Saturday, 6 February 2016

Ella naik helikopter ke konsert


PENCAPAIAN Ella sebagai satu penyanyi rock wanita unggul tidak tergugat bahkan akan terus menjadi ‘permata biru’ dalam hati peminat.

Selepas 20 tahun tanpa sebarang konsert berskala besar, akhirnya ratu rock negara, Ella Aminuddin bakal menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dengan Konsert Ella 2016 pada 16 April depan sempena 30 tahun usia kerjayanya dalam bidang seni.

Ella yang ditemui pada sidang akhbar pengumuman konsert berkenaan di The Lodge, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, beliau turut berkongsi gimik istimewa yang bakal dipersembahkan. Antaranya, Ella mengesahkan beliau bakal menaiki helikopter ke konsertnya.

Bagaimanapun, itu bukan kali pertama Ella ke konsert menaiki helikopter kerana beliau pernah melakukan gimik yang sama kira-kira pertengahan tahun 1990-an.

“Saya pernah melakukan hal yang sama (menaiki helikopter) ke tapak konsert pada 20 tahun dulu ketika mempromosi album Ella USA. Sebenarnya menaiki helikopter ke konsert akan mengurangkan rasa gementar untuk menyanyi. Saya tidak perlu menunggu lama di belakang pentas, sebaliknya turun dari helikopter terus menyanyi,” katanya.

Jelas Ella lagi, helikopter tersebut tidak akan turun di tengah padang Stadium Malawati. Atas faktor keselamatan, helikopter berkenaan akan mendarat di luar stadium.


“Mungkin orang bayangkan saya turun menggunakan tali dari helikopter di tengah-tengah stadium. Realitinya, perkara tersebut tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa atas faktor keselamatan. Saya hanya akan turun di luar stadium,” ujar penyanyi tersebut.

Meskipun sudah berpengalaman mengadakan banyak konsert, isteri kepada Azhar Ghazali itu mengakui, masih wujud perasaan gementar dalam hatinya untuk melakukan persembahan di stadium yang boleh menampung 10,000 penonton dalam satu-satu masa.

Ujarnya, pelbagai perkara boleh berlaku menjelang hari konsert, antaranya masalah teknikal, cuaca serta tahap kesihatannya sendiri.

“Sampai sekarang sebelum naik ke atas pentas saya masih gementar. Apatah lagi untuk mengadakan sebuah konsert solo berskala besar, sudah tentu saya bimbang tentang banyak perkara. Biasanya perkara paling membimbangkan saya adalah masalah teknikal serta mutu bunyi.

“Justeru, untuk konsert kali ini, saya akan pastikan semuanya dirancang dengan teratur supaya semuanya berjalan lancar. Paling penting penonton yang hadir akan terhibur dan pulang dengan gembira,” kata Ella.

Konsert anjuran Atlas One Events itu dijangka berlangsung selama dua jam setengah dan sebanyak 20 buah lagu akan dinyanyikan bermula dari zaman Ella & The Boys sehingga single terbaharunya, Istimewah.

Menariknya, selain daripada Konsert Ella 2016, Ella turut terlibat dengan Minggu Setiausaha pada 27 April depan di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Walaupun dua acara besar diadakan pada bulan yang sama, Ella yakin peminatnya akan hadir pada kedua-dua acara berkenaan.

“Minggu Setiausaha penontonnya berbeza, konsert pula orang yang hadir merupakan peminat tegar saya. Biarpun tarikh kedua-dua acara itu agak dekat, tiada masalah bagi pihak saya kerana yakin ia akan dapat sambutan,” tuturnya.

Ella yang berusia 50 tahun kini sedang sibuk membuat persiapan untuk kedua-dua acara tersebut. Bagi menjaga stamina dan mutu vokal, beliau lebih banyak menghabiskan masa di gimnasium untuk bersenam.

“Bagi saya stamina perkara paling utama. Oleh itu, saya lebih banyak bersenam dan menjaga pemakanan supaya kesihatan berada di tahap terbaik ketika persembahan berlangsung.

“Saya mengharapkan semua peminat akan hadir memberi sokongan dan jika ada pihak penaja yang ingin menaja konsert, ia masih dibuka,” katanya.

- Ella naik helikopter ke konsert

SHARING GOOD

0 Comment to "Ella naik helikopter ke konsert"

Post a Comment