Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air, menerima lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, menyampaikan pengesahan tersebut kepada Pengarah Urusan baharu syarikat itu, Jaafar Zamhari, di Kementerian Pengangkutan di sini pada Jumaat.
Jaafar berkata Rayani Air yang akan melancarkan penerbangan sulungnya pada Ahad, dari Langkawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menawarkan kelas ekonomi dan perniagaan.
"Bersandarkan lapan juruterbang dan 50 krew penerbangan, syarikat kini menerima tempatan untuk laluan kedua, Langkawi-Kota Bharu," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata bagi fasa pertama, syarikat penerbangan itu akan menggunakan dua pesawat lama Boeing 737-400 bagi laluan Kota Bharu, Kuching, Langkawi dan Kota Kinabalu.
"Fasa berikutnya kemudian akan menggunakan pesawat baharu, Boeing 737-800,dan akan menawarkan lebih banyak laluan domestik, serantau dan antarabangsa," katanya.
Jaafar berkata Rayani Air, yang mahu menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka sebagai hab penerbangannya, telah memilih Langkawi bagi tujuan itu dalam usahanya menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan tersebut.
"Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka kekurangan kapasiti untuk kami menempatkan pesawat Boeing 737-400 kami," katanya dengan menambah, maklum balas pasaran terhadap Rayani Air adalah rendah memandangkan orang ramai telah menempah tiket mereka dengan syarikat penerbangan lain.
Tanpa memperincikan pelaburan atau pelan pengembangan syarikat itu, Jaafar berkata Rayani Air akan menggunakan pesawat Boeing 777 untuk memenuhi keperluan mereka yang mahu mengerjakan ibadah haji dan umrah.
Sementara itu, Azharuddin mengingatkan Rayani Air supaya mematuhi peraturan dan undang-unhdang yang ditetapkan di bawah lesen perkhidmatan udara dan sijil perkhidmatan udara serta sentiasa meletakkan keutamaan keselamatan penumpang dan pesawat.
"DCA juga akan terus melaksanakan pemeriksaan, audit dan pemantauan Rayani Air dan syarikat penerbangan lain," katanya.
Selain Rayani Air, Malaysia Airlines, Air Asia, Firefly dan Malindo Air turut mempunyai operasi penerbangan ke Langkawi.
0 Comment to "Rayani Air Sedia Untuk Terbang"
Post a Comment