Monday, 8 February 2016

Elizabeth Tan: Kisah tarian singa dan tomato merah


MENYEBUT sepotong nama Elizabeth Tan, tergambar secara visual penyanyi cantik yang pertama kali menarik perhatian masyarakat Malaysia dengan cara dia menyanyikan lagu Knock Knock. Seraut wajah manis dengan kemahiran bermain gitar membuat wanita yang senang digelar Lizzy itu dikenali. Pantas namanya menjadi ‘wangi’ dalam lapangan nyanyian, sementelah mendendangkan lagu Melayu yang begitu dekat dengan masyarakat.

Meletakkan ke belakang kisah kariernya, hari itu Lizzy memenuhi undangan Kosmo! untuk sesi pemotretan khas sempena sambutan Tahun Baru Cina yang disambut pada hari ini. Wajah polosnya dioles dengan gincu merah menyala, menyerlahkan kejelitaannya sebagai wanita Cina yang memiliki hidung tinggi dan sepasang mata sepet. Ceongsam moden yang disarung molek pada tubuhnya melengkapkan penampilan ‘hari raya’ anak seni berusia 23 tahun ini.

Biarpun menganut fahaman Kristian dan membesar dalam keluarga serba moden, namun amalan menziarahi sanak saudara dan makan besar bersama pada malam sebelum Tahun Baru Cina masih menjadi ritual wajib Lizzy saban tahun.

Mempunyai keluarga besar daripada kedua-dua belah ibu dan bapa menambahkan lagi keterujaan tatkala musim perayaan itu tiba. Mana tidaknya, sambutan Tahun Baru Cina memberi peluang kepada Lizzy berkumpul bersama seluruh ahli keluarga.

Malah, mereka turut menambah aktiviti ‘wajib’ pada setiap kali sambutan Tahun Baru Cina iaitu bermain boling dan menonton wayang bersama-sama. Menariknya, aktiviti itu akan dimeriahkan oleh kira-kira 30 orang saudara-maranya.

“Saya mempunyai keluarga yang sangat besar. Ayah sahaja mempunyai 12 adik-beradik, manakala ibu ada sembilan adik-beradik. Apabila berkumpul setelah lama tidak berjumpa, pasti pelbagai cerita akan dikongsi bersama,” ujar Lizzy teruja.

Tambahnya, disebabkan mempunyai keluarga besar, mereka menyediakan jadual rumah saudara untuk dikunjungi sepanjang tempoh 12 hari perayaan berlangsung. Untuk acara makan besar pula, seperti kebiasaan mereka akan berkumpul di rumah bapa saudara Lizzy.


Jika mengikut kalendar Cina, Lizzy lahir pada Tahun Ayam. Bagaimanapun, tahun ini masyarakat Cina meraikan Tahun Monyet.

Kongsi Lizzy, ‘kampungnya’ hanya berada di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.


Baju raya

Ditanya mengenai persiapannya untuk perayaan kali ini, wanita itu hanya ketawa. Katanya, disebabkan terlalu sibuk, dia cuma sempat membuat persiapan pada saat akhir.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya membuat persiapan awal dengan membeli empat hingga lima pasang baju. Namun, pada tahun ini saya sangat sibuk, dan hanya sempat berbuat demikian beberapa hari sebelum raya,” katanya yang masih memilih untuk menyarung ceongsam pada hari pertama perayaan itu.

Membongkar rahsia diri, Lizzy berkata, lazimnya masyarakat Cina akan memakai pakaian berwarna merah kerana dikatakan akan membawa tuah. Namun, berlainan baginya yang tidak menggemari pakaian berwarna merah.

“Saya berasa diri kelihatan seperti buah tomato. Tambahan pula, merah akan membuatkan warna kulit saya menjadi sedikit gelap.

“Tetapi, ini tidak bermakna saya langsung tidak boleh memakai baju merah. Saya akan memakainya sekali sahaja dan kemudian berikan baju itu kepada kakak saya,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini.

Cerita Lizzy lagi, dia turut berasa takut dengan tarian singa.

“Memang dari kecil saya akan berasa takut setiap kali tarian singa diadakan. Mungkin kerana matanya yang besar membuatkan saya menjadi fobia dengan tarian itu. Setiap kali tiba giliran tarian singa di rumah saudara, saya pasti akan berkurung di dalam bilik dan menunggu sehingga persembahan itu tamat.

“Pernah juga ketika saya membuat persembahan di Astro, tiba-tiba muncul tarian singa di situ. Disebabkan terlalu takut, saya terus menangis menyebabkan orang ramai yang berada di situ terkejut dan bertanyakan kenapa saya menangis,” ujarnya.

Menurutnya lagi, terdapat banyak kenangan semasa sambutan Tahun Baru Cina yang tidak boleh dilupakan. Dia pernah menerima angpau dengan jumlah terkumpul lebih RM1,000 hanya dalam masa beberapa hari. Katanya lagi, dia juga tidak sabar untuk bermain mercun dan tanglung.

Pengalaman AJL

Berbicara tentang kerjaya seninya yang kini memasuki tahun ketiga, sebagai penyanyi yang masih baharu, dia bertuah kerana dapat menjejakkan kaki untuk beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini.


Menyifatkan kritikan sebagai pemangkin untuk memperbaiki diri, Lizzy bagaimanapun hanya akan mengambil kira kritikan yang berasaskan fakta dan tidak melayan kritikan kosong.

Mempertaruhkan single pertamanya, Knock Knock, Lizzy bagaimanapun kecundang dalam pertandingan penuh prestij itu. Bagaikan ‘peluru berpandu buatnya’, selain vokal, persembahan pada malam tersebut dikritik teruk oleh peminat.

Tanpa berselindung, dia memberitahu tidak sempat mengikuti kelas vokal sebagai persediaan sebelum pertandingan.

“Saya mengaku tidak mengambil kelas vokal sebagai persediaan untuk bertanding di pentas AJL seperti mana semua peserta lain lakukan. Kali terakhir saya mengikuti kelas vokal adalah dua tahun lepas.

“Bukan kerana yakin dengan vokal sendiri, tetapi saya memang tiada masa untuk pergi ke kelas tersebut. Bagaimanapun, saya sudah memberikan persembahan yang terbaik,” akuinya.

Menerima semua kritikan yang dilemparkan sebagai langkah buatnya untuk memperbaiki diri, Lizzy berharap jika diberi peluang kedua, dia ingin mengulang semula pertandingan itu dan memberikan persembahan yang lebih baik.

“Saya tahu bukan mudah untuk menyertai pertandingan ini. Bagaimanapun, saya tetap rasa bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyertai AJL dengan single pertama,” katanya yang menerima banyak undangan nyanyian selepas menyertai AJL.

Menyentuh perkembangan lain, Lizzy kini sedang merancang untuk mengeluarkan single terbaharu pada bulan Mac depan. Menariknya, lirik untuk single tersebut akan ditulisnya sendiri.

Katanya, antara perancangan lain, dia juga akan mengeluarkan single berlainan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan satu single duet bersama penyanyi Indonesia, Kunto Aji.

“Pada tahun ini, saya hanya fokus untuk mengeluarkan single terlebih dahulu berbanding menghasilkan sebuah album.

“Saya perlu membawa Kunto Aji ke Malaysia terlebih dahulu sebelum melakukan proses rakaman single tersebut,” jelas Lizzy sebagai penutup bicara.

- Elizabeth Tan: Kisah tarian singa dan tomato merah

SHARING GOOD

0 Comment to "Elizabeth Tan: Kisah tarian singa dan tomato merah"

Post a Comment