KALENDAR tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya lebih kurang dua minggu lagi. Menyingkap imbasan sepanjang tahun ini, nama dua aktor kacak, Zul Ariffin dan Shukri Yahaya antara yang paling hangat mencuri tumpuan peminat dengan deretan drama cinta dan karakter si lelaki romantik yang mencairkan hati setiap wanita.
Namun, jika diamati dalam-dalam, karier Zul dan Shukri hanya bermula gah selepas beberapa tahun berkelana mencari hala tuju dalam industri.
Baik Zul mahupun Shukri, biarpun harus ditempuh perjalanan panjang sebelum mencipta populariti, namun pada ketika ini, mereka antara wajah pelaris yang menjadi buruan penerbit drama.
Tahun cemerlang Zul Ariffin
Lelaki bertubuh sasa, Zul Ariffin antara nama yang boleh dianggap paling laris dan menjadi sebutan peminat, baik daripada segi drama lakonan mahupun kontroversi percintaan dengan beberapa selebriti wanita popular.
Sejak namanya dijenamakan semula menerusi drama hit Rindu Awak 200%, deretan tawaran datang bergolek kepadanya hingga tidak menang tangan memilih projek terbaik.
Menjalani rentak karier yang berjalan lancar dan tenang sepanjang tahun ini, lelaki berusia 30 tahun itu mengakui, segalanya berlaku atas nama rezeki dan kesan daripada kesabarannya bertahan selama enam tahun sebelum ini.
“Kalau diikutkan sepanjang tahun 2015, saya tidak banyak buat projek drama bersiri melainkan drama M.A.I.D dan Rindu Awak 200% Raya, tetapi peminat tetap ingat nama saya. Jadi, rasanya itu adalah penangan daripada beberapa produk terdahulu seperti drama Rindu Awak 200% yang benar-benar menaikkan nama saya dalam industri.
“Secara keseluruhan, saya boleh katakan 2015 sudah beri saya macam-macam perkara. Daripada bukan sesiapa kepada pelakon yang dikenali, dilantik sebagai duta produk dan tentu sekali pencapaian daripada segi anugerah. Tahun inilah yang beri saya peluang untuk merasa perkara sebegitu buat pertama kalinya,” ujar Pelakon Lelaki Pilihan menerusi Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL2015) itu gembira.
Harapan baharu
Setahun berlalu, Zul menyedari kehendak hatinya masih belum cukup puas untuk terus menggali lebih banyak pencapaian. Tidak mahu terus berdiri atas zon yang sama, Zul mula menghidu bahawa 2016 akan menjadi tahun yang meluaskan dunianya dalam pelbagai segi.
Mengharapkan kedatangan 2016 akan lebih memberi sinar buatnya, pelakon filem Bikers Kental itu sudah pun ‘ditempah’ untuk membintangi sebuah filem aksi. Tawaran tersebut, sekali gus melengkapkan impian Zul untuk lari daripada terus dikongkong watak si lelaki romantik.
Berkongsi jadual tahun hadapan, Zul bakal menerajui sebuah filem aksi sekali gus ia memenuhi senarai impiannya untuk mencuba kelainan dalam karakter.
“Jujur, saya sangat teruja untuk berlakon dalam filem tersebut sebab sudah lama saya tunggu peluang sebegitu datang.
“Saya bina badan pun sebenarnya memang untuk mencipta peluang diberi watak dalam filem aksi. Apa guna berbadan sado kalau asyik jadi lelaki romantik,” selorohnya diselangi ledakan tawa ceria.
Terlalu banyak perancangan awal difikirkan demi menjemput mesra kedatangan 2016. Kongsi Zul lagi, selain mahu lebih fokus kepada karier, dia bakal menceburkan diri dalam cabang baharu iaitu perniagaan, namun semuanya masih dalam peringkat awal.
“Sebelum ini, saya langsung tidak terfikir untuk melaburkan wang dalam bentuk bisnes. Saya rasa agak rugi kalau tidak gunakan kesempatan masa dan tenaga yang ada untuk buat lebih banyak perkara.
“Percubaan saya dalam bisnes bukan untuk kejar duit atau ikut trend artis berniaga, tetapi mahukan kepuasan dengan mencuba bermacam perkara. Walaupun begitu, dunia lakonan tetap nombor satu dan saya tidak akan tinggalkan industri ini begitu sahaja,” tuturnya.
Rezeki
Beralih kepada Shukri lebih banyak mendengar kala Zul berbicara, lelaki berwajah manis itu menyifatkan perjalanan seninya sepanjang 2015 ibarat melangkah di atas titian rezeki yang tidak pernah putus.
Pelakon yang dicungkil bakatnya oleh pengarah Osman Ali menerusi filem Jiwa Taiko itu mengakui, tahun ketiganya dalam industri hiburan telah menandakan satu perubahan yang besar terutama dalam perkembangan karier sebagai pelakon.
“Agak sukar untuk menempa nama sebagai seorang pelakon pada awal pembabitan saya dalam bidang seni.
“Lama-kelamaan khalayak mula menyedari kehadiran saya dan menyukai hasil kerja yang terdahulu. Rezeki saya semakin murah apabila nama kian dikenali,” tutur Shukri memulakan bicara.
Biarpun mula meninggalkan impak sebagai pelakon ‘penyendal’ dalam sebuah filem berskala besar, nama Shukri sebagai pelaku seni kurang mencuri perhatian.
Buktinya, sekitar dua tahun lalu, lakonan mantap anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu dalam membawakan watak Firhad menerusi drama bersiri Menjerat Ombak seperti dipandang sepi penggemar drama bersiri tempatan.
Kembali menggoda peminat dengan lakonan romantis di kaca televisyen, Shukri kini muncul dengan drama bersiri Cik Cinderella & Encik Tengku.
Begitu juga menerusi drama bersiri Jika Itu Takdirku dan Plan B, kelibat Shukri sebagai pelakon masih tidak dihiraukan.
Sehinggalah pada awal tahun ini, pelakon berusia 27 tahun itu mencuri perhatian khalayak menerusi drama rantaian romantik komedi berjudul Asam Pedas Untuk Dia.
Selepas disapa tuah menerusi drama arahan Feroz Kader tersebut, namanya sekali lagi menjadi bualan ramai apabila drama adaptasi novel, Dia Isteri Luar Biasa mencetuskan fenomena sekitar Mei lalu.
Menggalas peranan sebagai Raden Amzar, sekali lagi, Shukri diberi kepercayaan untuk menjayakan karakter lelaki romantik.
Mengakui watak tersebut dilihat semakin sebati dengan namanya, Shukri berkata, dia enggan terus dikenali sebagai pelakon sedemikian dan cuba lari daripada bayangan stereotaip.
“Justeru, saya berharap agar diberi peluang membawakan karakter lebih berat pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Bergurukan lapangan seni sejak mula menjinakkan diri ke lokasi penggambaran, Shukri menambah, dia memerlukan naskhah dan watak yang lebih berat supaya mutu lakonannya dapat diperbaiki.
“Sejak dahulu lagi, saya pastikan ada naskhah berat yang akan saya jayakan. Untuk tahun 2016 juga tidak terkecuali.
“Saya akui, watak dan naskhah komersial perlu kerana itu punca rezeki. Namun, penjiwaan yang lebih besar dapat ditonjolkan jika membawakan karakter yang lebih berat. Daripada situ juga, saya akan terus belajar dan memperbaiki diri,” tutupnya.
Bukan diva
Sejak nama Shukri mula menggelegak, cakap-cakap nakal mengenai perangai pelakon itu kian kedengaran.
Aktor yang pernah membintangi filem Ular itu dikatakan sukar menjawab panggilan telefon dan memberikan kerjasama dengan media.
Menafikan sudah pandai berlagak diva dan sengaja tidak menjawab panggilan wartawan, Shukri berkata, perkara tersebut mungkin berlaku akibat jadual kerjaya yang ketat dan kadangkala terlalu sibuk ketika berada di lokasi penggambaran.
“Saya masih seperti dahulu, tiada apa yang berubah. Saya mungkin tidak berkesempatan untuk menjawab panggilan telefon atau menjawab mesej WhatsApp kerana sibuk dengan penggambaran.
“Bagi mengelakkan salah faham dan kecelaruan, saya kini diuruskan abang sendiri. Jadi, setiap perkara yang ada kaitan dengan kerja dapat diuruskan dengan mudah,” katanya yang bakal muncul dengan drama berjudul Surat Untuk Isteriku bersama pelakon Sari Yanti.
0 Comment to "Tuah, rezeki Zul Ariffin, Shukri Yahaya"
Post a Comment