WATAK - Rita kini menolak watak yang memberi persepsi negatif kepada anaknya. Dia juga hanya menerima tawaran lakonan yang dilakukan sekitar Kuala Lumpur kerana tiada pembantu rumah.
BERTEMU dengan aktres sensasi, Rita Rudaini dalam sesi fotografi baru-baru ini banyak hal yang dibicarakan. Ia berlingkar kisah kerjaya, anak-anak, masalah rumah tangganya bersama bekas suami, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak sehingga cerita hatinya, semua diluahkan tanpa ditapis-tapis.
Mengenali Rita, dia seorang yang jujur dalam berkata-kata. Tidak hipokrit. Apa sahaja soalan yang ditanya pihak media, pasti dijawabnya dengan telus. Namun, kejujurannya itu kadang-kala memakan diri apabila khalayak melihatnya terlalu lantang. Terutamanya apabila menyentuh isu sensitif berkaitan dengan masalah rumah tangganya yang dilihat ibarat telenovela tiada penghujung.
Kata Rita, dia bukan sengaja mencari publisiti. Bukan sengaja membuka pekung rumah tangga yang semahunya disimpan rapi. Dia juga tidak mahu dituduh wanita bermulut jahat gara-gara kelantangannya dalam berkata-kata. Namun, itulah realiti yang harus ditelan setiap hari apabila perjuangannya menegakkan keadilan bagi pihak anak-anak dan dirinya masih belum bertitik noktah.
“Sebelum ini saya lebih banyak berdiam diri dan menangis. Namun, selepas pelbagai perkara berlaku dalam rumah tangga dan kehidupan, saya menjadi lebih berani untuk bercakap perkara yang benar. Saya tidak mahu menjadi hipokrit untuk ‘berlakon’ semuanya okey ketika ditemu bual pihak media, sedangkan tengah sakit hati.
“Tidak kisahlah jika orang tidak suka atau melabel saya wanita mulut jahat. Sebabnya saya cakap benda yang benar-benar berlaku dalam kehidupan sendiri. Saya tidak pernah kacau atau maki orang lain. Sebelum ini saya sembunyi kahwin, orang keji juga. Jadi, lebih baik saya pilih berkata apa yang betul dan tidak hipokrit,” ujar Rita.
Walaupun sedar setiap kali pemilik nama sebenar Rita Rudaini Mokhtar, 39, mengeluarkan kenyataan berkenaan isu rumah tangganya, dia pasti dihentam dan dikeji segelintir pihak. Namun perkara itu tidak menjadi kudis dalam hidupnya. Dia menerima hakikat bahawa kisah peribadi lebih mahal harganya di dada akhbar berbanding kerjaya seni memandangkan kes rumah tangganya masih belum berakhir.
“Ada orang minta saya berhenti bercakap dengan pihak media. Masalahnya orang di luar sana tidak faham, bukan saya yang mencari media, tetapi sebaliknya. Kerja saya sebagai pelakon sering bertemu dengan pihak media. Apabila disoal saya akan beri kerjasama. Saya terima hakikat kisah peribadi lebih banyak diperkatakan kerana realitinya kes rumah tangga masih belum berkesudahan,” tutur wanita kelahiran Kangar, Perlis itu.
Mahkamah
Beralih bicara tentang mahkamah yang dilihat cukup sinonim dengan Rita, dia ketawa kecil. Akuinya, sejak lima tahun lalu, kehidupannya tidak boleh berpisah dengan mahkamah. Bukan kehendaknya untuk turun naik mahkamah yang sebenarnya cukup meletihkan emosi dan mental, tetapi ibu kepada dua orang anak, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, itulah yang terpaksa diharungi demi keadilan diri dan anak-anak.
Sepanjang tempoh itu, masih berderet kes menunggu untuk dibicarakan iaitu nafkah tertunggak, nafkah edah dan hak penjagaan anak. Cuma yang telah selesai adalah kes nafkah dua anaknya dan bayaran mutaah (saguhati selepas perceraian) apabila Aidil diarah mahkamah untuk membayar RM30,000 kepada Rita pada Oktober lalu. Dia juga tidak tahu, sampai bilakah kes mahkamahnya akan berakhir meskipun telah disahkan bercerai talak satu pada 5 September 2013.
Perjuangan demi anak
Mengimbas kembali kali pertama menjejakkan kaki ke mahkamah kerana masalah rumah tangga, bintang filem Mami Jarum itu mengakui, diselubungi perasaan malu dan takut yang menebal. Bagaimanapun kini, mahkamah ibarat rumah keduanya.
“Dahulu memang rasa malu bila pergi mahkamah. Rasa malu dan takut sangat sampai tidak boleh tidur malam. Ingat lagi masa itu dengan perut besar mengandung anak kedua, jalan pun tunduk, tidak tengok orang. Lama-kelamaan, hadir ke mahkamah menjadi kebiasaan dan perkara normal buat saya. Rasa malu sudah hilang selepas melihat banyak lagi kes yang lebih teruk daripada saya.
“Ironi, daripada tidak tahu apa-apa sekarang saya kutip banyak ilmu tentang kes cerai-berai (ketawa). Saya banyak bertanya kepada peguam, secara tidak langsung ada sedikit ilmu dan keyakinan apabila disoal pihak media. Soal bayaran mutaah, walaupun mahkamah mengesahkan saya layak menerima wang tersebut, tidak kisahlah bekas suami mahu bayar atau tidak. Apa yang penting perjuangan saya selesai. Selebihnya urusan dia dengan Allah,” katanya.
Luah Rita lagi, dia tidak pernah letih untuk ke mahkamah kerana perjuangan itu secara tidak langsung telah membuka mata wanita lain yang selama ini tidak tahu arah tuju selepas bercerai.
“Saya terkejut juga kerana perjuangan saya memberi inspirasi kepada wanita lain. Sejak kes dibicarakan, saya menerima banyak mesej daripada ramai wanita yang meluahkan masalah dan meminta nasihat. Apa yang boleh saya lakukan hanya beri nasihat sehabis baik, selebihnya meminta mereka ke mahkamah,” ujar Rita.
Sungguhpun telah berpisah dengan bekas suami, Rita tidak pernah menghalang hubungan anak bersama bapa mereka. Katanya, walau apa yang berlaku antaranya dengan Aidil, lelaki itu tetap bapa kepada anak-anaknya. Sampai mati pun jelas Rita, dia tidak pernah menafikan perkara tersebut.
Adakalanya, apabila membuka kaca televisyen dan terlihat kelibat Aidil dalam perlawanan bola sepak, Rita tetap menunjukkan kepada anak-anak, itulah bapa mereka.
Jelasnya lagi, sebelum ini, hubungan anaknya dan Aidil terjalin menerusi panggilan telefon atau panggilan video. Namun, hubungan tersebut terputus sejak Aidil berkahwin baharu.
“Memang ada usaha untuk rapatkan hubungan Aidil dan anak-anak terutama yang bongsu langsung tidak kenal siapa bapanya. Sebelum dia berkahwin baharu, ada juga datang jenguk anak-anak. Namun, sudah lama dia tidak jenguk anak atau hubungi menerusi telefon. Saya lakukan apa yang termampu sahajalah, jika dia yang tidak mahu, tidak apalah,” tuturnya.
Disoal tidak bimbangkan Rita apabila anak-anaknya yang semakin membesar akan mula bertanya pelbagai soalan tentang bapa mereka kelak? Katanya, bagi memudahkan anaknya memahami apa yang berlaku, dia menyimpan semua keratan akhbar berhubung kes rumah tangganya.
Sambung Rita, walaupun hubungannya dengan Aidil dingin, namun sebagai ibu, dia tidak pernah mengajar anaknya membenci bapa mereka sendiri.
“Saya juga datang daripada keluarga yang berpecah-belah. Bapa saya lari meninggalkan ibu ketika abang berusia tiga tahun dan saya berusia dua tahun. Seingat saya, ibu tidak pernah kami ajar bencikan bapa. Selepas lima tahun barulah ibu saya berkahwin baharu dan dapat seorang adik tiri selepas bertemu dengan bapa tiri yang cukup sayangkan kami adik-beradik.
“Jadi pengalaman dan rasa ditinggalkan bapa telah saya lalui. Saya tahu apa yang anak-anak rasa. Sebab itu jika boleh, saya tidak mahu mereka rasa kekurangan dalam hidup. Jika boleh, mahu beri semua yang terbaik daripada segi pendidikan dan kehidupan. Biarlah saya bekerja teruk, asalkan masa depan anak terjamin,” katanya yang kini berhubung dengan Aidil hanya menerusi peguamnya.
Apabila ditebak soalan bilakah mahu menamatkan zaman janda memandangkan sudah lima tahun hidup sendirian, terus Rita menggelengkan kepala. Itu menandakan hatinya kini tawar kepada mana-mana lelaki. Fokusnya hanya untuk membesarkan anak-anak.
Namun, sebagai manusia biasa siapalah Rita mahu menolak takdir Allah andai sudah tertulis dia bakal bertemu jodoh pada masa depan.
“Kahwin lagi, tidak mahulah. Berkawan dengan lelaki pun tidak mahu sebab saya gembira dan selesa dengan kehidupan sekarang. Mungkin jika sesetengah wanita rasa kehilangan atau kosong jika tanpa lelaki di sisi, tetapi tidak untuk saya. Bagaimanapun, saya tidak tahu andai pada masa depan Allah bukakan pintu hati untuk berkahwin. Cuma sekarang memang saya tiada siapa-siapa kecuali anak dan keluarga,” akui Rita jujur.
Bisnes
Bercakap tentang karier seni, Rita memberitahu, dia sengaja berehat dan menolak semua tawaran lakonan sepanjang November dan Disember kerana ingin menghabiskan masa bersama anak-anak yang kebetulan sedang bercuti sekolah.
Bermula Januari tahun depan barulah Rita akan bekerja kembali seperti biasa. Walaupun ada tawaran yang datang, Rita sanggup berkorban demi masa berharga dengan dua puteranya.
“Bukan selalu anak-anak cuti sekolah. Inilah masanya untuk saya merancang bercuti ke mana-mana dengan mereka. Memang sayang sebab ada tawaran yang datang, tetapi saya terpaksa pejam mata tolak semua kerja,” katanya.
Berbicara tentang sejauh mana dunia seni membawa Rita sepanjang 17 tahun bergelar pelakon, dia terdiam seketika, barangkali memikirkan jawapan tepat. Selepas beberapa minit, Rita menjelaskan, dunia seni merupakan bidangnya mencari rezeki semata-mata.
“Saya masuk dunia seni untuk cari rezeki bukannya untuk glamor. Sebab itu saya jarang menghadiri acara hiburan jika tidak terlibat secara langsung,” jawabnya.
Sungguhpun berusaha keras, masih ada orang yang mempersoalkan kehidupannya yang terlihat mewah sedangkan dia hanya pelakon. Menjawab persoalan itu, tegas Rita, sudah hampir dua tahun dia menjalankan perniagaan dengan keluarganya.
Wang yang diperoleh hasil perniagaan digunakan untuk simpanan anak-anak dan percutian bersama keluarga.
“Saya bukan orang kaya, jadi kenalah berusaha keras. Jika hendak harapkan duit lakonan memang tidak cukup. Saya juga berfikir sampai bila mahu berlakon, suatu hari nanti akan tua dan kudrat tidak sama seperti hari ini.
“Oleh itu, dua tahun lepas saya memulakan perniagaan berasaskan kecantikan. Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan. Bukan itu sahaja, pada bulan ini (Disember) saya mengembangkan perniagaan dengan melancarkan wangian sendiri iaitu Adorable by Rita Rudaini serta membuka sebuah kafe kuih tradisional. Saya tidak idam hidup kaya raya, tetapi cukuplah dapat hidup selesa. Jika saya tidak tolong diri sendiri, tiada siapa mahu tolong saya,” katanya mengakhiri bicara.
0 Comment to "Suara jujur Rita Rudaini"
Post a Comment