaitu Millenium Art Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Rahayudean berkata, Julfekar banyak memberi semangat dan dorongan kepadanya untuk meneruskan impiannya bergelar penyanyi walaupun pada satu tahap dia ingin melupakan hasrat tersebut.
Rahayudean tampil dengan album pertamanya.
"Tiada siapa percayakan bakat saya membuatkan saya kecewa tetapi Julfekar satu-satunya insan yang nampak kebolehan dan potensi saya.
"Julfekar satu-satunya yang percayakan saya dan kemunculan album ini adalah daripada dorongannya untuk melihat saya berjaya," ujarnya.
Sementara itu, Rahayudean berkata, dia tidak melihat faktor usia sebagai penghalang untuknya berjaya sebagai penyanyi.
Malah dia tidak kisah perlu bermula daripada bawah membina namanya dalam industri muzik selain yakin peminat dapat menerima dirinya.
Bercakap mengenai album berkenaan, Rahayudean berkata, beberapa lagu dalam album berkenaan pernah dilancarkan sebagai single dan menjadi lagu tema untuk drama bersiri.
Dari situ katanya, peminat mula meminati lagu nyanyiannya dan ia strategi pihak syarikat rakaman sebelum melancarkan albumnya.
"Album ini ambil masa agak lama juga hendak disiapkan kerana strategi pihak syarikat rakaman adalah untuk melancarkan lagu terlebih dahulu menggunakan platform radio dan dijadikan lagu tema drama bersiri.
"Alhamdulillah mungkin masih ramai tidak mengenali saya tetapi lagu saya mula dikenali peminat," katanya.
0 Comment to "Penyanyi Baharu, Rahayudean Tidak Kesal Tolak Tawaran Selepas SPM"
Post a Comment