Sunday, 7 February 2016

Histeria buat Nabila Huda berdialog Arab


Ada sinar kebahagiaan daripada bening matanya. Sesekali dia melontar pandangan jauh dan tersenyum, barangkali berfikir sejenak sebelum bibirnya melontarkan ayat satu demi satu. Bicaranya jujur dan jawabnya berbasa-basi, tidak sekali terlihat diva.

Itu sikap di belakang tabir si pemilik nama Nabila Huda, seri panggung pelarut watak, anak kepada legenda rock, Amy Search, juga isteri kepada Mohd. Izwan Johar, jejaka yang berjaya membuka pintu hatinya kembali setelah tiga tahun bergelar ibu tunggal.

Nabila mengundang banyak emosi setiap kali bermain watak di kaca televisyen mahu pun di layar lebar.

Menyitir banyak persepsi, lakonan pelakon berusia 31 tahun itu dalam menjayakan watak Saloma menerusi filem biopik Saloma mahupun Akulah Balqis memukau banyak pihak.

Penghayatan watak serta luahan emosinya juga laju ‘menyihir’ ke jiwa sesiapa sahaja. Sekali gus mudah sahaja aktres yang mesra disapa Abil itu digelar pesona bintang.

Histeria Nabila dalam Munafik

Maka, tatkala diberitakan Nabila bakal muncul menerusi filem arahan Syamsul Yusof iaitu Munafik sebagai wanita yang kena histeria, pastinya ia mengundang keinginan ramai untuk menyaksikannya.

Ironinya, bukan mudah seri panggung sepertinya mengolah sesuatu watak yang mana dilihat kagum di mata penonton. Namun, jika kurang penghayatannya pula, dikeji tanpa rasa santun.



“Ini merupakan filem seram terbesar yang pernah saya jayakan. Dalam Munafik, saya bawa watak sebagai Maria yang dihantui atau dibayangi oleh kisah silamnya. Kisah silamnya juga ada kena-mengena dengan Syamsul (turut berlakon memegang watak utama). Maria seorang yang naif tetapi pada masa sama dia juga tidak pasti dengan pendekatannya dengan Tuhan. Watak ini sangat berat kerana ia menuntut saya berlakon terkena histeria. Ketika perlu mengekalkan mood terkena histeria, saya juga kena berdialog dalam bahasa Arab. Jadi, banyak kali juga tersalah cakap sebab dialog dalam bahasa tersebut agak panjang,” luah Nabila mengenai filem Munafik terbitan Skop Production Sdn. Bhd. yang akan ditayangkan pada 25 Februari ini.

Dewasa usia seni dalam karya matang yang hadir kepadanya membuatkan ibu kepada seorang anak perempuan bernama Keisha Laila ini memanjat syukur.

“Selepas kali terakhir bekerjasama dengan Syamsul dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) dan sekuelnya, Jalan Kembali: Bohsia 2, kami dipertemukan semula dengan karya yang lebih matang. Saya gembira kerana Syamsul memberikan kepercayaan untuk saya melakonkan watak Maria dalam filem Munafik.

“Berlakon kembali dengan Syamsul tiada masalah. Dia juga seorang pengarah yang berbakat dan bersungguh-sungguh dengan kerjanya. Saya suka dengan semangatnya bercerita dan menghasilkan filem seram ini,” jelasnya lagi mengenai filem yang turut dilakonkan oleh Syamsul, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A. Galak dan Datuk Rahim Razali itu.

Pertama kali berlakon komedi

Acapkali menerima watak berat, itu tidak bermakna Nabila enggan menjayakan watak komedi. Buat pertama kalinya pelakon yang lahir pada 2 Disember 1984 itu akan muncul menerusi cerita komedi yang berjudul Motor Terbang.

Cerita terbitan Suhan Movies itu turut membariskan pelakon-pelakon komedi popular seperti Ajak Shiro dan Taukeh.

“Sebelum ini, saya fikir tidak mampu bawa watak komedi tetapi sebenarnya boleh. Saya tidak takut persepsi orang asalkan saya seronok mencubanya. Melalui watak tersebut saya dapat mengolahnya dengan lebih santai, namun pada masa sama Ajak dan Taukeh banyak membantu,” ujarnya yang juga bakal muncul menerusi telemovie pertama pelakon Sharnaaz Ahmad yang berjudul Lukisan Cinta dan juga telemovie bersama Kamal Adli iaitu Budak Dari Takbai.


BAGI anak kepada penyanyi rock tersohor tanah air, Amy Search, Nabila berasakan perkahwinan kali kedua memberinya kekuatan tersendiri untuk terus bergelar anak seni.

Lebih sebulan berumah tangga dengan pasangannya, Izwan, selepas diijabkabulkan pada 25 Disember lalu, kehidupan Nabila yang dahulunya sepi kini terisi dengan mawaddah cinta.

“Masuk ke alam rumah tangga sesuatu yang sangat indah. Ada orang teman kita dekat rumah. Sudah tidak rasa kesunyian lagi. Malah, ada seseorang yang saya boleh kongsi apa sahaja termasuklah buruk dan comot kita,” ujarnya seraya melentur tawa di bibir.

Dua tahun sanggup menunggu

Nabila juga lega kerana hubungan halal yang diraihnya itu membolehkannya bergerak ke mana-mana sahaja. Tidak seperti dahulu yang mana dirinya sedikit terbatas untuk keluar bersama sebab takut peminat fikir bukan-bukan.

Biarpun sudah tiga tahun hidup solo selepas bercerai dengan Zaidi Zailani pada tahun 2011, akui Nabila, dia tiada masalah untuk menerima orang baharu dalam kehidupannya.

“Tidak susah nak adaptasi perkahwinan kedua ini sebab saya sangat terdesak untuk berkahwin dan ada teman hidup untuk menemani saya.

“Dia merupakan lelaki terakhir dalam hidup saya yang boleh menerima saya seadanya, malah mampu melayan Keisha seperti apa yang saya mahukan. Disebabkan itu saya sanggup menunggunya selama dua tahun. Ya, masa berkawan saya terus terang tanya bilakah dia mahu kahwin.

“Dia cakap dua tahun lagi. Saya kata boleh tunggu dia dan selepas tempoh tersebut dia beri tarikh untuk kami bernikah. Kami memang rock,” ujarnya sambil menghambur tawa.

- Histeria buat Nabila Huda berdialog Arab

SHARING GOOD

0 Comment to "Histeria buat Nabila Huda berdialog Arab"

Post a Comment