Tuesday, 9 February 2016

5 simbolik penyatuan Akim, Stacy


AKIM dan Stacy selamat bernikah selepas tiga tahun menjalin hubungan cinta.

DETIK 10.15 pagi, tanggal 5 Februari lalu menjadi saksi penyatuan dua hati dari dua jiwa yang terbina atas nama cinta.

Memilih Hotel Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah sebagai lokasi pernikahan, Akim dan Stacy merealisasikan impian mereka untuk menjadi suami isteri yang sah.

Pernikahan pasangan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia itu termeterai sebaik Akim atau nama penuhnya, Afiq Hakim Ahmad, 25, melafazkan akad nikah di hadapan Jurunikah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Matlee Dimin.

Sesempurna Jumaat yang indah lagi penuh barakah, majlis pernikahan penuh sederhana yang dihadiri keluarga terdekat tersebut berakhir dengan doa kesyukuran dan ucapan kegembiraan.

Pada majlis tersebut, Akim segak berbaju Melayu teluk belanga rona putih manakala Ummu Syaikhah Stacy, 26, atau Stacy anggun mengenakan tudung dan busana putih mutiara hasil rekaan Raffiey Nasir.

Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 berserta tujuh dulang hantaran, manakala pengantin perempuan turut menyerahkan tujuh dulang hantaran.

Mendasari hati lelaki yang baru diangkat darjat bergelar suami, penyanyi kelahiran Johor itu secara terbuka mengakui, cukup gemuruh terutama ketika berjabat tangan dengan jurunikah.

“Sebaik melihat Stacy melangkah masuk ke bilik ini, perasaan gemuruh itu mula timbul. Inilah kali kedua saya melihat dia bertudung dan ternyata saya cukup terpegun.

“Seharusnya saya melahirkan rasa syukur dan gembira kerana percintaan yang terjalin antara kami berdua berakhir dengan ikatan perkahwinan,” kata Akim.

Bagi pelantun lagu Mewangi dan Potret itu, saat melepasi langkah pertama masuk gerbang rumah tangga, dia mula sedar tentang tanggungjawab besar yang bakal dipikulnya selepas ini.

Diajak bercerita tentang perancangan awal meraikan romantisnya fasa penuh bahagia yang sedang ingin ditakluki, pasangan popular tersebut enggan terlalu ghairah untuk berbulan madu. Sebaliknya, Akim dan Stacy memilih untuk menyelesaikan semua perkara termasuk yang berkaitan dengan kerjaya mereka terlebih dahulu.

“Kalau boleh biarlah kami selesaikan dahulu semua kerja yang ada. Selepas ini saya mahu fokus kepada program Mentor Milenia dan begitu juga dengan Stacy yang mempunyai komitmen lain.

“Namun, jika diberikan ruang dan rezeki, kami memang merancang untuk berbulan madu.



BERNIKAH dengan Akim, melengkapkan hidup Stacy sebagai seorang wanita Muslim.

“Impian kami sudah pasti untuk mengembara ke seluruh Eropah. Kami mahu menikmati setiap saat bersama-sama dalam keadaan yang lebih santai,” tambahnya.

Adat bertemu orang baru berumah tangga, perihal cahaya mata tidak dilupa. Stacy ternyata lebih terbuka dan menyerahkan urusan zuriat ke tangan Tuhan.

Penyanyi Not For Sale itu mengakui, sudah menjadi impian setiap pasangan untuk mempunyai anak, begitu juga dengan mereka.

“Kami sudah mempunyai Bella Valentina sebagai pengikat kasih buat kami berdua. Soal lain, kami serahkan kepada Tuhan.

“Lagipun masih banyak yang perlu saya pelajari tentang Islam dan saya berharap Akim dapat membimbing saya ke arah tersebut,” jelasnya.

Memasuki soal karier, pasangan tersebut tidak menolak kemungkinan untuk berduet jika tiba yang sesuai. Namun, Akim sebenarnya lebih senang melihat isterinya bergerak dalam lingkungan keselesaan sendiri, manakala dia memilih untuk meladeni karier sebagaimana yang dilalui kini.

“Mungkin kalau ada projek yang memerlukan kami berduet, kami akan berduet dan ia tidak menjadi masalah.

“Apa yang penting kami dapat teruskan karier dan masih boleh diterima dalam industri,” ujarnya.

Ternyata, pemilihan 5 Februari sebagai tarikh yang abadi terakam sebagai detik bersejarah dalam hidup Akim dan Stacy mewakili maksud kepada penyatuan kepada hubungan suci mereka buat selama-lamanya.

“Tarikh 5 haribulan adalah tarikh perkahwinan kami sebenarnya membawa erti sendiri. Jumaat pula merupakan penghulu segala hari. Dalam solat juga kita mempunyai lima waktu dan begitu juga cincin yang dipakai Stacy mempunyai lima batu permata.

“Nombor lima berkait rapat dengan banyak benda dalam kehidupan dan saya harap perkara ini menjadi simbolik kepada keutuhan rumah tangga kami,” jelas Akim.

Selepas majlis pernikahan di Sabah, pasangan berkenaan akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi sebelah lelaki yang akan berlangsung di Johor Bahru pada 26 Februari nanti.

- 5 simbolik penyatuan Akim, Stacy

SHARING GOOD

0 Comment to "5 simbolik penyatuan Akim, Stacy"

Post a Comment